
Tegur Pandikar Dulu Kalau Mahu Pertahan GRS
5 Mei 2025
- Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee tidak wajar bercakap soal perpaduan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya mereka sendiri tidak sanggup menegur rakan lama mereka, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Presiden USNO.
- Jika benar mereka sayang kepada GRS, tegurlah individu yang mula-mula sekali mengancam untuk memecahbelahkan gabungan ini — bukan menyalahkan pemimpin muda yang hanya mempertahankan apa yang telah dibina bersama.
- GRS tidak diwujudkan untuk melayan legasi politik lama yang semakin tidak relevan. Ia ditubuhkan dengan satu tujuan jelas: untuk membina masa depan Sabah berlandaskan kepimpinan tempatan dan keperluan semasa. Kami generasi pelapis dalam GRS bukan hanya penumpang — kami adalah suara akar umbi yang akan bangkit mempertahankan gabungan ini daripada sesiapa sahaja yang cuba menggugatnya, termasuk dari dalam.
- Dalam wawancara bersama The Vibes baru-baru ini, Tan Sri Pandikar sekali lagi mengulangi kritikan terhadap kepimpinan GRS dan menyatakan kemungkinan USNO akan bertanding secara solo pada PRN akan datang.
- Lebih mengejutkan, kenyataan ini datang daripada individu yang kini memegang beberapa jawatan kanan dalam pentadbiran negeri — bukan daripada kami yang bekerja keras membina kepercayaan rakyat terhadap GRS.
- Pandikar juga berkongsi bagaimana beliau pernah duduk semeja dengan tokoh-tokoh besar negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad (UMNO), Tun Samy Vellu (MIC), Tun Ling Liong Sik (MCA), Tun Lim Keng Yaik (Gerakan), Tan Sri Leo Moggie (PBDS) dan Tun Abdul Taib Mahmud (PBB).
- Kami hormati pengalaman beliau, tetapi senarai nama itu juga mengingatkan kita tentang era politik yang beliau wakili. Sebahagian besar tokoh tersebut telah bersara atau meninggal dunia. Parti yang terus kekal hari ini adalah parti yang memberi laluan kepada pemimpin muda. Yang tidak berubah, hilang dari arus masa. Inilah perbezaan antara negarawan yang memandang ke hadapan dan ahli politik yang terperangkap dalam nostalgia silam.
- Kami juga tidak buta. Kami tahu siapa yang sedang berusaha secara senyap, siapa yang sudah berunding di belakang tabir. Mungkin sebab itu Tan Sri Pandikar dipertahankan habis-habisan — sebagai pelindung awal sebelum gerakan politik yang lebih besar dilakukan. Jika benar ada rancangan seperti itu, nyatakan sahaja secara terbuka. Jangan berselindung di sebalik retorik perpaduan sambil menyusun strategi sebaliknya.
- GRS bukan milik mana-mana individu. Ia milik semua komponennya. Kami di akar umbi berdiri teguh bersama Pengerusi GRS, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor. Kami tidak akan membiarkan GRS dijadikan alat tawar-menawar politik oleh mereka yang sudah hilang arah. Dan kami juga tidak akan berdiam diri bila prinsip dan maruah gabungan ini digugat.
Abi Wednes Bin Gagamboi
Ketua Bahagian
Gagasan Rakyat N.45 Sook






















Leave a Reply