Ucapan Dasar Datuk Panglima Hajiji Noor Sempena Perhimpunan Agung PGRS Tahun 2024

UCAPAN DASAR YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR, PRESIDEN PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH (GAGASAN RAKYAT) SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH (GAGASAN RAKYAT) PADA 10 NOVEMBER 2024 (AHAD), PUKUL 9.00 PAGI DI SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE.

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Timbalan Presiden Gagasan Rakyat

Yang Berhormat Naib-Naib Presiden Gagasan Rakyat

Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif

Datuk Rubin Balang

Datuk Masiung Bana

Yang Berbahagia Datuk Mohd Razali Razi, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat

Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar, Bendahari Agung Gagasan Rakyat

Yang Berhormat Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat

Yang Berbahagia Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pergerakan Wanita

Yang Berhormat Datuk Fairuz Renddan, Ketua Pergerakan Pemuda

Yang Berbahagia Cik Emmi Martin Idang, Ketua Pergerakan Beliawanis

Yang saya hormati Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Ketua-Ketua Bahagian dan para Perwakilan yang dikasihi sekalian.

Saya turut mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan Presiden parti komponen GRS;

1. YB DSP Dr Joachim Gunsalam

Pemangku Presiden PBS

2. YB DSP Dr Jeffrey Kitingan

Presiden STAR

3. YB DSP Yong Teck Lee

Presiden SAPP

4. YBhg TS Pandikar Amin Hj Mulia

Presiden USNO

5. YBhg Tan Sri Liew Yun Fah

Presiden PHRS

6. YBhg Datuk Chin Su Phin

Presiden LDP

7. YB Senator Tan Sri Anifah Aman

Presiden PCS

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan pimpinan parti komponen Pakatan Harapan Sabah;

  1. Yang Berhormat Datuk Christina Liew, Pengerusi PH Sabah
  2. Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, Presiden UPKO
  3. Yang Berhormat Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi

PKR Sabah 4. Yang Berhormat Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi DAP Sabah

  1. Yang Berbahagia Saudara Lahirul Latigu, Pengerusi Amanah Sabah

Para Pemerhati, khususnya para Pelajar dan Mahasiswa yang turut sama menyaksikan Perhimpunan Agung Tahunan ini.

Tuan-Tuan, Puan-Puan, sidang hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, sekali lagi kita berpeluang berhimpun di dewan yang gah ini, sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat, tahun 2024. Tentunya perhimpunan ini bukan hanya semata-mata untuk kita memenuhi tuntutan perlembagaan parti, tetapi tidak kurang pentingnya, perhimpunan agung ini sebagai penggilap semangat Gagasan Rakyat parti yang kita dukung sebagai wadah perjuangan kita bersama.
  2. Istimewa kepada seluruh pimpinan, perwakilan dan pemerhati Gagasan Rakyat, yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Sabah, Negeri Di Bawah Bayu ini; dari Pulau Banggi hingga ke Pulau Sebatik, termasuk dari kawasan pedalaman nun jauh terpencil atas semangat yang kental, dan iltizam yang padu dan jitu, juga atas nama sebuah perjuangan demi meneruskan legasi kejayaan dan kecemerlangan. Selamat Datang dan selamat bertemu kembali ke Perhimpunan Agung Tahunan yang sangat bermakna lagi bersejarah ini. Turut tidak dilupakan para perwakilan daripada Pulau Labuan.
  3. Inilah cerminan komitmen dan iltizam kita ahli-ahli Gagasan Rakyat, dengan semangat waja sebagai simbol kesepaduan dalam perjuangan, kita mengangkat martabat parti dan menyemarakkan obor perjuangan di kesemua 74 bahagian dan 73 kawasan DUN di Sabah, kerana di sinilah terbinanya rumah perjuangan kita, rumah yang kita jaga, rumah yang kita hias indah, sebagai tempat berlindung dan berteduh segala bangsa dan rakyat yang dikasihi.
  4. Tanpa sedar, masa pantas beredar. Setahun sudah berlalu selepas kita berhimpun di sini pada 13 November 2023, saat suasana politik kita sudah kembali mengukuh dengan kekuatan baharu setelah mengharungi gelora yang membadai pada awal tahun berkenaan. Ternyata, tribulasi dan ujian itu ada hikmahnya. Ia membangkitkan lagi semangat dan memperteguhkan perpaduan kita, lantas menambah kekuatan dan keutuhan Gagasan Rakyat, rumah kita yang kita jaga ini. Setelah setahun berlalu sejak perhimpunan agung yang pertama itu, kini kita lebih berkeyakinan dan bertenaga untuk terus mara ke hadapan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan hak negeri yang tercinta ini!
  5. Kepada sayap-sayap parti yang dikasihi; Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis; syabas dan tahniah kerana anda semua telah selesai mengadakan persidangan masing-masing tanpa sebarang masalah. Inilah makna dan buktinya pimpinan muda dan ahli-ahli yang matang berpolitik, yang tahu peraturan dan memahami perlembagaan. Meski pun Gagasan Rakyat ini baharu setahun jagung, tetapi kematangan dan pengalaman kita jangan sekali-kali diukur dengan usia parti ini, kerana rata-rata orang Gagasan Rakyat ini adalah pejuang dan ahli politik yang cukup berpengalaman; yang tahu menilai mana yang hitam dan mana yang putih; mana satu permata nilam dan mana satu permata sakti! Most of us here are very experienced people. Pengalaman menjadikan kita a wise man, a wise politician, and of course, a wise leader. Justeru, kebijaksanaan yang kita miliki ini, walau bagaimana kecil atau sedikit sekali pun, biarlah ianya menjadi sumbangan kepada parti kita, kepada GRS dan kepada Sabah, ke arah mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam perjuangan! Tahniah sekali lagi kepada ketiga-tiga sayap parti yang saya kasihi sekalian. Berjuang berbakti seikhlas hati Langkah dibuka gagah perkasa Menjaga negeri matlamat parti Kita membela nusa dan bangsa
  6. Saya ingin mengangkat kata-kata bijak pandai yang sarat dengan makna dan peringatan, “Manusia hanya bisa merancang, namun Allah jua yang menentukan”. Kata-kata ini merupakan pedoman sekaligus pencetus inspirasi dalam upaya kita mengayuh bahtera perjuangan menuju kejayaan. Sebagai seorang hamba dan insan biasa, sebagai rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada 5 prinsip Rukun Negara, dan meyakini bahawa Tuhan itu penentu nasib dalam perjalanan hidup kita, jangan sekali-kali kita lupa untuk mengangkat doa, bersyukur dan meminta kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Dalam melayari bahtera perjuangan ini, usaha dan ikhtiar itu penting yang merangkumi kerja keras, semangat kerja berpasukan dan semangat perpaduan. Tetapi keikhlasan dan kejujuran jangan tertinggal sedikit pun di dalam hati – kerana dihujung setiap perjuangan, kita perlu berserah kepada Allah SWT, untuk membantu kita, serta memakbulkan apa yang kita inginkan dan hajati daripada Ilahi, Tuhan semesta alam.
  7. Pokok pangkalnya, dalam setiap perancangan mesti ada terselit niat yang baik serta hati yang tulus ikhlas. Justeru, marilah kita gunakan medan perhimpunan ini sebagai wadah untuk kita mengumpulkan segala niat yang baik-baik dan menyatukan segala hati yang penuh ikhlas, agar apa sahaja yang bakal kita bentang dan bincang, apa jua yang bakal kita atur untuk memperhalusi ikhtiar dan memperkukuh strategi demi merencanakan hala tuju parti mudah-mudahan atas keikhlasan itu, kita akan memperoleh keredhaan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa. Pokok pangkalnya jua, jika Tuhan redha dan menerima amalan dan permintaan kita, insya Allah, semuanya akan selamat dan sejahtera.
  1. Sepertimana yang saya sering nyatakan, Gagasan Rakyat merupakan sebuah PARTI TEMPATAN yang dianggotai oleh pelbagai latar belakang agama dan bangsa. Gagasan Rakyat lahir atas manifestasi aspirasi akar umbi yang mahu pimpinan di Sabah bergerak dan berjuang melalui parti lokal. Naratif ini tidak datang secara semberono, jauh sekali direka. la merupakan kemahuan majoriti rakyat Sabah. Atas sebab itu, kita mesti meletakkan Gagasan Rakyat sebagai parti yang kuat serta mendapat sokongan yang padu dan jitu di kalangan rakyat Sabah.
  2. Meski pun berjiwa tempatan, Gagasan Rakyat akan menjulang semangat Persekutuan Malaysia berteraskan CITRA KEBANGSAAN. Kita akan memainkan peranan yang signifikan dalam kancah politik nasional bagi mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara.
  3. Suka saya ingatkan, Gagasan Rakyat telah meletakkan tiga teras perjuangan yang kita simpulkan dalam akronim SMJ: iaitu S – Stabil Politik, M-Makmur Negeri dan J – Jaminan Kesejahteraan. Ketiga-tiga teras ini amat bertepatan sekali dengan Hala Tuju SMJ yang kita gagaskan lebih tiga tahun yang lalu.
  4. Saya yakin dan percaya, Sabah hanya boleh dibangunkan serta dimajukan dengan adanya kestabilan politik. Malah kestabilan itu perlu bermula daripada parti kita sendiri, baik diperingkat cawangan, bahagian mahupun negeri. Kita wajib mengelak daripada berlakunya perpecahan dan pergeseran. Segala perbezaan yang wujud mesti diselesaikan dengan baik dan bijaksana. Jika kita bersatu, Gagasan Rakyat akan menjadi lebih kuat dan dihormati.
  5. Jika itu boleh kita lakukan, pimpinan kerajaan akan dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri. Kita memikul amanah berat untuk memastikan hak rakyat Sabah terbela. Kita ada tanggungjawab besar untuk selesaikan masalah yang menjadi isu legasi sejak sekian lama. Saya memberi jaminan, kerajaan negeri yang saya pimpin akan terus bertekad untuk memastikan segala permasalahan rakyat diambil perhatian serius dan diselesaikan.
  6. Dalam mengemudi pentadbiran negeri, saya sering mengingatkan rakan-rakan dalam GRS betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan antara kita ini terus dipupuk dan dibaja, agar matlamat untuk membina Sabah yang bersatu atau united, progresif, dinamik, aman dan sentosa, akan lebih mudah dicapai sepenuh-penuhnya. Dalam GRS kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama. Inilah juga asas perjuangan Gagasan Rakyat, menyelami hati budi golongan akar umbi dan menyediakan pelbagai insentif yang dapat mereka manfaatkan.
  7. Saya ingin berkongsi pandangan mengenai peri pentingnya mengamalkan politik hormat menghormati, politik perpaduan, dan politik pembangunan, khusus untuk kita di Sabah yang menerima pakai konsep dan semangat Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Sesuai dengan budaya dan adat resam orang Sabah yang peramah, bertoleransi tinggi dan hidup dalam harmoni, maka kita wajib menyemai dan menyuburkan semangat perpaduan kaum dikalangan kita bagi mengekalkan kerukunan dan keharmonian dalam masyarakat.
  1. Sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, sudah pasti kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya. Kita juga menginginkan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa ada rasa takut di dalam hati, atau rasa terancam dalam menjalani kehidupan seharian. Sedarlah, bahawa semua impian dan harapan itu hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita ini kekal aman dan stabil, rukun dan damai.
  2. Dalam konteks kepartian dan berkerajaan, kestabilan politik itu sangat penting untuk kita maju dan mara ke hadapan dalam suasana yang aman, makmur dan sentosa. Kestabilan politik itu sendiri adalah kunci kepada kemajuan dan kesejahteraan. Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal harapan kosong dan angan-angan. Kestabilan politik mustahil dapat dicapai jika pemimpin bercakaran. Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat turut diheret untuk bersengketa dan berbalah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada perselisihan yang berpanjangan. Persengketaan dan perselisihan jika dibiarkan berlarutan, tidak ditangani dengan bijaksana, akhirnya akan mencetuskan perpecahan. Perpecahan itu adalah punca kelemahan yang akan mengheret kita ke kancah kegagalan dan kehancuran. Para Perwakilan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
  3. Kita mempunyai tempoh sehingga bulan Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17. Maknanya, kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat.
  4. Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Kita memerlukan mandat baharu daripada rakyat serta sokongan yang signifikan untuk menerajui kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang. Tempoh tersebut amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kita mahu pastikan, setiap keluh kesah rakyat dapat diambil perhatian dengan serius untuk diselesaikan.
  5. Yakin dan percayalah, PRN-17 merupakan peluang terbaik untuk kita memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan untuk kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini. Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kukuh terpatri dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani.
  6. Melihat kepada situasi dan kedudukan kita masa kini, meski pun semuanya berjalan dengan baik dan teratur, tetapi Gagasan Rakyat, sebagai sebahagian daripada komponen dalam GRS, perlu mula memperkemaskan strategi, menyusun rapi pentadbiran dan pengurusan parti. Tiada lagi ruang untuk kita berlengah-lengah atau berpuashati dengan kedudukan dan pencapaian. Tiada lagi ruang untuk kita bermegah-megah dengan jawatan dan kedudukan
  1. Rakyat adalah punca kuasa. Di tangan rakyat terletaknya nasib kita. Parti ini sekadar bahtera atau kenderaan yang menggerakkan perjuangan kita. Saya sebagai Presiden, dan anda sebagai Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan dan sebagai Ketua Sayap; kitalah yang menakhoda atau menjadi jurupandu di peringkat kita masing-masing.
  2. Saya katakan ini sebagai peringatan kepada kita semua, bahawa di tahap ini, usaha kita seharusnya sudah sampai ke tahap paling maksimum, iaitu usaha mendekati dan menyantuni rakyat, bahkan usaha dalam mengajak rakyat untuk menyertai bahtera perjuangan kita. Ini termasuklah juga usaha memperkukuh pentadbiran dan struktur parti di setiap cawangan, di seluruh bahagian dan di semua peringkat! Cuba kita cermin-cerminkan diri, di mana dan bagaimana kedudukan kita sekarang ini? Maksud saya, jarak antara kita dengan rakyat; kedudukan antara kita dengan golongan akar umbi. Adakah kita ini dekat dengan mereka? Dan adakah mereka menyenangi serta menyokong perjuangan kita? Anda yang berada di lapangan, dan anda yang menjaga kawasan tentu lebih arif untuk memberikan reaksi atau jawapan daripada pertanyaan yang saya lontarkan.
  3. Selaku Presiden, saya bukan sahaja mengharapkan laporan atau cerita yang baik- baik daripada setiap kawasan, tetapi saya mahukan keikhlasan dan kejujuran dalam memberikan laporan berkenaan. Ada kalanya, laporan yang diterima tidak seperti maklumbalas yang sampai ke telinga saya, yang dibawa sendiri oleh ahli-ahli parti dari akar umbi. Sebab itu saya tekankan, hubungan antara pimpinan bahagian dengan rakyat setempat, hendaklah sentiasa rapat dan akrab, agar denyut nadi rakyat ini mudah kita selami dan fahami.
  4. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, perjuangan ini perlu ditingkatkan. Dan ketahanan kita dalam melayari bahtera perjuangan ini pun, perlu diperkukuhkan. Kita yang berada di dalam Gagasan Rakyat ini bukan sahaja perlu meneruskan langkah perjuangan, tetapi perkemaskan dan perkukuhkanlah dahulu parti kita, saling bekerjasama, bantu membantu dalam memperteguhkan parti, disamping mempergiatkan silaturrahim, bukan hanya di kalangan ahli parti, tetapi juga di kalangan masyarakat setempat.
  5. Jangan kita terbawa-bawa dengan amalan atau budaya politik yang hanya mengutamakan ahli-ahli parti semata-mata, tanpa melibatkan rakyat seluruhnya. Sebab kita tidak mahu rakyat menjauh atau rakyat rasa terpinggir dari arus perdana kemajuan dan pembangunan.
  6. Kebersamaan dan kesatuan kita ini perlu kuat dan hebat; perlu kukuh dan padu, umpama seberkas lidi yang diikat rapi. Kita perlu seia dan sekata, sehati dan sejiwa, bagai aur dengan tebing, bagai kuku dengan isinya. Kita perlu benar-benar padu dan bersatu; bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sireh, seliang bak tebu dan serangkap bak lembing. Kita tidak mampu lagi untuk bercerai berai, apatah lagi berpecah belah! Perceraian dalam konteks perkahwinan akan meruntuhkan institusi rumah tangga; anak-anak akan

menjadi mangsa. Perpecahan dalam konteks berpersatuan dalam perjuangan, akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan; dan anggota masyarakat adalah mangsanya. Perceraian dan perpecahan adalah dua perkara yang harus dielak dan dijauhi, kerana kedua- duanya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan rakyat. Kebersamaan, kesatuan dan perpaduan itu adalah kunci kepada kejayaan dan kecemerlangan.

  1. Dalam konteks Gagasan Rakyat, berulang kali telah saya sebut bahawa Gagasan Rakyat ini adalah singgahsana kita, ia adalah rumah kita! Sesungguhnya, rumah ini telah kita dirikan dan bina bersama dengan tekad dan iltizam yang padu dan jitu. Rumah ini, adalah rumah kita, rumah kita, kitalah yang jaga, rumah kita, kitalah yang bertanggungjawab terhadapnya!
  2. Justeru, sudah tiba masa untuk kita memperkemaskan kembali rumah kita ini. Menyusun-atur segala yang ada di dalamnya dan memperkukuhkan segala penjuru tiang serinya. Kerana rumah ini akan kita buka seluas-luasnya supaya ramai tetamu boleh datang dan bertandang, supaya lebih ramai rakyat yang boleh kita dekati dan santuni.
  3. Sebab itu saya ingatkan lagi; pertingkatkan daya juang, perkukuhkan jentera pilihanraya, rapatkan saf kepimpinan, dan lebih penting, jenguk-jenguklah rakyat, walau keberadaan mereka itu nun jauh di pelusuk kampung atau terpencil di kaki gunung! Menjelang tahun 2025, yang hanya tinggal beberapa minggu lagi ini, adalah hari-hari yang penuh dengan cabaran.
  4. Sebagai orang politik, mengharungi cabaran dan ujian, mengharungi ombak dan gelombang politik, itu perkara biasa. Sebagai orang politik juga, dicaci dan dicerca, pun adalah perkara yang biasa. Apatah lagi dalam dunia serba canggih sekarang ini, dengan TikTok-nya, dan dengan Al-nya, kita orang politk, semakin tercabar dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan pembohongan yang sangat luar biasa, yang terhasil daripada teknologi yang terlebih canggih. Hakikat itu kita kena fahami dan tangani.
  5. Justeru, saya ingin mengajak rakan-rakan seperjuangan sekalian, untuk kita sama- sama menggembleng tenaga dan minda, memerangi segala tohmahan, pembohongan dan fitnah yang menjadi-jadi di luar sana. Inilah bentuk cabaran dan ujian terbaharu dalam perjuangan. Kita tidak mahu rakyat terpedaya dan mempercayai segala pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang dan musuh-musuh politik kita. Sebagai kepimpinan parti yang dekat dengan golongan akar umbi, saya mengarahkan semua Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap, agar memantapkan Biro Politik masing-masing. Kerana itu adalah peranan biro berkenaan untuk menangkis dan memerangi segala dakyah, tohmahan, pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadap parti kita, terhadap pimpinan kita dan terhadap kerajaan GRS-PH Plus yang kita dukungi sekarang ini.
  6. Hakikatnya, akan lebih banyak cabaran dan halangan menunggu di hadapan. Dan akan lebih besar ujian dan tribulasi yang sedia menanti. Justeru, kita harus bekerja keras

dan bersedia untuk berkorban apa saja, bagi memastikan perjuangan ini berlanjutan dan tidak patah di pertengahan jalan! Hari ini, kita kembali menyatukan semangat dan memperteguh keyakinan, merapatkan saf kebersamaan, mendengar pandangan dan mencari kesimpulan untuk memperteguh kesatuan parti kita demi hari esok yang lebih cerah. Insya Allah.

  1. Marilah sama-sama kita berusaha dengan sesungguh hati, melakukan yang terbaik dan melaksanakan sedaya upaya, menjadikan negeri Sabah yang bertuah ini terus maju dan makmur, aman dan sentosa, selaras dan seiring dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bersifat holistik dan inklusif. Hala Tuju SMJ ini bertekad untuk melonjakkan Sabah ke mercu kejayaan dalam pelbagai bidang ekonomi, khususnya Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan. Agenda ini juga menekankan sasaran pembangunan jaringan infrastruktur yang menyeluruh di Sabah, termasuk Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Kelestarian Alam Sekitar.
  2. Alhamdulillah, Hala Tuju SMJ 1.0 ini telah berjaya merubah dan memperbaiki prestasi ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum akibat Pandemik Covid-19. Namun situasi mula berubah, bila mana GRS mengambilalih Kerajaan Negeri pada hujung bulan September, 2020, dengan mengadaptasikan konsep politik pembangunan melalui suatu dasar yang realistik dan pragmatik, sesuai dan secocok dengan kehendak dan keperluan negeri Sabah.
  3. Pendekatan mesra pelabur yang kita ambil, telah berjaya menarik masuk beberapa syarikat besar ke negeri ini, dimana pada tahun lalu sahaja nilai pelaburan yang tercatat berjumlah RM11.34 bilion, merupakan yang ke-7 tertinggi dalam negara. Serentak dengan itu, hasil negeri turut meningkat naik pada tahun yang sama yang mencecah RM7 bilion, merupakan yang tertinggi dalam sejarah! Selain itu, kita juga berupaya meningkatkan peratus pertumbuhan ekonomi negeri dengan unjuran 4.5 hingga 5 peratus pada tahun ini.
  4. Semua ini dapat dicapai kerana kita mempunyai iltizam politik yang tinggi. Pertama, untuk mewujudkan kestabilan politik. Kedua, untuk memulihkan semula ekonomi negeri. Ketiga, bekerja keras untuk memantapkan sistem penyampaian dalam sektor awam; termasuk memantapkan hubungan baik dengan sektor swasta, dan keempat, menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. Keempat-empat pendekatan ini telah berhasil membawa negeri ini kembali ke landasan yang tepat, dan kita berharap rakyat akan terus memberikan mandat kepada kita pada pilihan raya akan datang, kerana agenda besar pembangunan seperti yang terkandung di dalam Hala Tuju SMJ masih banyak yang perlu dilaksanakan.
  1. Kerajaan Negeri akan terus menerokai sumber-sumber baharu untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri kita ini dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun. Pada masa sama, pelan pembangunan juga akan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan. Untuk itu, Kerajaan Negeri bertekad menerokai potensi Ekonomi Biru atau Blue Economy, iaitu sumber baharu dalam pembangunan ekonomi negeri melalui penerokaan khazanah laut yang berpotensi tinggi untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui, serta lain-lain produk industri yang boleh diperolehi daripadanya. Kedudukan Sabah yang luarbiasa strategik; dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, sangat sesuai untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru yang disebut-sebut akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini untuk beberapa dekad mendatang.
  1. Dalam pada itu, kita juga menyedari bahawa modal insan merupakan aset terpenting dalam pembangunan negari. Justeru, pembangunan modal insan menjadi antara intipati Hala Tuju SMJ yang lebih holistik dan inklusif. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menambah sekali ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini berjumlah RM118 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya. Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi. Kerajaan negeri juga telah umumkan pemberian subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 seorang kepada anak-anak Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Dan baru-baru ini, ketika menghadiri Konvensyen Mahasiswa GRS, saya telah juga mengumumkan pemberian subsidi pengangkutan sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah yang belajar di dalam negeri.
  2. Seiringan dengan itu, Kerajaan juga menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai pelengkap kepada bantuan pendidikan sedia ada selain penubuhan Yayasan Kebajikan Sabah, beserta beberapa insentif lain dengan objektif untuk membantu rakyat yang sangat-sangat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang kurang berkemampuan.
  3. Membasmi kemiskinan, terutama miskin tegar, adalah antara agenda penting Kerajaan Negeri. Ke arah itu, Kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif dengan menawarkan pekerjaan kepada Ketua atau ahli dalam Isi Rumah golongan berkenaan. Program ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta, yang diselaraskan oleh Sekretariat SMJ, merupakan program yang berterusan. Sebagai contoh, dua buah syarikat pelabur yang beroperasi di KKIP, telah menawarkan peluang pekerjaan kepada seramai 4,000 orang anak-anak tempatan, dan beberapa orang daripadanya adalah dari golongan miskin tegar berkenaan.
  1. Dalam menoktahkan miskin tegar ini juga, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan, di kesemua 73 kawasan DUN melibatkan kos berjumlah RM250 juta.
  2. Untuk makluman, melalui pemeteraian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021, kita telah memperoleh penyertaan yang lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah, dimana Kerajaan Negeri diberikan 50% ekuiti (pegangan saham) di Lapangan Minyak dan Gas di Semarang, 25% di Samur Petrochemical Plant, 25% lagi di ZLNG di Sipitang, dan 10% di Petronas LNG9. Selain itu, pihak Petronas telah juga membayar 5% cukai jualan kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2021.
  1. Sebagai rakan kongsi dalam pembentukan negara bangsa Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan – lebih-lebih lagi jika Kerajaan Persekutuan itu dibentuk kerana sokongan dan dukungan kita bersama. Lumrahnya, di dalam Kabinet Persekutuan akan ada wakil-wakil daripada Sabah dan juga Sarawak, menjadikan dua wilayah di Borneo ini sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang dibentuk itu – kerana hakikatnya, kita adalah rakan kongsi dalam negara Malaysia. Justeru, hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, harus dijaga dengan baik, malah perlu lebih akrab bagi menjamin kerjasama padu dan jitu untuk kepentingan kita bersama.
  2. Demikianlah antara pendekatan dan strategi kita selama 4 tahun kebelakangan ini, berbaik-baik dengan jiran tetangga, berbaik-baik dengan semua negeri dan tentunya berbaik-baik dengan Kerajaan Pusat, kerana kita adalah antara pendukungnya! Semua ini kita lakukan semata-mata untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat. Semoga usaha murni yang kita perjuangkan bersama-sama ini, atas nama GRS-PH Plus – ke arah memakmurkan negeri dan membela rakyat – akan dapat dipertingkat dan diperhebatkan lagi pada masa-masa mendatang dengan sokongan dan dukungan padu semua pihak.
  3. Sekali lagi saya ingin memberi peringatan kepada orang-orang Gagasan Rakyat untuk merapatkan saf kepimpinan dan memperkukuhkan seluruh jentera parti. Rakyat di luar sana jangan dilupa. Aktiviti parti mesti melibatkan rakyat jelata bukan ahli parti semata-mata. Mendekati dan menyantuni rakyat bukan tugas kerajaan sendirian, tetapi itu adalah juga peranan YB-YB Gagasan Rakyat dan YB-YB Gabungan Rakyat Sabah, termasuk tanggungjawab semua pimpinan Gagasan Rakyat yang berada di hadapan saya ini! Apabila tiba masanya nanti, ketika mana diumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, maka pada saat itu, bersedialah untuk bekerja lebih keras, bekerja siang dan malam, demi memastikan parti kita, Parti Gagasan Rakyat Sabah dan GRS, tetap menjadi pilihan utama!
  4. Kita akan pulangkan kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi, sesuai dengan amalan demokrasi. Sebagai Government of the day, GRS-PH Plus, akan terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir. Menjelang pilihanraya nanti, kita akan terus menawarkan parti ini dan GRS kepada rakyat – kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta dan mensejahterakan rakyat yang dikasihi. Kerajaan ini tetap menjadi platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan legasi perjuangan.
  5. Pilihan Raya yang mendatang menuntut kita semua untuk memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan Gagasan Rakyat dan GRS adalah pilihan terbaik untuk seluruh rakyat – kerana kita bukan sahaja berupaya dan berkebolehan dalam memikul amanah, tetapi juga ikhlas dalam perjuangan dan jujur dalam mencurahkan khidmat bakti dimana seluruh rakyat boleh meletakkan kepercayaan

dan menyandarkan harapan.

  1. Sepanjang tempoh 4 tahun lalu, Kerajaan yang kita dukungi telah membawa banyak perubahan positif dalam politik, dalam ekonomi dan dalam semua aspek pembangunan negeri. Pendekatan kerajaan yang inklusif, telah membawa kepada kestabilan dan keharmonian berasaskan prinsip akomodatif. Lebih utama, selama 4 tahun ini, kita telah berjaya memperkukuhkan jambatan yang menghubungkan Sabah dengan Persekutuan, lantas memperkukuh kerjasama dan persefahaman dalam isu-isu penting berkaitan keselamatan, kedaulatan negeri, hak-hak Sabah dalam penerokaan minyak dan gas, dan lebih signifikan hak-hak Sabah di bawah MA63.
  2. Saya berharap, agar semangat perjuangan yang membara di dalam dewan ini, akan terus disemarakkan sehingga tiba Pilihan Raya. Saya berharap, semangat jitu dalam perjuangan yang dipamerkan oleh seluruh perwakilan pada hari ini, akan berkekalan sehingga ke Perhimpunan yang akan datang! Ayuh! Kita pertahankan Gagasan Rakyat! Ayuh! Kita pertahankan Gabungan Rakyat Sabah! Ayuh! Kita pertahankan Kerajaan yang kita dukungi ketika ini! Mari kita memperteguhkan perjuangan selaras pepatah yang berbunyi, “Bersatu dalam perkara yang kita sepakati dan bermusyawarah dalam perkara yang kita selisihi”. Jika kita bergerak dalam satu pasukan yang jitu, bergerak dalam satu irama yang sama, bergerak atas nama Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Makmur) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu), insya Allah, kita akan dapat menolak segala anasir yang cuba memperlekehkan dan mematahkan agenda pembangunan kita, sekaligus meletakkan posisi kita kehadapan sebagai pejuang yang mempelopori Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
  3. Marilah kita bangkit mempertahankan kerajaan yang terbina di atas tembok demokrasi ini. Bangkit menentang segala tohmahan, pembohongan, hasutan dan fitnah! Bangkit bagi menegakkan kebenaran dan keadilan! Dan bangkit bagi memperjuangkan hak kita dan hak negeri yang tercinta! Jangah sekali-kali kita berganjak dan berundur diri. Jangan sekali-kali kita mengangkat tangan dan menyerah kalah! Biar petir berdentum, biar langit bergegar hingga memuntahkan hujan api sekali pun, kita tidak akan berganjak walau seinci! Patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku! Namun pendakian akan tetap kita daki, dan lautan api akan terus kita renangi! Pantang maut sebelum ajal, pantang berundur sebelum bertarung! Kita wira-wira bangsa dan para pejuang Gagasan Rakyat – ayuh! Bangkit dan nyatakan kepada dunia, kita adalah pembela rakyat, dan kita adalah pejuang yang sanggup gugur demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negeri yang tercinta! Makan ulam daun Pegaga Ulam dipetik keliling kampung Rumah kita, kitalah yang jaga Tempat rakyat datang berlindung

Ombak besar memukul pantai Mengheret hanyut ikan Seluang Walau dihempas dipukul badai Gagasan Rakyat TATAP berjuang

Keris panjang terhunus rapi Langkah dibuka perlahan-lahan Walau langit runtuh ke bumi Menyerah kalah bukan pilihan!

Sekian, Selamat Bersidang dan Selamat Maju Jaya! Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply

Proudly powered by WordPress | Theme: Baskerville 2 by Anders Noren.

Up ↑