
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, Pulau Gaya, khususnya bagi mengambil kira pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan prihatin terhadap kesulitan penduduk terbabit, namun tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan mengikut proses undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, Kampung Pondo adalah kawasan penempatan setinggan yang sudah terlalu padat dengan rumah, selain terletak di kawasan pulau yang menjadi kawasan peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan kediaman.
“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana.
“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat pulau, jadi rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah menetapkan supaya penempatan setinggan dipindahkan atau dirobohkan, selaras dengan perancangan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Katanya, penduduk juga perlu memahami tindakan kerajaan berikutan kawasan berkenaan sudah diduduki sejak berpuluh-puluh tahun, namun statusnya sebagai kawasan larangan mendirikan rumah tidak berubah.
“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin
“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. la kawasan setinggan,” katanya.
Beliau berkata, setiap kali kerajaan mahu melaksanakan tindakan perobohan, pelbagai alasan dan tuduhan timbul, termasuk dakwaan kerajaan tidak mengambil berat terhadap kebajikan penduduk.
Katanya, kerajaan tetap berusaha mencari jalan bagi memastikan kehidupan penduduk yang terjejas tidak terabai, namun keputusan penguatkuasaan terhadap penempatan setinggan perlu difahami.
Tamat





















Leave a Reply