Bung Mokhtar Hanya Nafi Untuk Tutup Kegagalannya

KENYATAAN MEDIA

Bung Moktar cuba nafi fakta sebenar

  1. Merujuk kenyataan media Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkaitan Kerajaan GRS adalah sebuah Kerajaan yang gagal dalam menyelesaikan masalah asas rakyat di negeri ini, adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan tidak berlandaskan fakta yang sebenarnya.
  2. Beliau seharusnya bertanya kepada dirinya sendiri, sewaktu beliau diberi amanah sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, sebelum berlakunya Langkah Kinabalu, apa yang beliau sudah lakukan? Sedangkan waktu itu beliau mempunyai tanggungjawab secara langsung kepada keperluan asas rakyat yang beliau maksudkan.
  3. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan GRS-PH Plus dibawa kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bukanlah sebuah Kerajaan yang gagal seperti mana yang diratib siang dan malam oleh pemimpin dan ahli pembangkang. Sepanjang hampir 5 tahun kepimpinan YAB Ketua Menteri, beliau dan barisan kepimpinan kabinet negeri telah melaksanakan pelbagai bentuk program dan dasar hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negeri ini.
  4. Keadaan jalan yang didakwa mengalami kerosakan, ianya bukan perkara yang baru, sewaktu Bung Moktar menjadi Menteri Kerja Raya Negeri pun masalah ini beliau tidak mampu selesaikan. Walaupun demikian, Kerajaan Negeri terus komited membaiki jalan-jalan ini walaupun mempunyai kekangan, kerana jalan-jalan yang rosak ini sebahagiannya adalah jalan utama yang dibawa Kerajaan Persekutuan.
  5. Berkaitan masalah air dan juga elektrik, Kerajaan Sabah telah melaksanakan plan jangka masa yang panjang dengan pembinaan beberapa empangan seperti Projek Empangan Babagon, projek tenaga solar yang pertama di Sabah, Projek Empangan Ulu Padas, Tenom yang bernilai RM4 bilion dan dijangka siap pada tahun 2027, serta Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopan yang bernilai RM397 juta, dan dijangka siap pada Ogos 2026. Kesemua projek empangan ini dijangka akan mampu menyelesaikan masalah air dan elektrik di negeri ini.
  6. Kerajaan dibawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor juga sentiasa memikirkan dan mengutamakan ekonomi dan peluang pekerjaan di negeri ini. Buktinya, setiap tahun pendapatan negeri sentiasa meningkat seperti yang direkodkan dalam belanjawan negeri. Pada tahun 2025, belanjawan negeri adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri ini iaitu RM6.421 bilion.
  7. Mengenai isu penghijrahan rakyat negeri ini sama ada ke Semenanjung mahupun luar negara, mungkin Bung Moktar terlupa bahawa ianya bukan perkara baru, sebaliknya ini sudah lama berlaku sejak zaman UMNO BN memerintah lagi. Namun dibawa Kerajaan GRS -PH Plus, YAB Ketua Menteri Sabah telah berjaya membawa beberapa pelabur dari luar negara untuk melabur dan membuka kilang di negeri ini , dan ini secara tidak langsung telah membuka ruang pekerjaan buat anak tempatan Sabah.
  8. Kerajaan ini tidak pernah menafikan tentang kos sara hidup yang semakin meningkat, ianya bukan sahaja berlaku di negeri ini, namun juga semua negeri. Atas dasar itulah, YAB Ketua Menteri Sabah telah memperkenalkan bantuan sara hidup yang di kenali sebagai SENTUHAN KASIH RAKYAT (SENTOSA) dengan bantuan sebanyak RM300.00 setiap bulan bermula Januari 2025 sehingga Desember 2025 kepada golongan rakyat termiskin.
  9. Selain daripada itu, bagi keluarga yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri, kerajaan telah memperkenalkan rumah percuma SMJ bermula tahun 2022, dan Syukur Alhamdulillah, pada tahun 2025 kerajaan telah menambah sebanyak 40 unit setiap DUN, menjadikan sejumlah 3,000 buah Rumah SMJ akan dibina di semua 73 DUN di negeri ini, melibatkan kos sebanyak RM250 juta. Selain itu, buat pertama kalinya Kerajaan Negeri memberikan Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM5,000 kepada peniaga gerai kecil tepi jalan tahun ini.
  10. Apakah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah cuba menafikan fakta ini?
  11. Hakikatnya Kerajaan GRS-PH Plus di bawa pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bukanlah sebuah Kerajaan yang gagal, sebaliknya Kerajaan yang sedaya Upaya menyelesaikan masalah yang telah berlaku sejak dahulu lagi.

YB DATUK JAFFARI WALIAM
*AHLI MAJLIS TERTINGGI
PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH
*AHLI DEWAN DILANTIK NEGERI SABAH

18 Mac 2025.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading