
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah, melalui SMJ Energy (SMJE) akan memperoleh 25 peratus ekuiti dalam kemudahan gas asli cecair (ZLNG) terapung dekat pantai bernilai AS$3.1 bilion di Sipitang berikutan pemeteraian Perjanjian (HOA) dengan PETRONAS di Kelab Petroleum Malaysia (MPC), di sini hari ini.
“Perkongsian ini menandakan satu lagi pencapaian penting untuk memastikan matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, menggalakkan pertumbuhan perindustrian dan keselamatan tenaga serta mewujudkan peluang baharu untuk memacu kemajuan Sabah.
“Melalui pelaburan strategik seperti ZLNG, kita akan mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri di samping memastikan manfaat sumber asli Sabah secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan rakyat kita,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selepas menyaksikan majlis menandatangani HOA.
Kemudahan ZLNG dengan kapasiti 2 juta tan setahun (MTPA) merupakan tambahan penting kepada landskap LNG Malaysia.
Terletak berhampiran pantai di Sipitang, ZLNG kini dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2027.
Projek ini melengkapkan jejak LNG Sabah yang semakin meningkat, sebagai tambahan kepada dua kemudahan LNG terapung lain, PFLNG1 (1.2 MTPA) dan PFLNG2 (1.5 MTPA), yang kini beroperasi di perairan Sabah.
Kerajaan Negeri juga mengumumkan hasratnya untuk memperoleh 40 peratus kepentingan penyertaan dalam PFLNG1 melalui SMJ Energy, dengan usaha wajar disasarkan bermula pada separuh kedua 2025.
Trajektori pertumbuhan SMJ Energy sejak menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada Disember 2021 adalah pesat.
Syarikat itu kini memegang 50 peratus ekuiti dalam aset pengeluaran minyak PSC Samarang, 10 peratus ekuiti dalam LNG9, 25 peratus ekuiti dalam kompleks petrokimia SAMUR dan pemilikan penuh Sabah International Petroleum (SIP), yang mengendalikan kedua-dua aset FPSO dan FSO.





















Leave a Reply