Kerajaan Sabah Tangguh Dasar Dan Perlaksanaan AKPS

Kerajaan Negeri Sabah melalui Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah telah meneliti isu-isu semasa berhubung pelaksanaan Agensi Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) di Sabah, bahawa terdapat elemen penghakisan kuasa-kuasa serta hak keistemewaan imigresen Sabah melalui sifat perundangan dan pengoperasian imigresen.

Pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung (direct) ke atas AKPS, tetapi hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860]. Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Negeri Sabah.

Perlu ditegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable) kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguh dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga memperolehi persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istemewa serta kuasa-kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri. Justeru, menjamin perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan (constitutional safeguard) mengenai negeri Sabah sentiasa terpelihara.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading