
Penafian Setiausaha Agung Warisan, Loretto S. Padua Jr, terhadap dakwaan lebih 2,000 ahli meninggalkan parti di Kudat hanyalah retorik politik semata mata bagi mengawal kerosakan yang dihadapi oleh parti Warisan selepas pemilihan Warisan baru baru in.
Pada 1 November 2026, sekumpulan individu yang mendakwa mewakili 38 ketua cawangan mengumumkan keluar parti bersama 2,116 ahli. Loretto mempertikaikan angka tersebut dan meminta senarai ahli serta cawangan dikemukakan. Lucu!
Kenapa pula mereka yang sudah nekad meninggalkan Warisan perlu terus melayan tuntutan parti yang tidak lagi mereka percayai? Mereka berhak menentukan haluan politik sendiri. Sebaliknya, Setiausaha Agung Warisan yang menafikan dakwaan itu sepatutnya membentangkan hasil semakan parti secara terperinci, berapa orang sebenarnya sudah keluar, cawangan mana yang dipertikaikan dan apakah asas penafiannya? Memang angka 2,116 memerlukan bukti untuk diterima sebagai fakta, tetapi penafian Warisan juga bukan bukti muktamad. Jangan sekadar mencabar orang lain menunjukkan senarai tanpa menjelaskan rekod yang menjadi sandaran sendiri.
Malah, perkembangan terdahulu di Kudat merujuk tajuk artikel “nafi ahli keluar parti” perlu dibaca dengan teliti. Pada 20 Oktober 2026, Ketua Bahagian Warisan Kudat, Datuk Harun Ismail, dilaporkan menafikan 200 ahli baru meninggalkan parti untuk menyertai GRS. Penjelasannya ialah individu berkenaan sudah keluar pada Jun 2026. Ertinya, yang dipertikaikan ialah masa pengunduran, bukannya semata-mata sama ada pengunduran pernah berlaku.
Saya juga pernah merekodkan pengunduran pemimpin Warisan sebelum PRN17. Artikel bertarikh 18 Februari 2023 melaporkan pengunduran pemimpin Wanita di Kota Belud, Ranau dan Pansiangan, serta memuatkan kenyataan mengenai kehilangan keyakinan terhadap pucuk pimpinan dan hala tuju parti. Rekod ini menunjukkan bahawa isu pemimpin meninggalkan Warisan bukan cerita yang baru muncul hari ini.
Warisan juga wajar mengingati keputusan PRN Sabah ke-17. Bahawa 23 calon Warisan hilang wang deposit. Kekalahan ini boleh dijadikan bukti pengunduran ahli Warisan selama ini.
Mempertikaikan angka belum menjawab mengapa ada yang meninggalkan parti. Itulah persoalan politik yang Warisan masih perlu hadapi.





















Leave a Reply