Sabah Tubuh J/Kuasa  Kewarganegaraan & Petugas Khas Penduduk Sabah Tiada Dokumen



KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Taraf Kewarganegaraan (JKKSK) Sabah dan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu penduduk Sabah tanpa dokumen pengenalan diri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kabinet Negeri dalam mesyuaratnya hari ini mengesahkan penubuhan JKKSK untuk meneliti, memastikan, menyelaras dan membantu dalam mempercepatkan permohonan baharu dan tunggakan berkaitan isu kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dalam  negeri.

Mengumumkan demikian pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu hari ini, beliau berkata JKKSK akan diamanahkan untuk mengesyorkan pendaftaran kanak-kanak dan sesiapa di bawah umur 21 tahun sebagai warganegara tertakluk kepada Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan – Peruntukan Am Pendaftaran.

“Keputusan penubuhan Jawatankuasa Khas ini adalah berikutan kes berleluasa kanak-kanak kelahiran Sabah tanpa dokumen dan IC (kad pengenalan) menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, ini disebabkan kecuaian ibu bapa mereka,  ” katanya.

JKKSK akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah manakala Jabatan Pendaftaran Sabah dan Bahagian Pendaftaran Negara dan Organisasi, Kementerian Dalam Negeri akan menjadi urusetia bersama.

Hajiji berkata sehubungan itu, semua permohonan akan disaring dan diperakukan kepada Jawatankuasa Khas oleh Panel JKKSK Sabah, yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri serta Setiausaha Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah.

Bagi Pasukan Petugas Khas menangani isu penduduk Sabah tanpa dokumen pengenalan diri, Ketua Menteri berkata ia akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan  Ketua Menteri Sabah.

Pasukan Petugas Khas yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu bertujuan menyelesaikan masalah berterusan penduduk tanpa izin di negeri ini.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading