Kerjasama Warisan, KDM dan STAR: Bagaimana Menyelaraskan Pendirian Selepas Saling Mengkritik?

Foto berita Daily Express bertajuk Warisan, KDM, Star maintain ties at local level

Saya terbaca bahawa Warisan, KDM dan STAR sedang meneroka kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Namun, prospek kerjasama tersebut masih belum dapat dipastikan, memandangkan dalam pilihan raya negeri ke-17 baru-baru ini, ketiga-tiga parti itu masing-masing merekodkan calon yang kehilangan deposit: Warisan seramai 23 orang, KDM 30 orang dan STAR 36 orang.

Keputusan ini menggambarkan sokongan pengundi terhadap ketiga-tiga parti tersebut sangat lemah. Antara faktor yang besar kemungkinan mempengaruhi keputusan itu ialah penilaian pengundi terhadap prestasi dan kepimpinan parti masing-masing ini kerana mereka sudah melalui fasa sebagai kerajaan namun tidak menguntungkan negeri dan rakyat Sabah secara keseluruhannya tanpa mengira jenis bangsa.

Sebelum ini, ketiga-tiga parti tersebut juga pernah mengkritik antara satu sama lain. Pihak Warisan, misalnya, pernah menuduh kepimpinan STAR sebagai kurang berkesan dalam memperjuangkan kepentingan komuniti KDMR dari segi aspek pembangunan dan agama. Perkara ini pernah aku tulis di jalinluin.com yang mengangkat tuduhan Shafie kononnya pemimpin KDMR dari PBS dan STAR tidak menjaga kepentingan agama Kristian. Hari ini Shafie bercakap soal kebebasan beragama yang jelas bertentangan dengan tuduhannya itu.

Menjelang PRN ke-17, Shafie Apdal turut mendakwa bahawa masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) masih miskin kerana terlalu banyak parti politik mewakili mereka. Kenyataan ini menimbulkan persoalan tentang keserasian kerjasama yang kini diteroka: bagaimana Warisan, KDM dan STAR mahu menyelaraskan pendirian selepas kritikan sedemikian?

Shafie pernah mengecam perubahan sokongan politik Jeffrey, sebagai “Tidak pernah dalam sejarah dalam satu hari paling banyak lompat si Jeffrey.” Manakala Jeffrey pernah memberi amaran supaya rakyat Sabah tidak mempercayai Warisan pimpinan Shafie kerana membawa agenda Malaya dan sebagainya.

Pada pandangan saya, antara faktor yang membolehkan STAR bertahan ialah sentimen terhadap latar belakang kaum Shafie Apdal yang dibawa oleh pemimpin dan jentera parti itu. Jika STAR kini mahu bekerjasama dengan Warisan, bagaimana mereka akan menjelaskan perubahan pendirian tersebut kepada penyokong sendiri? Adakah penyokong STAR boleh menerima Warisan selepas sentimen itu digunakan untuk meraih sokongan?

Pada saya, KDM masih merupakan parti picisan yang belum keluar daripada bayangan Warisan, memandangkan pengasasnya, Peter Anthony, pernah menjadi Naib Presiden Warisan. Jangan lupa pemimpin KDM Peter pernah mendakwa bahwa perjuangan Warisan telah tersasar sebelum dia menubuhkan KDM. Ertinya tuduhan ini menyokong tuduhan Jeffrey Kitingan di atas. KDM juga perlu berdepan persoalan integriti yang dikaitkan dengan pengasasnya. Peter disabitkan atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000. Pada 20 Ogos 2025. Bagi saya, rekod ini menjadi beban politik kepada KDM dalam usaha meyakinkan pengundi tentang kewibawaan parti itu.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from jalinluin.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading