
JAWAPAN LISAN KEUTAMAAN
OLEH YAB DATUK SERI PANGLIMA KETUA MENTERI
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA TAHUN 2025 DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS
ISNIN, 14 APRIL 2025
SOALAN 1
YB. Datuk Seri Panglima Moktar bin Radin [Lamag] bertanya kepada KETUA MENTERI, apakah justifikasi Kerajaan membenarkan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd terus terlibat dalam projek Empangan Tenom walaupun gagal melaksanakannya sejak 2015.
JAWAPAN:
Tuan Speaker,
Izinkan saya menjawab soalan ini bersama dengan Soalan 32 dan 33 pada hari Isnin, 14 April 2025 memandangkan soalan yang dibangkitkan adalah berkaitan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Lamag serta Dewan yang mulia ini, saya ingin memperbetulkan dakwaan bahawa Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. gagal melaksanakan Projek Empangan Ulu Padas, adalah tidak tepat. Ini adalah kerana Projek Empangan Ulu Padas melalui proses yang panjang termasuklah perubahan pegangan saham, kajian teknikal yang ketat, penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta penularan pandemik COVID-19.
Tuan Speaker,
Terdapat beberapa faktor utama yang perlu difahami, iaitu:
PERTAMA: Projek ini telah dianugerahkan melalui Surat Tawaran Bersyarat oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 13 Julai 2015, dengan pegangan ekuiti yang terdiri daripada Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. sebanyak 60 peratus, Sabah Electricity Sdn. Bhd. sebanyak 20 peratus dan Kerajaan Negeri Sabah sebanyak 20 peratus.
Namun, selepas Sabah Electricity Sdn. Bhd. menolak pemilikan sahamnya, Kerajaan Negeri pada 09 Jun 2016 telah melantik Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. sebagai pemegang saham 40 peratus mewakili Kerajaan Negeri melalui syarikat tujuan khas (Special Purpose Vehicle, SPV) iaitu Upper Padas Power Sdn. Bhd.. Keputusan ini memastikan penglibatan penuh Kerajaan Negeri dalam projek ini untuk kepentingan tenaga jangka panjang Sabah.
KEDUA: Sebelum projek dapat dimulakan, ia perlu melalui proses penilaian yang ketat. Bermula dari Disember 2015 hingga Mac 2017, satu kajian usaha wajar (due diligence exercise) telah dilaksanakan oleh pihak pemaju terhadap engineering data yang telah dibuat terlebih dahulu oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd.. Hasil semakan terhadap engineering data tersebut, pihak pemaju mendapati adanya keperluan supaya engineering data tersebut diperbaharui dan dioptimumkan bagi memastikan asas teknikal yang kukuh untuk perlaksanaan projek ini.
KETIGA: Bermula dari Jun 2017 hingga Jun 2019, kajian mendalam termasuk Special Environmental Impact Assessment (SEIA), pelepasan mineral, penyiasatan tanah dan kerja ukur tanah termasuklah kerja-kerja Light Detection and Ranging (LiDar) telah dilakukan. Namun, pada 01 Oktober 2018, pelaksanaan projek ini telah ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Pada 25 Julai 2019, Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan kepada Upper Padas Power Sdn. Bhd. untuk meneruskan projek ini dan seterusnya, pada 13 Februari 2020 Kabinet Persekutuan telah memberi kebenaran projek ini diteruskan.
Apabila dunia dihambat dengan pandemik COVID-19 dan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, sekali lagi pelaksanaan projek ini terjejas iaitu dari 18 Mac 2020 sehingga 01 November 2021. Ini secara langsung menghadkan pergerakan sehingga melambatkan kerja-kerja fizikal di lapangan.
Tuan Speaker,
Pada 28 Januari 2022, pihak pemaju telah menerima Initial Letter of Notification (ILON) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang mengesahkan kadar tarif permulaan Projek Empangan Ulu Padas.
Pada 03 Januari 2024, kuasa pengawalseliaan pembekalan elektrik di seluruh negeri Sabah telah beralih daripada Suruhanjaya Tenaga kepada Energy Commission of Sabah dan usaha untuk memastikan pematuhan peraturan tenaga diteruskan dengan pelbagai perbincangan bersama Suruhanjaya Tenaga dan Energy Commission of Sabah. Ini termasuk proses menetapkan tarif tenaga, pematuhan terhadap prosedur perundangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Akhirnya, pada 02 September 2024, Energy Commission of Sabah telah mengeluarkan Surat Pemakluman (Letter of Notification, LON) untuk tarif muktamad selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Tenaga Sabah pada 22 Ogos 2024. Ketika ini, mesyuarat dan perbincangan mengenai Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. sedang berjalan dan dijangka dimuktamadkan pada Jun 2025. Sementara “Financial Close” akan dicapai dalam bulan September 2025, manakala penyiapan projek dijadualkan pada Disember 2030 seperti yang ditetapkan oleh pihak Energy Commission of Sabah.
Tuan Speaker,
Projek Empangan Ulu Padas ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030 dan berserta projek-projek penjanaan yang sedia ada dan telah dirancang, akan dapat memastikan jidar simpanan kapasiti penjanaan dikekalkan pada tahap di atas 25 peratus untuk Grid Sabah yang menghubungkan sistem bekalan elektrik ke seluruh daerah-daerah di negeri Sabah dan W.P Labuan. Setelah Projek Empangan Ulu Padas ini beroperasi sepenuhnya, masalah bekalan air di Sabah dapat diatasi dengan wujudnya projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang berpotensi untuk membekalkan air sebanyak 6,000 juta liter harian dan mampu menampung keperluan air sehingga 100 tahun.
Selain itu, Projek Empangan Ulu Padas menyediakan manfaat seperti yang berikut:
PERTAMA: Berpotensi membekal tenaga solar terapung sehingga 200 megawatt di atas tasik yang terbentuk dengan adanya empangan;
KEDUA: Kawasan tadahan air seluas 4,000 hektar akan menyediakan tempat penyelidikan perhutanan/ perikanan air tawar dan ekopelancongan;
KETIGA: Kerajaan Negeri Sabah melalui Sabah Energy Corporation akan memperolehi kutipan dividen melebihi RM3 bilion sepanjang 40 tahun dan kutipan fi permit menduduki hutan simpan di bawah perjanjian lesen jangka panjang melalui Jabatan Perhutanan Sabah.
KEEMPAT: Berfungsi sebagai pengawal aliran air untuk Empangan Pangi 72 megawatt semasa musim kemarau (Meningkatkan penjanaan Empangan Pangi).
Tuan Speaker,
Kerajaan Negeri Sabah akan kekal komited untuk memastikan Projek Empangan Ulu Padas berjaya dilaksanakan, demi memenuhi keperluan tenaga mampan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Tuan Speaker,
Isu menamatkan kontrak Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. tidak timbul kerana syarikat ini bukanlah kontraktor utama dalam projek Empangan Hidro Ulu Padas. Syarikat ini hanya memegang 15 peratus pegangan saham dalam syarikat pemaju, iaitu Upper Padas Power Sdn. Bhd.. Selebihnya dimiliki oleh Gamuda Berhad dengan 45 peratus pegangan dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd., milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, dengan 40 peratus pegangan saham.
Sebagai pemegang saham majoriti, Gamuda Berhad telah dilantik sebagai pemaju utama dan bertanggungjawab untuk mengetuai keseluruhan pelaksanaan projek ini, termasuk reka bentuk, pembinaan dan pengurusan pelaksanaan teknikal. Gamuda Berhad bukan sahaja memiliki rekod prestasi yang kukuh dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur berskala besar, mereka juga membawa kelebihan dari segi keupayaan kewangan, dengan sokongan dana sedia ada sebanyak RM4.65 bilion yang diperoleh menerusi institusi kewangan tempatan.
Malah, Gamuda Berhad juga telah menyatakan komitmen kukuh terhadap kejayaan projek ini melalui Majlis Pecah Tanah Projek Empangan Ulu Padas yang disempurnakan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di Tenom pada 7 Disember 2023.
Tuan Speaker,
Struktur perkongsian strategik ini telah dirangka secara teliti bagi memastikan pelaksanaan projek memenuhi kehendak semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Negeri, pihak pelabur, serta komuniti yang bakal menerima manfaat daripada projek ini. Menamatkan penglibatan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. tanpa asas yang kukuh bukan sahaja akan mengganggu struktur korporat sedia ada, tetapi juga berpotensi menjejaskan kelulusan pembiayaan, perjanjian teknikal, serta keyakinan pelabur terhadap projek-projek masa hadapan yang melibatkan perkongsian awam-swasta di Sabah.
Tambahan pula, Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. merupakan antara pihak awal yang terlibat dalam proses inisiatif dan perancangan awal projek ini sejak tahun 2015. Walaupun kini hanya memegang saham minoriti, mereka masih memainkan peranan dalam kesinambungan pelaksanaan projek. Keterlibatan mereka juga perlu dilihat dalam konteks komitmen jangka panjang dan usaha awal untuk membawa projek ini ke tahap kelulusan dan pelaksanaan seperti yang sedang berlangsung hari ini.
Oleh itu, berdasarkan struktur pemilikan semasa, tanggungjawab pelaksanaan kini diletakkan di bahu pemegang saham majoriti, khususnya Gamuda Berhad sebagai peneraju utama, dengan Sabah Energy Corporation sebagai wakil rasmi Kerajaan Negeri. Perkongsian ini juga telah mendapat kelulusan daripada pihak Energy Commission of Sabah dan sebarang perubahan besar seperti penamatan rakan kongsi perlu melalui proses penilaian perundangan, kewangan dan teknikal yang menyeluruh. Ini adalah satu proses yang panjang, memakan masa dan akan merugikan Kerajaan Negeri dan juga rakyat Sabah.
Tuan Speaker,
Kerajaan Negeri percaya bahawa struktur sedia ada adalah yang paling sesuai dan stabil untuk menjamin kejayaan Projek Empangan Hidro Ulu Padas ini. Justeru, tiada keperluan untuk menamatkan sebarang penglibatan dalam kalangan pemegang saham sedia ada selagi projek ini dapat terus berjalan mengikut perancangan dan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri dan rakyat Sabah.
Fokus Kerajaan Negeri pada ketika ini adalah untuk memastikan kelangsungan pelaksanaan projek tanpa gangguan, agar manfaat tenaga dan air daripada empangan ini dapat dinikmati rakyat Sabah menjelang 2030 kelak.
Tuan Speaker,
Pinjaman mudah sebanyak RM569 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada awalnya dipohon oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. bagi tujuan pelaksanaan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, Tenom. Walau bagaimanapun, permohonan tersebut telah ditolak oleh Kerajaan Persekutuan kerana pada masa itu, Kerajaan Persekutuan telah memberi keutamaan kepada pemberian subsidi untuk negeri Sabah.
Kerajaan Persekutuan kemudiannya telah menganugerahkan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas ini kepada Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. bersama-sama dengan Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan secara bersama.
Sebagai alternatif, pembiayaan bagi projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas kini dilaksanakan melalui kaedah “Public Private Partnership” (PPP), iaitu satu bentuk kerjasama strategik antara Kerajaan dan sektor swasta. Di bawah model ini, pihak swasta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyediaan dana, pengurusan kewangan, pelaksanaan, serta operasi infrastruktur projek. Manakala, Kerajaan Negeri berperanan sebagai Rakan Strategik dalam memastikan kepentingan awam terus terpelihara.
Tuan Speaker,
Kerajaan Negeri komited memberikan keutamaan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang mencukupi demi kesejahteraan rakyat.
Sekian.






















Leave a Reply