Penduduk Bukan Warganegara Di Sabah Pada 2025 Menurun 0.32 Peratus – DOSM

Peta Penduduk Sabah (Hiasan)


KOTA KINABALU, 8 JANUARI 2026 – Bilangan penduduk Bukan Warganegara di Sabah pada 2025 menurun kepada 1,040.2 ribu orang berbanding 1,043.6 ribu orang pada 2024 iaitu pengurangan 0.32 peratus berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 24 Disember 2025.

Bagi tempoh 1991 hingga 2025, Sabah merekodkan bilangan penduduk Bukan Warganegara tertinggi berbanding negeri-negeri lain dengan peratusan tertinggi dicatatkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus (453.47 ribu). Bilangan penduduk Bukan Warganegara tertinggi direkodkan pada 2018 iaitu seramai 1,158.7 ribu orang. Pada tahun 2025, bilangan penduduk Bukan Warganegara dianggarkan seramai 1,040.2 ribu orang, namun jumlah ini masih tidak melebihi bilangan yang dicatatkan pada 2018.

Tempoh 2020-2022 mencatatkan perubahan akibat pandemik COVID-19 dengan struktur penduduk yang berbeza berbanding sebelum pandemik. Bilangan penduduk Bukan Warganegara di Malaysia dan Sabah mencatatkan penurunan semasa pandemik iaitu masing-masing 2.56 juta orang dan 0.78 juta orang pada 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik COVID-19.

Sandakan merekodkan bilangan penduduk Bukan Warganegara paling ramai pada 2025 iaitu 195.1 ribu orang diikuti Tawau (142.9 ribu) dan Kota Kinabalu(125.4 ribu). Berdasarkan komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk Bukan Warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus diikuti Kalabakan (69.3%) dan Kunak (53.4%).

Kadar pertumbuhan tahunan bagi Kota Kinabalu pada 2025 meningkat kepada 2.9 peratus (jumlah penduduk Bukan Warganegara: 125.4 ribu) berbanding 16.4 peratus (jumlah penduduk Bukan Warganegara: 121.8 ribu) pada 2024. Peningkatan ini didorong oleh pasca pandemik COVID-19 di mana pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan dengan kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa. Walaupun mencatatkan peningkatan, jumlah penduduk Bukan Warganegara di Kota Kinabalu pada 2025 masih rendah berbanding pada 2018 (144.7 ribu).

Anggaran penduduk semasa Bukan Warganegara bagi tahun 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025 berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020 yang menggunakan konsep de jure di mana individu yang telah atau akan tinggal sebagai ahli biasa isi rumah selama enam bulan atau lebih dalam tahun rujukan berdasarkan tempat tinggal biasa mereka.

Konsep pengukuran bilangan penduduk di sesuatu kawasan tidak mengambilkira daytime dan nightime population iaitu individu yang berada di sesuatu kawasan pada waktu siang atau malam tanpa menetap di kawasan tersebut. Kehadiran daytime dan nightime population menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk khususnya di kawasan bandar bagi tujuan bekerja, perniagaan, membeli belah, berurusan dengan agensi kerajaan/ swasta, melancong, melawat saudara mara/ sahabat dan lain-lain urusan harian.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading