Regatta Lepa Bukti Pantai Timur Sabah Selamat, Tolak Persepsi Negatif –
NIZAM

SEMPORNA: Penganjuran Regatta Lepa di Semporna membuktikan Pantai Timur Sabah kekal selamat untuk dikunjungi pelancong, sekali gus menepis persepsi negatif termasuk amaran perjalanan (travel advisory) yang dikeluarkan beberapa negara.

Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa pada acara berkenaan menjadi bukti keyakinan terhadap tahap keselamatan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan perairan dan sempadan negara berada pada tahap terbaik.

“Penganjuran Regatta Lepa ini dengan sendirinya menepis segala andaian atau tohmahan bahawa perairan Sabah khususnya di Pantai Timur tidak selamat untuk dikunjungi.

“Kerajaan Malaysia dan kerajaan Sabah sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan bagi mengawal perairan dan sempadan negara demi menjamin keselamatan rakyat serta pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merasmikan Regatta Lepa Kali Ke-31 di Pekan Semporna, semalam.

Nizam berkata, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memainkan peranan penting dalam memantau keseluruhan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi memastikan keselamatan sentiasa terkawal.

Katanya, kewujudan ESSCOM turut meningkatkan keyakinan pelancong untuk terus memilih Sabah sebagai destinasi pelancongan.

“ESSCOM sentiasa memantau keseluruhan kawasan Pantai Timur bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan rakyat mahupun pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata, persepsi negatif terhadap keselamatan Pantai Timur Sabah perlu diperbetulkan kerana situasi semasa menunjukkan kawasan berkenaan berada dalam keadaan terkawal hasil kerjasama semua pihak berkaitan.

Menurutnya, penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Regatta Lepa juga menjadi bukti bahawa Semporna kini berada dalam keadaan selamat dan terus diyakini sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Apabila pelancong datang sendiri dan menyaksikan suasana aman serta meriah di Semporna, ia secara tidak langsung membuktikan bahawa Sabah selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Sumber Utusan Borneo

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading