RM99.05 Juta Untuk Bangun Sub Sektor Ternakan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM99.05 juta untuk sub sektor ternakan bagi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan 43 projek pembangunan yang bertujuan meningkatkan keterjaminan makanan berasaskan ternakan yang berkualiti serta meningkatkan tahap keselamatan makanan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, pelbagai program juga dilaksanakan bagi membantu para pengusaha dalam industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan pada tahun ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memastikan peranan sokongannya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik bagi menyokong Agro-integrasi bekalan rantaian nilai makanan.

“Kerajaan juga akan memastikan semua syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam sektor pengeluaran agro-makanan akan saling melengkapi untuk mencapai sinergi yang optimum”, katanya pada majlis Malam Apresiasi DESA 2024 di Sabah Intermational Convention Centre (SICC) pada Jumaat.

Hajiji berkata, syarikat kumpulan DESA telah mencapai pertumbuhan perniagaan yang stabil dengan kedudukan kewangan yang kukuh sejak tahun 2012 sehingga kini, melalui pelaksanaan pelbagai pemulihan perniagaan dan strategi penstrukturan semula kewangan yang sebahagian besarnya dibiayai oleh rizab tunai yang dijana secara dalaman.

“Saya percaya ini adalah hasil daripada pengurusan dana dan perancangan strategik yang sangat berkesan dan cekap oleh lembaga dan pengurusan DESA. DESA kekal bergerak maju dalam pemodenan dan pembangunan perniagaan serta dapat memberi pulangan positif kepada pelaburan pemegang saham. Sehingga kini, DESA telah memberi dividen sebanyak RM30.5 juta kepada Kerajaan Negeri”, katanya.

Menurutnya, syarikat kumpulan DESA memainkan peranan penting dalam mengubah sektor pertanian Sabah, terutama sub-sektor ternakan menjadi sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑