Perancangan Menyeluruh Majukan Pelancongan, Ekonomi Biru Semporna

SEMPORNA: Perancangan menyeluruh, termasuk menambah fasiliti sedia ada perlu  dilaksanakan bagi menjadikan Semporna sebagai daerah pelancongan yang hebat,  selain mengembangkan potensinya dalam sektor ekonomi biru.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata daerah ini cukup  istimewa kerana memiliki destinasi tumpuan yang terkenal di seluruh dunia, khususnya  Pulau Sipadan, selain pulau lain yang menarik kedatangan pengunjung.

Beliau berkata, Semporna juga mempunyai potensi perikanan dan aktiviti marin yang  boleh dikembangkan menerusi penerokaan sektor ekonomi biru yang disasar mampu  menyumbang hasil yang besar kepada rakyat dan negeri.

“Semporna ini bukan saja pelancongan, tapi perikanan dan sumber marinnya juga  cukup hebat sekali. Pegawai Daerah dalam taklimatnya juga ada perancangan yang  baik untuk masa depan Semporna termasuk menjaga kebersihannya dan meningkatkan  fasiliti lain seperti jeti di pulau-pulau dan lain-lain lagi.

“Semua ini akan dilihat secara menyeluruh untuk memastikan Semporna menjadi  sebuah daerah pelancongan yang hebat kerana di sini ada Pulau Sipadan dan pulau  lain yang cukup dikenali,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat  pembangunan daerah Semporna ketika lawatannya di Pulau Mataking, di sini, pada  Khamis.

Lawatan ke pulau itu bersempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua  Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang bermula di Sandakan pada  Selasa, sebelum ke Lahad Datu pada Rabu dan berakhir di Semporna pada Khamis.

Hajiji berkata, jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di Semporna mampu  menjadi khazanah yang tidak ternilai bukan saja di Sabah, malah di Malaysia  keseluruhannya.

“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemudahan dan juga apa  yang diperlukan di daerah ini selaras dengan pembangunan pelancongan Semporna,  begitu juga di Lahad Datu dan Sandakan,” katanya.

Mengenai potensi ekonomi biru, Ketua Menteri berkata pembangunan sektor itu  digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha  menambah hasil negeri.

“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam lima tahun akan datang dan mudah mudahan ia menjadi aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan hasil negeri dan rakyat  setempat,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berkata program lawatannya ke gugusan pulau di sekitar Semporna,  selain di Sandakan dan Lahad Datu sebelum ini adalah untuk meninjau sendiri keadaan  keselamatan terutama di pulau-pulau sekitar pantai timur Sabah.

Katanya, beliau juga mahu melihat keadaan pos kawalan keselamatam di pulau terbabit,  selain mendengar taklimat mengenai pembangunan daerah di tiga daerah yang dilawati  sepanjang jelajah berkenaan.

Sementara itu, pada program di Semporna, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan  mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan  di pulau itu, disusuli peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.

Tamat.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading