
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam ucapan Penggulungan Sidang DUN Penggal Kelima sekaligus menjawab soalan Adun berkaitan isu tanah dan pewartaan tanah adat atau perkampungan.
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sentiasa peka dan berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan setiap permohonan berkaitan tanah dan melaksanakan pengukuran Program PANTAS di seluruh daerah di negeri Sabah.
Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Kadamaian, Jabatan Tanah dan Ukur akan menjalankan pemeriksaan dan pengesahan di lapangan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2025 di 10 buah kampung yang disenaraikan di kawasan DUN Kadamaian.
Ahli Yang Berhormat dari Kapayan pula telah memohon untuk mempercepatkan penyerahan geran tanah adat. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat serta Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri telah memberi keutamaan kepada pemberimilikan tanah adat melalui Program PANTAS sejak tahun 2011. Setakat 31 Oktober 2024 sebanyak 233,043 geran tanah anak negeri NT/FR berkeluasan 1,225,088 hektar telah dikeluarkan yang mana merupakan 45% keluasan keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah, berbanding dengan pada tahun 2011 iaitu seluas 477,171 hektar ataupun 25% sahaja daripada keluasan keseluruhan geran tanah yang berdaftar.
Ahli Yang Berhormat dari Segama telah membangkitkan isu pewartaan kawasan kediaman anak negeri di Kg. Unta, Kg. Pancuran, Kg. Wawasan I dan II, Kg. Damai I dan II serta Kg. Dusun. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Segama, pewartaan kawasan kediaman anak negeri bagi kampung- kampung tersebut tidak dapat dipertimbangkan kerana termasuk dalam tanah bergeran dan kawasan tadahan air.






















Leave a Reply