
KUDAT: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meninjau projek pembinaan 20 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) jenis bertiang yang dibangunkan secara berkelompok di Kampung Perpaduan Ria 2, di sini, pada Sabtu.
Projek berkenaan mula dibina pada Ogos lalu dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dengan kos RM95,000 bagi setiap unit.
Mengiringi lawatan Hajiji ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang; Pembantu Menteri Kewangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong; serta pegawai kanan kerajaan.
Rumah Mesra SMJ adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sabah bagi membantu golongan berpendapatan rendah, miskin, pemilik rumah daif serta mereka yang tidak memiliki rumah sendiri, tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan.
Program itu dilaksanakan di seluruh 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada golongan memerlukan.
Bagi 2026, kerajaan meningkatkan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap DUN, termasuk tambahan 10 unit khusus untuk golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang sudah berkahwin tetapi belum memiliki rumah sendiri.
Tamat





















Leave a Reply