Tahun Melawat Sabah 2027 Perkukuh Jenama Sabah Sebagai Destinasi Bertaraf Dunia

SEMPORNA: Kerajaan Negeri Sabah sedang merangka pelbagai program sempena  Tahun Melawat Sabah 2027 yang akan menjadi pemangkin utama pengukuhan jenama  Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor.  

Beliau berkata, program Tahun Melawat Sabah 2027 ini bukan sahaja bagi  mengekalkan momentum positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026 tetapi ianya  juga adalah untuk memastikan kesinambungan pertumbuhan industri pelancongan yang  mampan dan inklusif. 

Sementara itu, katanya seiring dengan pengisytiharan Tahun Melawat Malaysia 2026,  Kerajaan Sabah telah dan akan mempergiat inisiatif, program dan acara berimpak tinggi  bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah. 

“Ini termasuklah program seperti Regatta Lepa Semporna selain mempromosikan  pelancongan berasaskan komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital bagi  menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” kata Ketua Menteri pada majlis  perasmian Regatta Lepa Semporna di sini malam ini. 

Ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan  Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. 

Ketua Menteri berkata dengan pelbagai program yang dirancang, Sabah berada di  landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena  Tahun Melawat Malaysia 2026 serta membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah  2027.  

“Tahun lalu, Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta  pelawat,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha-usaha yang  mampu memperkukuhkan kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan  budaya dan maritim yang unggul di rantau ini.  

“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, usaha memelihara warisan budaya  bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama agar  identiti dan jati diri kita tidak hilang ditelan zaman. 

“Justeru, dalam konteks ini kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada  pembangunan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan  ekonomi Sabah, dengan kepelbagaian khazanah budaya dijadikan tarikan ke negeri ini,”  katanya. 

Ketua Menteri berkata Regatta Lepa telah membuktikan bahawa acara berasaskan  budaya mampu menjadi produk pelancongan yang berimpak tinggi.  

“Setiap tahun, ribuan pelawat datang ke Semporna untuk menyaksikan sendiri  keindahan perahu lepa, persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional serta  pelbagai aktiviti yang disediakan. 

“Kehadiran pelancong ini secara langsung memberi manfaat kepada pengusaha hotel,  pengusaha bot pelancongan, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan  dan minuman serta masyarakat setempat,” katanya. 

Perahu lepa merupakan simbol kehidupan masyarakat Bajau Semporna sejak zaman berzaman bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan di lautan, malah menjadi  lambang kemahiran, kreativiti dan kehalusan seni masyarakat.  

“Keunikan inilah yang menjadikan Regatta Lepa begitu istimewa. Ia mempamerkan  keindahan budaya, adat resam dan nilai-nilai kehidupan yang diwarisi daripada generasi  terdahulu. Warisan seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia merupakan khazanah  yang tidak ternilai harganya,” katanya. 

Tamat

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading