

TUARAN: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM68.28 juta tahun ini
untuk melaksanakan projek menangani dan mencegah banjir, program penstabilan dan
pencegahan hakisan tebing sungai dan pantai di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek pencegahan banjir dan hakisan itu akan dilaksanakan di pelbagai lokasi di seluruh negeri, terutamanya kawasan berisiko banjir. Beliau berkata, usaha itu adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa kerana kesejahteraan hidup rakyat menjadi keutamaan Kerajaan.
“Projek pertahanan tebing sungai yang akan dilaksanakan di kawasan Pekan Tuaran,
merupakan antara usaha diambil oleh kerajaan untuk pencegahan hakisan tebing sungai, bagi memastikan fungsi sungai itu sebagai saliran dan takungan banjir dapat dikekalkan”. “Dalam masa sama, projek itu yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan, sudah pasti mampu menghalang fenomena hakisan tebing pada masa akan datang”, katanya pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing
Sungai Tuaran di tapak projek itu di Pekan Tuaran pada Khamis.
Katanya, Projek Kerja-Kerja Pertahanan Tebing Sungai Tuaran unik kerana ia bukan hanya untuk mengukuhkan tebing sungai, malah turut mengambil kira keperluan untuk mengindahkan persekitaran Sungai Tuaran di pekan Tuaran. Menurutnya, pengindahan tebing sungai akan memberi manfaat lain khususnya sebagai kawasan rekreasi awam untuk membolehkan aktiviti rekreasi seperti riadah/jogging, memancing, lokasi penganjuran aktiviti disamping dijadikan tempat baru kunjungan awam di pekan Tuaran. “Justeru saya mahu Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah selaku agensi pelaksana projek ini agar dapat menguruskan projek ini dengan sebaiknya dan disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Saya juga berharap agensi-agensi yang berkenaan dapat menyepadukan usaha agar kecantikan kawasan ini dapat dijaga dan fasiliti-fasiliti yang dibina akan diselenggara dengan sebaiknya, setelah siap kelak”, tegasnya.
Hajiji berkata, sungai mempunyai banyak kegunaan dalam kehidupan seharian, selain
sebagai sumber air utama bagi bekalan air minuman juga untuk kegunaan lain seperti
pertanian dan industri. Sungai juga merupakan habitat utama bagi flora dan fauna
merangkumi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan akuatik dan spesis ikan serta haiwan
akuatik yang lain.
Katanya, di beberapa tempat di Sabah, sungai masih lagi digunakan sebagai jalan
penghubung utama bagi masyarakat untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan
yang lain.
Beliau berkata, sungai tidak terkecuali terkesan daripada tekanan-tekanan luaran yang
boleh memudaratkan bukan sahaja kuantiti dan kualiti airnya tetapi juga fungsi
ekosistemnya. Di bahagian hilir sesebuah sungai terutamanya, kejadian pencemaran
semakin bertambah akibat pelbagai faktor termasuklah tahap kekeruhan air disebabkan
sedimen semakin meningkat selain sampah-sarap.
“Justeru, projek yang kita lancarkan amat penting sebagai ‘showcase’ berkaitan
kepentingan sungai kepada masyarakat dengan harapan agar objektif untuk
meningkatkan kesedaran pentingnya mengekalkan fungsi sungai dapat diterapkan
kepada semua lapisan masyarakat bukan sahaja di Tuaran tetapi juga ke tempat-tempat
lain di seluruh Sabah”, jelasnya.
Tamat






















Leave a Reply