
SANDAKAN, 3 Jun – Pengumuman peningkatan Bayaran Interim Khas kepada Sabah sebanyak RM1.5 bilion oleh Kerajaan Persekutuan disambut baik oleh Naib Presiden II, Parti Cinta Sabah, Abdul Rajak Janit, yang menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting dalam usaha mengembalikan hak-hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, apa yang lebih membanggakan rakyat Sabah ialah pengumuman tersebut bukan sekadar janji politik atau kenyataan di atas kertas, tetapi merupakan bukti bahawa Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sedang melaksanakan komitmen mereka secara nyata.
“Ini bukan hanya sekadar pengumuman oleh PMX. Ini adalah pelaksanaan yang sedang berlaku. Rakyat Sabah telah terlalu lama mendengar pelbagai janji mengenai hak negeri, tetapi hari ini kita melihat tindakan yang diterjemahkan melalui peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion.
“Ia membuktikan bahawa hak Sabah bukan lagi sekadar bahan perbincangan, tetapi sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bayaran interim tersebut merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan tuntutan pemberian khas kepada Sabah berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang berkait rapat dengan semangat serta asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Abdul Rajak turut menyifatkan perkembangan itu sebagai satu berita yang memberi harapan dan suntikan semangat baharu kepada seluruh rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah perlu melihat RM1.5 bilion ini sebagai petanda bahawa suara dan hak Sabah semakin diberi perhatian. Walaupun perjuangan masih belum selesai, namun kita kini dapat melihat hasil yang nyata.
“Perjalanan menuju pelaksanaan penuh hak Sabah memerlukan masa, kesabaran dan kerjasama semua pihak. Apa yang penting, kita sudah bergerak ke hadapan dan bukan lagi berada di tempat yang sama seperti dahulu,” katanya.
Beliau percaya peruntukan tambahan itu akan membantu mempercepatkan pembangunan negeri, meningkatkan kemudahan asas, memperkukuhkan ekonomi rakyat serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Sabah.
“Sabah bukan negeri yang meminta simpati. Sabah hanya menuntut apa yang menjadi haknya. Apabila hak itu dilaksanakan, seluruh rakyat akan menikmati manfaatnya melalui pembangunan yang lebih pesat, peluang pekerjaan yang lebih baik dan peningkatan taraf hidup yang lebih sejahtera.
“Saya percaya rakyat Sabah mahukan pemimpin yang mampu menghasilkan keputusan dan bukan sekadar retorik. RM1.5 bilion ini adalah bukti bahawa apabila ada kesungguhan politik dan kerjasama yang baik, hasilnya dapat dinikmati oleh rakyat.”
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah supaya terus bersatu mempertahankan hak negeri tanpa mengira perbezaan politik demi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Sabah semakin dihormati, hak Sabah semakin diiktiraf dan masa depan Sabah semakin cerah. Inilah semangat yang perlu kita bawa bersama demi generasi hari ini dan akan datang.”






















Leave a Reply