Justin Wong Perlu Belajar Ekonomi

*KENYATAAN MEDIA*
*DATUK DR ROLAND CHIA MING SHEN, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N.18 Inanam*

26 Ogos 2025


1. Saya membaca kenyataan YB Justin Wong yang kononnya mahu tunjuk GRS gagal urus ekonomi. Malangnya, beliau hanya ambil angka-angka remeh secara selektif untuk kelirukan rakyat.

2. Fakta sebenar: era Warisan (2018–2020) adalah yang paling teruk dalam sejarah moden Sabah. Ketika Sabah diperintah oleh Shafie Apdal, ekonomi kita jatuh terjunam. Dari RM85.6 bilion pada 2019, tinggal hanya RM77.8 bilion pada tahun 2020. Hilang hampir RM8 bilion dalam setahun! Inilah ‘rekod cemerlang’ Warisan yang mereka mahu rakyat lupa. Ini adalah kemorosotan setinggi -9.1%. Ya, satu pertumbuhan negatif! Itu warisan sebenar Warisan: ekonomi hancur.

3. Selepas GRS ambil alih, Sabah beransur pulih semula. Pertumbuhan yang sangat signifikan berlaku dengan peningkatan daripada -9.1% (2020) kepada +1.5% pada 2021. Dari 2021 hingga 2024, ekonomi Sabah kekal konsisten dengan pertumbuhan positif: +1.5% (2021), +3.9% (2022), +1.3% (2023), dan +1.1% (2024). Hari ini saiz ekonomi kita meningkat balik kepada RM84.3 bilion (2024). Maknanya pemulihan berterusan sejak 2021, bukannya merudum seperti yang cuba digambarkan oleh Justin.

4. Soal Sabah keluar “Top 6” penyumbang ekonomi negara tidak wajar dijadikan modal politik. Beza dengan Perak, yang dapat limpahan projek nasional di Lembah Klang, hanyalah sekitar 0.1–0.2% sahaja. Yang lebih luar biasa, ekonomi Sabah tetap tumbuh positif, meskipun sedang menyusun semula struktur ekonomi baru yang lebih resilient kepada turun naik global di bawah Pelan Hala Tuju SMJ. Memang normal untuk ekonomi berkembang lebih perlahan ketika dalam fasa peralihan.

5. Justin juga tidak sebut bahawa sebelum Covid-19 pun prestasi Warisan sudah merosot. Data rasmi DOSM tunjuk pertumbuhan ekonomi Sabah jatuh mendadak daripada 8.1% (2017) kepada hanya 1.5% (2018), dan merosot lagi kepada 0.7% (2019). Ini bukti jelas bahawa pengurusan ekonomi Warisan sudah lemah sebelum pandemik melanda.

6. Rakyat jangan tertipu dengan permainan angka pembangkang. GRS di bawah Hajiji sedang baiki asas ekonomi Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Antara 2021 hingga 2024, Sabah berjaya mengubah struktur ekonominya supaya lebih pelbagai (diversification), dan secara berperingkat mengurangkan pergantungan kepada komoditi mentah. Kita tidak mahu pendekatan ekonomi yang rapuh seperti zaman Warisan.

7. Yang gagal ialah Warisan, kerana menggunakan “mata lalat” untuk menilai prestasi ekonomi GRS, dengan berfokus hanya kepada aspek negatif. Yang sengaja digelapkan oleh Warisan adalah petunjuk yang lebih penting: dari tahun 2021 hingga 2024, pertumbuhan ekonomi Sabah sentiasa positif, tidak pernah negatif. Dalam tempoh yang sama, pungutan hasil negeri dan tabungan rizab kewangan juga terus meningkat.

8. Dari segi hasil negeri, rekod jelas. Warisan hanya kutip RM4.2 bilion pada 2019. Di bawah GRS, hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023 – rekod tertinggi dalam sejarah negeri Sabah.

9. Dalam ekonomi, ada satu prinsip mudah yang semua orang boleh faham iaitu simpanan rizab kewangan adalah asas kestabilan dan bukti kekuatan ekonomi. Rizab Sabah masa Warisan hanya tinggal RM3.2 (2019) bilion saja, sekarang masa GRS sudah RM8.6 bilion (2024). Kenaikan lebih 160% atau lebih 2.5 kali ganda! Ini bukti jelas GRS lebih cekap dari segi tatakelola ekonomi dan tadbir urus fiskal negeri. Kalau ini gagal, apa lagi definisi berjaya?

-Tamat-

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading