
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan membidas dakwaan MAWAR Channel berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang yang disifatkannya sebagai tidak benar dan mengelirukan.
Beliau berkata, tulisan dan poster yang disiarkan di Facebook itu memberi gambaran salah terhadap Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta pengurusan hasil minyak dan gas negeri.
Menurut Nizam, dakwaan kononnya urea dan ammonia dari Sabah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk dikilangkan menjadi baja adalah tidak tepat kerana loji SAMUR di Sipitang merupakan antara loji pengeluaran baja urea terbesar di Asia Tenggara.
“Hakikatnya, loji SAMUR di Sipitang bukan sekadar memproses bahan mentah, tetapi menghasilkan baja urea sebagai produk siap yang diproses sepenuhnya di bumi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nizam turut mengecam tindakan memaparkan gambar Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam bahan politik yang disifatkan membawa fitnah.
Katanya, institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu dihormati sebagai institusi negeri yang berada di atas politik kepartian dan tidak wajar diheret dalam propaganda politik.
Sehubungan itu, beliau berkata kandungan tulisan dan poster MAWAR Channel akan dirujuk kepada peguam untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah, memanipulasi fakta, mencemar nama baik pemimpin Kerajaan Negeri atau menyeret imej institusi negeri dalam kempen politik tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam masa sama, Nizam berkata MAWAR Channel perlu berhenti memperkecilkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Beliau berkata, melalui SMJ Energy, Sabah telah memperoleh 25 peratus pegangan ekuiti dalam loji SAMUR, sekali gus meletakkan negeri ini bukan lagi sebagai pemerhati, tetapi rakan perniagaan rasmi yang mempunyai kepentingan langsung dalam aset strategik tersebut.
Menurutnya, pegangan ekuiti itu membolehkan Sabah menerima manfaat secara langsung daripada keuntungan, dividen dan hasil jualan produk baja yang dikeluarkan oleh SAMUR.
“Hasil ini seterusnya dapat disalurkan kembali bagi membiayai pembangunan negeri dan memperkukuh kedudukan ekonomi Sabah,” katanya.
Nizam berkata baja urea yang dihasilkan di SAMUR dipasarkan ke pasaran antarabangsa dan dalam Malaysia berdasarkan pertimbangan komersial bagi memaksimumkan pulangan.
Justeru, katanya, tuduhan bahawa Sabah hanya menjadi mangsa atau tidak mendapat manfaat daripada SAMUR adalah tidak tepat dan sengaja mengelirukan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan industri baja, petrokimia serta minyak dan gas tidak boleh dilihat secara emosi semata-mata kerana ia melibatkan pasaran, modal, teknologi, kos logistik, daya maju kilang, tenaga kerja mahir, insentif pelaburan dan jaringan eksport.
“Kerajaan yang bertanggungjawab tidak membuat keputusan hanya untuk kelihatan hero di media sosial, tetapi berdasarkan kepentingan ekonomi jangka panjang Sabah,” katanya.
Mengulas cubaan pihak tertentu mengangkat Datuk Seri Shafie Apdal sebagai pemimpin yang kononnya paling tegas mempertahankan hasil Sabah, Nizam berkata perkara itu perlu dinilai secara jujur berdasarkan rekod ketika beliau menjadi Ketua Menteri.
Katanya, rakyat perlu menilai sama ada ketika pentadbiran terdahulu wujud model besar yang benar-benar dimuktamadkan bagi memastikan Sabah mempunyai pegangan komersial lebih kukuh dalam aset minyak dan gas seperti yang sedang dilaksanakan melalui SMJ Energy.
“Mudah untuk bercakap selepas tidak lagi memegang kuasa. Mudah juga mendakwa semua bahan mentah Sabah tidak patut keluar dan semua industri hiliran mesti dibina di Sabah.
“Malangnya, ketika diberi peluang mentadbir kerajaan, pendekatan itu tidak diterjemahkan secara menyeluruh kepada struktur pemilikan, penyertaan ekuiti dan hasil komersial yang nyata untuk Sabah,” katanya.
Nizam berkata, Kerajaan GRS tidak pernah menolak keperluan memperkukuh industri hiliran di Sabah, sebaliknya sedang meningkatkan penyertaan negeri dalam rantaian nilai minyak dan gas secara berperingkat, realistik dan memberi pulangan sebenar kepada rakyat.
Beliau menyeru MAWAR Channel supaya menarik balik tulisan serta poster berkenaan, menghentikan penyebaran dakwaan yang mengelirukan dan memohon maaf atas tindakan mengheret imej TYT Sabah dalam propaganda politik.
“Sabah tidak akan maju dengan politik fitnah. Sabah akan maju dengan kestabilan, keberanian berunding, kebijaksanaan mengurus aset dan kepimpinan yang memilih hasil berbanding slogan,” katanya.
Sumber Media SMJ.






















Leave a Reply