Peningkatan Ketara Selepas Sabah Mengambil Alih Kawal Selia Elektrik Dan Tenaga Boleh Baharu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri ini mengambil alih kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu.

“Dahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.

Sabah mengambil alih kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECOS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.

Setahun sebelum itu, Sabah telah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata jidar simpanan penjanaan Sabah dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata jidar simpanan telah meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada tahun 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini.

Pada masa sama, Ketua Menteri berkata Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.

Beliau berkata perkembangan ini merupakan hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem Grid yang dilaksanakan secara berterusan.

Hajiji berkata pengukuhan sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan daya harap dan keanjalan sistem.

“Ini selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,”katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu hari ini.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTS ialah semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) untuk tempoh 10 tahun bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga.

Bagi memperkukuh bekalan di Pantai Timur, Hajiji berkata cadangan pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi.

“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya, sambil menambah bahawa LSS dan BESS juga dilaksanakan khusus untuk meningkatkan kebolehpercayaan penjanaan elektrik di Pantai Timur.

“Setiap keputusan MTS hendaklah dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri akan terus memantau pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat sebenar kepada kebolehpercayaan sistem.

Tamat.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from jalinluin.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading