Soalan SFI Dibangkitkan Warisan, Shafie, Sidang DUN Penggal Kelima – KM Hajiji

Ini jawapan Ketua Menteri Datuk Hajiji berhubung SFI yang dikemukakan oleh Adun Senallang Shafie Apdal, semasa mesyuarat ketiga penggal ke lima DUN Sabah.

Bahwa Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membatalkan Perjanjian Lesen Sabah Forest Industries (SFI) bermula 1 September 2021 atas dasar kepentingan awam kerana syarikat SFI yang dibeli oleh Ballarpur Industries telah diisytiharkan muflis dan tidak lagi mengusahakan kawasan lesen tersebut.

Atas dasar kepentingan awam juga, geran-geran tanah SFI yang berkeluasan 12,348.8 hektar telah diambil balik (acquired) dan diberi hak milik kepada Kumpulan Yayasan Sabah. Manakala, seluas 238,563 hektar kawasan konsesi SFI telah dilesenkan semula kepada tiga (3) pelesen Sustainable Forest Management Lisence Agreement (SFMLA) di mana Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan ekuiti 15% melalui Chief Minister Incorporated (CMI) dan Yayasan Sabah.

Skim Penggunaan, Pemprosesan, Pengurusan, Penyelidikan dan Pembangunan Pemuliharaan Kayu Hutan Lestari Daerah Sipitang adalah nama bagi skim tujuan awam di mana tanah-tanah bekas SFI telah diperolehi oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Mengenai status kayu tanaman akasia dalam kawasan SFI tersebut (tanah bergeran), kebenaran membalak telah diberikan kepada pihak Yayasan Sabah bagi membolehkan kayu-kayu akasia yang ditanam di kawasan geran tanah tersebut dibalak, berikutan terdapat kes jangkitan kulat yang menyerang pokok tanaman di kawasan tersebut. Proses penuaian pokok perlu disegerakan untuk mengeluarkan pokok-pokok tanaman yang dijangkiti kulat tersebut bagi membolehkan penanaman pokok baharu dijalankan.

Penyakit kulat yang menyerang pokok tanaman akasia ini memerlukan penuaian segera bagi mengelakkan penyebaran jangkitan ke kawasan yang lain. Setakat 3 November 2024, pembalakan telah dilaksanakan di kawasan seluas lebih kurang 1,921.33 hektar dan pihak Yayasan Sabah akan menjalankan penanaman semula di kawasan tersebut dengan kos penanaman lebih kurang RM12,000.00 sehektar.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading