

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memberi jaminan Kerajaan Sabah terus menjadi penjaga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar negeri ini, sambil kekal tegas mempertahankan masa depan ekonomi rakyat.
“Inilah keseimbangan yang dicari Sabah. Inilah masa depan yang sedang dibina oleh Sabah,” katanya pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability World Green and Sustainability (WGSS) di Shangri-La Tanjung Aru Resort dekat sini pada Isnin.
Beliau berkata Sabah menyokong sepenuhnya tenaga boleh diperbaharui dan perlindungan alam sekitar yang lebih kukuh, namun pada masa sama Sabah masih merupakan sebuah negeri membangun.
“Kita sedang memperkukuh infrastruktur, memperluas kapasiti industri, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keselamatan tenaga demi pertumbuhan jangka panjang. Jadi pendirian kita jelas,” katanya.
Hajiji berkata tenaga bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi juga isu ekonomi dan soal keselamatan jangka panjang Sabah, justeru campuran tenaga yang seimbang dan praktikal adalah penting.
“Tenaga boleh diperbaharui jelas merupakan sebahagian daripada masa depan kita. Tenaga solar, hidro, biojisim, biogas dan teknologi bersih lain mesti terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju tenaga jangka panjang Sabah.
“Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 sendiri menekankan tenaga yang boleh dipercayai, mudah diakses, mampu dimiliki dan mampan termasuk peningkatan margin rizab penjanaan, campuran penjanaan yang lebih baik serta peningkatan sumbangan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Hajiji turut mengemukakan persoalan: jika Sabah terus memikul tanggungjawab alam sekitar yang besar untuk negara, maka bagaimana Sabah menerima nilai ekonomi yang adil daripada sumbangan tersebut?
mementingkan “Ini bukan persoalan mementingkan diri. Ini persoalan yang adil. Pemuliharaan sering diperkatakan sebagai tanggungjawab moral. Dan ya, ia adalah tanggungjawab yang kita ambil serius. Namun pemuliharaan juga mempunyai kos ekonomi. Apabila tanah dipelihara, wujud kos peluang. Apabila hutan dilindungi, ada hasil yang terpaksa dilepaskan,” katanya.
“Apabila ekosistem menyerap karbon dan menyokong biodiversiti, nilai yang diwujudkan bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah. Ia memberi manfaat kepada Malaysia. la memberi manfaat kepada rantau ini. Ia memberi manfaat kepada dunia.
“Oleh itu, perbincangan baharu mengenai kemampanan juga mesti menjadi perbincangan mengenai keadilan. Nilai yang adil. Pengiktirafan yang adil. Pelaburan yang adil dan penyertaan yang adil.
“Sabah tidak boleh terus dilihat hanya sebagai tempat yang menyumbang modal semula jadi. Sabah juga mesti menjadi tempat yang menerima manfaat daripada modal semula jadi,” katanya.
Beliau menambah Sabah mampu membuktikan bahawa sebuah negeri membangun tidak perlu memilih antara melindungi alam semula jadi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita boleh melakukan kedua-duanya, tetapi kita mesti melaksanakannya dengan cara yang sesuai untuk Sabah,” katanya.
Tamat






















Leave a Reply