Heret Pencuri Air Ke Mahkamah, Siapa Pun Mereka

Heret pencuri air ke muka pengadilan, siapa pun mereka, dalam masa yang sama adakan jalan penyelesaian. Seperti JANS menyediakan tangki berkapasiti 500 liter kepada yang terbabit dan dikenakan bayaran macam pengguna biasa yang lain.


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Jabatan Air untuk menggunakan undang-undang di bawah bidang kuasanya dan membawa pelaku kecurian air ke mahkamah undang-undang. “Tangkap mereka dan dakwa mereka di mahkamah,” katanya.

“Begitu juga kita mahu kilang-kilang yang didapati mencuri air dibawa ke mahkamah undang-undang dan bukannya hanya mengeluarkan kompaun,” katanya. Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang mencuri air kerana sambungan haram dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus air tidak terhasil (NRW) di Sabah, yang tertinggi di negara ini.

Bercakap pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri hari ini, Hajiji berkata Kabinet Negeri telah memanggil Jabatan Air untuk taklimat susulan demonstrasi oleh sekumpulan pihak termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menuntut isu air diselesaikan.

“Kabinet Negeri diberi taklimat bahawa dalam tempoh dua bulan lepas, UMS hanya mengalami gangguan bekalan air selama satu atau dua hari akibat paip pecah,” katanya sambil menambah Jabatan Air telah membekalkan air kepada UMS antara empat juta hingga tujuh juta liter sehari ditambah dengan tabung telaga yang boleh membekalkan satu juta liter sehari.

“Saya telah meminta Naib Canselor UMS untuk meneliti perkara itu bagi mengetahui punca air tidak sampai kepada pelajar,” katanya. Kabinet diberi taklimat bahawa bekalan air ke UMS menjadi terhad berikutan banyak sambungan haram yang dikesan dari lima kampung sehingga ke universiti itu, katanya. “Sebab itu saya mahu penguat kuasa Jabatan Air pergi dan putuskan sambungan haram ini.

Selain itu, ambil tindakan tegas terhadap pelakunya,” katanya sambil menambah sambungan haram itu didapati membekalkan air ke beberapa kampung yang terletak di belakang UMS, yang berada di atas tanah yang dipertikaikan antara peneroka dan pemilik tanah. “Mungkin Jabatan Air boleh memasang tangki berkapasiti 500 liter di tapak itu dan mengenakan bayaran kepada penduduk di sana untuk mendapatkan air. Ini akan menghalang mereka daripada menyambung semula secara haram ke sesalur air,” katanya.

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑