GRS Sasar 16 Kerusi – S.L Lim Baca Rekod Sabah Sampai Habis Jangan Malas

S. L. Lim memetik seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pengundi menilai kerajaan berdasarkan pencapaian. Baik, gunakan ukuran itu terhadap GRS. Tetapi apabila seluruh pentadbiran Sabah dihukum gagal, rekod yang dipetik juga mesti dibaca sampai habis.

Ambil kes Sabah Forest Industries (SFI). Petisyen penggulungan sudah difailkan pada 2017. Pada November tahun yang sama, syarikat itu mengumumkan program pemberhentian kerja sementara melibatkan 1,350 pekerja. Masalahnya jelas bermula sebelum GRS mentadbir.

Krisis SFI bermula sebelum Warisan mengambil alih. Namun, laporan pemantauan pada Jun 2020 merekodkan aduan pekerja bahawa gaji pokok mereka dibayar hanya sehingga Mac 2019. Jadi, kalau nasib pekerja SFI mahu dijadikan ukuran prestasi GRS, Warisan juga perlu menjawab bagaimana isu gaji dan pengambilalihan syarikat itu ditangani ketika ia memerintah.

Sabah Development Bank. Jika S. L. Lim mahu membangkitkan pinjaman bermasalah SDB bernilai RM5 bilion, beliau juga perlu meneliti peristiwa pada Ogos 2019, ketika Warisan memerintah. Menurut Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, SDB memberi pinjaman baharu RM172 juta untuk menampung faedah tertunggak sebelum akaun itu diklasifikasikan semula sebagai pinjaman berbayar. Persoalannya, jika faedah dibayar melalui pinjaman baharu, apakah yang sebenarnya berjaya dikutip daripada peminjam?

Pinjaman RM5 bilion Sabah Development Bank. Kementerian Kewangan Sabah menjelaskan bahawa kebanyakan pinjaman berkenaan disokong cagaran berasaskan tanah dan sedang melalui proses pemulihan. Jadi menuduh bank itu dijadikan tabung peribadi, bentangkan siapa meluluskan pinjaman, bila kelulusan dibuat dan siapa yang mendapat manfaat. Tuduhan sebesar itu memerlukan bahasa yang garang jika benar seperti yang dikata.

Kontroversi projek udang Pitas mendahului pentadbiran GRS. Pada Disember 2013, The Star sudah melaporkan penggantungan projek akibat pembukaan hutan bakau tanpa kelulusan terlebih dahulu. Jika ada keputusan GRS yang memburukkan keadaan, nyatakan keputusan tersebut. Menyenaraikan projek lama bukan bukti bahawa kerajaan hari ini mencipta kegagalannya.

Bekalan air. Kerajaan Warisan menamatkan konsesi syarikat yang mengurus 58 loji rawatan air, berkuat kuasa Januari 2019. Menurut Ketua Menteri Hajiji Noor, kerajaan negeri kemudian disaman dan membayar kira-kira RM315 juta kepada syarikat konsesi. Soalan kepada Warisan mudah. Apakah penjimatan yang dijanjikan, berapa kos sebenar selepas penamatan, dan di daerah mana bekalan air bertambah baik hasil keputusan itu?

Kemiskinan. Pada 2019, ketika Warisan mentadbir, Sabah sudah mencatat kadar kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia, iaitu 19.5 peratus. DOSM menganggarkan kadar itu meningkat kepada 25.3 peratus pada 2020, ketika pandemik COVID-19 menekan pendapatan isi rumah. Angka 2019 sahaja sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kedudukan Sabah di tangga teratas carta kemiskinan mendahului pentadbiran GRS.

DOSM turut merekodkan penurunan kadar kemiskinan mutlak daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024. Penurunan itu perlu diambil kira apabila menilai prestasi. Mengambil angka yang memburukkan kerajaan GRS meninggalkan arah perubahannya menghasilkan gambaran yang tempang.

Jadi pada kau S.L Lim, kalau mahu mengajar rakyat menilai pencapaian, bentangkan rekod dengan lengkap. Jangan angka diambil, sejarah dibuang dan tuduhan dijadikan keputusan. Kritikan yang lantang belum tentu kritikan yang benar.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑