Peruntukan Hampir RM1 Bilion Untuk Pertanian, Perindustrian Dan Pelancongan Tahun Ini


KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk pembangunan sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan yang terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah tahun ini.

Oleh itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu setiap Pegawai Daerah melihat potensi ekonomi yang ada di kawasan masing-masing.

“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada yang mempunyai sumber marin. Ada juga yang mempunyai potensi dalam industri dan perdagangan. Potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang.

“Tugas kita ialah memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-29 di Hotel Perkasa di sini pada Isnin.

“Dalam hal ini, saya melihat Ekonomi Biru sebagai satu bidang yang mempunyai potensi besar, khususnya di kawasan luar bandar. Sabah mempunyai sumber marin, biodiversiti dan kawasan pesisir yang luas.

“Potensi ini perlu dimanfaatkan secara berhemah untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat. Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi tersebut dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya.

Hajiji mengulangi bahawa untuk tahun ini, Kerajaan Negeri mempunyai siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion bagi 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.

“Siling peruntukan itu adalah untuk 241 projek sambungan manakala 932 merupakan projek baharu namun, semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya.

Justeru, Ketua Menteri mahu setiap Pegawai Daerah memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan projek dan program di daerah masing-masing. Dan pemantauan perlu dibuat secara berterusan. Sekiranya terdapat masalah, ia perlu dikenal pasti lebih awal dan sekiranya berlaku kelewatan, puncanya perlu diketahui dan tindakan sewajarnya perlu diambil.

Beliau berkata Pegawai-Pegawai Daerah dan Daerah Kecil juga perlu mengubah cara melihat kejayaan pembangunan dan bukan hanya melihat kepada kepada jumlah projek yang diluluskan atau disiapkan.

2

“Kita perlu melihat kepada impak untuk rakyat. Adakah masalah rakyat telah diselesaikan, kemudahan mereka bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan adakah kualiti hidup rakyat meningkat? Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya.

Hajiji memberi jaminan bahawa pembangunan luar bandar akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri terutamanya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Begitu juga perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi masyarakat. Kita mahu jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan,” katanya.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah atas pembangunan Aplikasi Online Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, satu langkah penting untuk menjadikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cepat, telus dan mesra rakyat.

“Saya berharap aplikasi ini terus diperkasakan, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau Al. Teknologi ini boleh membantu rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, selain memudahkan proses permohonan dan semakan.

Ketua Menteri mahu budaya kerja dalam pentadbiran daerah terus diperkukuhkan.

“Kita mahu perkhidmatan yang cepat, keputusan yang tepat, tatakelola yang baik dan setiap tindakan haruslah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Kita tidak boleh setiap kali berlaku perubahan, perancangan pembangunan turut berubah. Rakyat memerlukan kesinambungan manakala pelabur memerlukan keyakinan dan jentera kerajaan memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya.

“Kejayaan kerajaan bukan hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan tetapi melalui perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.

“Apabila jalan menjadi lebih baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya.

Beliau mengajak mereka untuk sama-sama memperkukuh pentadbiran daerah dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

“Jadikan Pejabat Daerah sebagai institusi yang cekap, responsif, berintegriti dan dekat dengan rakyat. Dengan komitmen seluruh jentera kerajaan, saya yakin kita mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negeri dan menjayakan Sabah Maju Jaya 2.0 demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from jalinluin.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading