Umat Islam Diseru  Hayati Semangat Hijrah



KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diseru menghayati semangat hijrah untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuhkan akhlak dan mempererat hubungan sesama insan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sehubungan itu beliau berharap agar perhimpunan ini menjadi sinergi yang mampu mengeratkan jalinan ukhuwah sekali gus memacu iltazam dan tekad baharu untuk memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan ummah.

“Sambutan Ma’al Hijrah yang menjadi amalan kita setiap tahun ini, bukan sekadar memperingati perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi juga menjadi simbol transformasi, pengorbanan dan pembaharuan ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil ibrah dari peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, iaitu kejayaan baginda mengembangkan syiar Islam, pada masa sama menubuhkan Kerajaan Islam yang pertama di kota Madinah.

“Baginda menitikberatkan kepimpinan yang seimbang antara kemajuan material dengan pembangunan insan,” katanya sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026M/1448H di sini pada Rabu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.

Sejajar dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu Madani Dihayati, Ummah Diberkati, beliau berkata ia menepati usaha kerajaan mengajak rakyat untuk hidup bersatu padu dan saling hormat menghormati.

“Konsep umat Madani lahir daripasa ikhtiar untuk meneladani kejayaan Rasulullah SAW menyatupadukan kaum Ansar dengan kaum Muhajirin; hidup dalam kesatuan dan membangun dengan cemerlang dalam persaudaraan Islam.

“Saya percaya dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai inspirasi moral dan etika dalam kehidupan bernegara, saya yakin kita mampu menjadi contoh masyarakat Madani yang lahir dari peradaban yang, berilmu, berintegriti dan berjiwa besar,” katanya.

Beliau turut berharap tanun baharu 1448H membawa harapan dan tuah kepada umat Islam walapun situasi dunia pada hari ini penuh dengan pelbagai cabaran dan pergolakkan.

“Krisis di Timur Tengah, misalnya, yang melibatkan kuasa-kuasa besar, amat menggusarkan kita. Lebih menyedihkan, peperangan yang berlaku itu melibatkan saudara seagama dengan kita.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan negara Iran, yang bakal dimeterai pada hari Jumaat ini, akan menghentikan pergolakan dan peperangan di rantau berkenaan demi keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” katanya..

Yang turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Haji Mohd Ariffin Mohd Arif yang juga pengerusi jawatankuasa induk Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah.

Tamat

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading