
1. Saya ingin memberikan respon terhadap maklum balas dari penyokong-penyokong pembangkang yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya bahawa semasa Warisan memerintah, mereka adalah kerajaan yang lemah dan gagal mengurus ekonomi negeri Sabah. Inilah tanda besar mereka bersikap Narsistik!
2. Saya meneliti, penyokong pembangkang sebenarnya cuba memperkecilkan skop perbandingan tentang ukuran kejayaan sesebuah kerajaan. Mereka hanya bermain terma perbezaan antara Nilai dan Kadar Pertumbuhan. Saya tidaklah dangkal hingga tidak tahu perbezaan kedua terma tersebut. Tetapi, adakah ini satu-satunya tanda kejayaan yang perlu dinilai? Atau kita menilai secara keseluruhan? Walau bagaimanapun, saya sahut cabaran tersebut biarpun skop perdebatan disempitkan.
3. Pada saya, apa yang jelas, ke arah mana pun kompas perbandingan penyokong Pembangkang ingin tunjukkan, tetap Warisan adalah Kerajaan Gagal! Hakikatnya, Warisan hanya bergantung dan amat berharap agar rakyat mengingati dan memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian mereka memperoleh Kadar KDNK sebanyak RM85billion pada tahun 2019. Tetapi pada saya, premis ini tidak adil disebabkan data yang digunakan bersifat berpilih dan terlalu terpencil.
4. Mengapa tidak mereka tunjukkan perkembangan selama mereka menjadi kerajaan 26 bulan? Kita maklum, YAB DSP Hajiji dan GRS mengambil alih kerajaan negeri pada bulan September, Tiga (3) bulan terakhir tahun 2020. Mengapa Warisan tidak mahu menjadikan tahun ini antara tahun yang juga perlu dinilai. Antara alasan mereka ialah, semua sektor jatuh merudum kerana Krisis Kesihatan Pandemik Covid-19. Namun harus diingat, tahun tersebut hanya berada pada Fasa Permulaan Pandemik Covid-19 berlaku.
5. Dalam hal ini, saya cuba berlaku adil dengan mengambil Tahun 2021 juga antara tahun permulaan mengira tahap kejayaan GRS. Kita semua maklum, tahun 2021 adalah tahun paling kritikal bukan hanya di Sabah, malahan di seluruh dunia berdepan dengan masalah Covid-19. Saya tidak ingin jadikan ini alasan untuk mengabsahkan kejayaan GRS. Namun persoalannya, bagaimana GRS masih mampu melonjakkan prestasi ekonominya pada kadar 1.5% tahun 2021 dengan nilai KDNK sebanyak RM78.9billion berbanding tahun 2020 sebanyak RM77.8billion dengan pertumbuhan KDNK sebanyak -7.5%.
6. Dan jika kita lihat tahun-tahun seterusnya, nilai KDNK terus meningkat, demikian juga dengan nilai hasil negeri yang mencecah RM5billion ke atas! (belum pernah dicapai oleh mana-mana Kerajaan sebelum ini). Apa yang jelasnya, angka kenaikan nilai KDNK ini terus berlanjutan sehingga ke tahun 2023. Tidak pernah jatuh! Walhal hakikatnya, GRS mewarisi keadaan ekonomi yang tenat dari Warisan.
7. Saya gunakan kiraan matematik yang mudah agar difahami semua pihak. Penilaian yang mana tepat untuk kita nyatakan sebagai prestasi yang baik, angka menurun atau meningkat?
8. Ringkasnya, bagaimana pun penyokong Warisan berdolak-dalik, yang jelasnya adalah, ketika Warisan memerintah, angka statistik terus menurun. Hanya mereka bernasib baik kerana mewarisi keadaan ekonomi yang baik ketika itu. Sementara semasa GRS mengambil-alih tanpa memberikan sebarang alasan (Covid-19), angka statistik ekonomi senantiasa meningkat. Meskipun ada pembangkang mengatakan gagal mencapai unjuran, tetapi masih angka statistik terus meningkat terutama dari sudut Nilai KDNK!
9. Disebabkan prestasi ekonomi yang baik inilah, kita lihat semakin banyak peruntukan mampu disediakan meliputi aspek pembangunan fizikal dan bukan fizikal terus dilaksanakan bagi mencapai hasrat yang terkandung di dalam Halatuju Sabah Maju Jaya.
10. Pada saya, tidak perlu kita bersusah payah bermain-main angka secara ilmiah menggunakan pelbagai terma yang mungkin sukar difahami oleh rakyat awam. Saya permudahkan agar rakyat Sabah yang bukan lulusan ekonomi dan statistik juga mudah memahami senario perdebatan ini. Saya yakin, kanak-kanak bawah umur pun tahu, angka meningkat dan positif itu adalah lebih baik. Dan kerana itu, saya simpulkan era pemerintah YAB DSP Hajiji dan Kerajaan GRS adalah lebih baik berbanding Warisan.
Sekian.
*AKSYAH HAJI NASRAH*
Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/Perikatan Nasional (PN) Sabah
(kini Pro Gabungan Rakyat Sabah (GRS))
5 MEI 2025






















Leave a Reply