Ucapan Mencadang Usul Menyokong Ucapan Dasar Presiden – Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU (YAB. Datuk Seri Hajiji Noor)


Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Wrt. Wbt, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj. Muhyiddin Mohd Yassin, Presiden BERSATU, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Presiden BERSATU,
Yang Berhormat Naib-Naib Presiden, Ketua Srikandi dan Armada BERSATU, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Agung,
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, seluruh barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua-Ketua Badan Pimpinan Negeri, Seterusnya Para Perwakilan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana telah memberi penghormatan kepada BERSATU Sabah, untuk memulakan sesi perbahasan dalam Perhimpunan Agung Tahunan ini, dan sekali gus Mencadang Usul Menyokong Ucapan Dasar Presiden.

2. BERSATU Sabah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Presiden atas ucapan dasar, yang sarat dengan hala tuju dan mesej perjuangan. Amanat ini amat penting, sebagai panduan untuk kita melangkah ke hadapan, mengemudi dan menggerakkan perjuangan parti di seluruh peringkat.

3. Ucapan ini menjadi lebih bernilai dan bermakna kerana ianya lahir daripada seorang pemimpin yang teruji dengan keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan. Pemilihan sosok tubuh yang menjadi pemimpin utama parti dan negara pada hari ini bukanlah ketentuan dan perancangan peribadi. Hadirnya di tengah-tengah kemelut atas ketentuan dan takdir yang maha berkuasa. Manusia merancang, sesiapa juga boleh merancang, namun sebaik-baik perancang adalah Allah SWT.

4. Dalam masa yang terhad ini, pastinya tidak sempat untuk saya mengupas dengan terperinci senario yang berlaku dalam parti dan negara. Namun saya fikir setiap daripada kita dapat melihat, merasai dan memahami apa yang berlaku. Kita telah melalui dan terus berhadapan dengan cabaran yang luar biasa. Amat berat dan getir cabaran dan dugaan yang dilalui. Namun berat mata memandang, pastinya jauh lebih berat bahu yang memikul. Pasti lebih berat beban yang tersandar di bahu dan jemala pemimpin yang kita kasihi, YAB Tan Sri Presiden. Isu politik, ekonomi, kelangsungan hidup dan keselamatan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19; merupakan antara cabaran yang perlu ditangani dengan hikmah dan bijaksana.

5. Sebagai pemimpin dan ahli parti, kita perlu terus bersatu dan menyokong penuh kepimpinan YAB Presiden. Insya Allah, kita mampu keluar dari kemelut serta ujian ini, dan parti serta negara berupaya menjadi lebih perkasa, makmur dan sejahtera. Pra-syaratnya adalah kita mesti bekerja keras dan meletakkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada YAB Tan Sri Presiden untuk memimpin parti dan negara, mendepani cabaran dan sekali gus membawa Malaysia melangkah ke hadapan.

6. Memetik madah bijak pandai;

Yang dikatakan pemimpin itu,
Elok lahir sempurna batin,
Eloknya boleh dilihat,
Sempurnanya boleh dirasa,
Elok tingkah dengan lakunya,
Elok budi dengan bahasanya,
Elok tutur dengan katanya.

Yang dikatakan pemimpin,
Berkata lurus bercakap benar,
Dijadikan pemimpin besar manfaat,
Orang suka jauh dan dekat,
Rahmatnya ada dunia akhirat.

Sebagai pemimpin lurus dan jujur,
Beroleh rahmat ia bersyukur,
Hidup merakyat rukun dan akur,
Negeri sentosa rakyat pun Makmur,
Pemerintahan adil serba teratur,
Amanah dan janji tiada luntur.

7. Inilah keperibadian dan kepimpinan nakhoda kita hari ini. BERSATU Sabah dengan ini menzahirkan sokongan, dokongan dan kesetiaan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Presiden dan Perdana Menteri Malaysia. YAB Tan Sri, teruskanlah memimpin negara. Insya Allah, ikhtiar yang bersandarkan kesabaran, keikhlasan dan kejujuran akan mendapat keberkatan dan dipermudahkan Allah SWT.

8. Izinkan saya mengambil sedikit masa mengimbau sejarah penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia di negeri Sabah. Sesungguhnya, Perhimpunan Agung tahun ini merupakan satu lagi peristiwa, yang akan terpahat dalam sejarah perkembangan BERSATU di Sabah. Dalam Perhimpunan Agung bulan Disember 2018, wakil kami hadir dengan status sebagai pemerhati. Alhamdulillah tahun ini, kami turut serta sebagai perwakilan yang sah. Tanggal 6 April 2019 pula merupakan tarikh keramat terbentuknya secara rasmi BERSATU di Sabah melalui Majlis Pelancaran BERSATU Sabah yang telah

9. disempurnakan oleh negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta ramai pimpinan di peringkat nasional dan negeri-negeri lain.

10. Himpunan yang telah dihadiri oleh puluhan ribu masyarakat Sabah itu telah menjadi titik pemula kepada kedudukan BERSATU di Sabah pada hari ini. Setiap perjuangan akan melalui perit getir, suka dan duka. Kami pernah diperangi persepsi pengkhianat dan tidak setia lantaran muafakat untuk berhijrah secara berjemaah. Usaha membawa BERSATU ke Sabah pula cuba dihalang pihak tertentu. Kami juga pernah dinafikan platform untuk berkhidmat kepada rakyat melalui jentera kerajaan negeri. Akhirnya, walau apa yang berlaku, kami bertekad meneruskan perjuangan, kerana kami yakin dan percaya, bahawa yang keramat itu bukanlah individu, bukan juga wadahnya, tetapi inti pati perjuangannya. Kami memilih untuk tidak menoleh ke belakang, tetapi bekerja keras dalam satu pasukan untuk membina kekuatan dan keyakinan rakyat.

11. Alhamdulillah, hari ini BERSATU berkembang mekar di Sabah, dan yang paling penting BERSATU diterima dan mendapat tempat di hati rakyat, buktinya telah dizahirkan dalam Pilihan Raya Negeri September lalu. BERSATU dan Perikatan Nasional telah berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan turut disertai wakil-wakil BEBAS. Kita juga mendapat sokongan rakan-rakan GRS untuk memilih wakil BERSATU sebagai Ketua Menteri Sabah. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan buat rakan-rakan GRS kerana memberikan mandat dan kepercayaan kepada pemimpin BERSATU.

12. Pada kesempatan ini, bagi pihak BERSATU Sabah, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan dan keluarga BERSATU di peringkat nasional dan negeri-negeri, atas bantuan dan sokongan kepada BERSATU Sabah sepanjang PRN yang lalu. Sumbangan sahabat-sahabat sekalian tidak dapat kami gambarkan dengan kata-kata, melainkan komitmen untuk memastikan kerajaan yang dibina di Sabah akan dipimpin dengan sehabis baik demi kepentingan rakyat. Buat keluarga BERSATU sekalian, sudikanlah menerima dua rangkap pantun yang ditujukan istimewa untuk semua:

Terbang tinggi burung kenari,
Melebar sayap di langit tenang,
Bantuan diberi kami hargai,
Jasa dan budi tatap dikenang.

Walau dipisah Laut Cina Selatan,
Silaturrahim terpahat utuh,
BERSATU mari kita perkasakan,
Perikatan Nasional terus diperkukuh!


13. BERSATU dan PN perlu kita perkasa dan perkukuhkan. Sebarang kemelut dan cabaran yang kita hadapi, tidak seharusnya memesongkan fokus kita daripada usaha menambah kekuatan parti. Kesibukan dalam mengurus tanggungjawab dalam kerajaan tidak seharusnya menjadikan kita lupa untuk terus berusaha memperkasa parti dan memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang pilihan raya.

14. Sehubungan itu, BERSATU Sabah ingin mengusulkan beberapa agenda teras yang perlu dilaksanakan segera untuk melonjakkan kekuatan parti.

15. PERTAMA, parti perlu digerakkan secara hikmah dan bijaksana berteraskan agenda perjuangan golongan peribumi, tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Sejak dari awal penubuhan BERSATU, nama peribumi dan takrifannya dalam Perlembagaan Parti menyatakan secara jelas bahawa peribumi itu, antaranya, meliputi orang asal dan anak negeri Sabah. Takrifan bersifat inklusif ini telah menjadi faktor penarik kepada keyakinan rakyat di Sabah untuk menyertai BERSATU. Begitu juga, kita di Sabah amat menghargai peruntukan perlembagaan yang menggariskan, antara matlamat parti adalah untuk mempertahankan kedudukan istimewa anak negeri Sabah, sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Inti pati perlembagaan parti ini menjadikan BERSATU sebagai wadah yang inklusif, sebuah parti yang merangkumkan aspirasi dan jati diri nasional dan lokal.

16. Sehubungan itu, bukan sahaja BERSATU Sabah meminta agar peruntukan perlembagaan ini dikekalkan, malah strategi dan pendekatan parti di semua peringkat, perlu digerakkan bersandarkan citra inklusif ini. Biar perlembagaan kita, gerakan kita, bicara kita dan tindakan kita, setiap masa menggambarkan keterbukaan dan keterangkuman untuk membawa seluruh golongan peribumi bersama kita di dalam parti BERSATU. Pada masa yang sama, kaum-kaum lain turut selesa untuk bekerjasama melalui wadah Perikatan Nasional.

17. Mengapa Sabah memilih untuk membangkitkan perkara ini? kerana pengalaman PRN mengajar kita betapa kerjasama dan permuafakatan peribumi, serta rakyat berbilang kaum itu jauh lebih penting berbanding retorika politik perkauman sempit. (Sebagaimana yang diutarakan oleh YAB Presiden Parti sebentar tadi, kerjasama dan permuafakatan adalah kunci kestabilan politik. Di peringkat nasional, kita perlu memperkukuh hubungan kerjasama di semua peringkat dengan semua parti yang mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. Insya Allah, ini juga tekad dan iltizam kami di Sabah melalui permuafakatan GRS).

18. KEDUA, gerakan penambahan ahli, pendaftaran pemilih dan penubuhan cawangan perlu dilaksanakan secara agresif dengan serta merta. Kekuatan parti bergantung kepada jumlah ahli dan cawangan. Sejak dari awal penubuhan BERSATU di Sabah, kita telah memohon kebenaran untuk membuka cawangan lebih banyak, tanpa tertakluk kepada jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM). Sehubungan itu, Sabah menyokong sepenuhnya cadangan pindaan perlembagaan, yang membuka ruang kepada penubuhan lebih banyak cawangan mengikut kampung atau lokaliti. Selain membuka ruang kepada pertambahan jumlah ahli, penubuhan lebih banyak cawangan akan membolehkan parti berfungsi dengan lebih berkesan dalam memberikan khidmat kepada rakyat. Sabah juga berharap agar Sistem Keahlian Parti dapat dibuka semula pada kadar segera untuk mempermudahkan urusan pendaftaran ahli yang telah lama tertangguh.

19. Sebagai Cadangan KETIGA, Sabah mengusulkan agar parti mempertimbangkan pembentukan sayap ketiga sebagai platform khas yang digerakkan sendiri oleh wanita muda. Berdasarkan data terkini, jumlah keahlian wanita muda di bawah umur 30 tahun di seluruh negara hanyalah pada kadar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi BERSATU.

20. Dengan pelaksanaan Undi-18 yang telah diluluskan di Parlimen, dijangka hampir 1.5 juta pemilih baharu berusia 18 hingga 21 tahun akan layak mengundi pada PRU15 akan datang. Jumlah ini sekali gus menganjakkan jumlah pengundi muda keseluruhan kepada 7.8 juta orang. Daripada jumlah ini, 25 peratus adalah pengundi wanita muda di bawah umur 30 tahun. Melihat kepada angka-angka ini, Sabah berpandangan, parti perlu melakukan langkah pembaharuan bagi menggalakkan partisipasi orang muda khususnya wanita muda di dalam parti.
.

21. Pada kesempatan ini juga, tidak lengkap jika saya tidak menyampaikan amanah daripada saf kepimpinan BERSATU Sabah yang juga merupakan aspirasi rakyat di Sabah. Saya ingin menzahirkan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat di Sabah kerana telah memberikan kepercayaan kepada GRS untuk memimpin Kerajaan Negeri.

22. Kami cukup sedar bahawa sokongan yang diberikan hadir bersama harapan tinggi rakyat, yang menginginkan perubahan nasib dan masa depan. Kami cukup insaf bahawasanya pertanggungjawaban yang disandarkan kepada kerajaan baharu ini perlu dilaksanakan sehabis baik, dan mandat rakyat jangan disia-siakan.

23. Sehubungan itu, BERSATU Sabah bersama GRS komited untuk merealisasikan aspirasi dan harapan rakyat. Kami bertekad untuk memastikan Aku Janji GRS diusahakan sehingga berjaya.

24. BERSATU Sabah berharap pucuk pimpinan parti dan rakan-rakan sekalian memahami hakikat perjuangan yang dekat dengan hati rakyat di Sabah. Suara memperjuangankan hak dan kepentingan negeri bukanlah suara yang bersifat kenegerian sempit, tetapi perjuangan ini adalah bersandarkan kecintaan kepada tanah air, Malaysia. Kita mahu membina dan melestarikan Persekutuan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera, dengan setiap wilayah dan rakyat yang dinaunginya berupaya menikmati kemajuan dan kemakmuran. Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity) hanya mampu dibentuk dengan wujudnya Tanggungjawab Bersama (Shared Responsibility).

25. Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama mengiktiraf kontrak sosial ‘antara kaum’ yang wujud dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Sekiranya kontrak sosial itu diperakui dan telah menjadi sebahagian daripada teras dasar dan polisi kerajaan, maka pengiktirafan yang setara perlu diberikan kepada kontrak sosial ‘antara wilayah’ yang terbina melalui pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

26. Ramai barisan kepimpinan kerajaan dan parti yang telah turun padang, berkampung di seluruh pelosok negeri Sabah sepanjang PRN lalu. Saya yakin rakan-rakan sekalian dapat melihat realiti yang wujud. PRN Sabah membolehkan barisan pimpinan bukan hanya mendengar, tetapi dapat melihat dan merasai harapan dan keperluan rakyat di Sabah. Jurang pembangunan, jurang pendapatan, peluang pekerjaan, hambatan kemiskinan dan keperluan infrastruktur adalah antara isu legasi sejak merdeka yang memerlukan perhatian dan indakan penyelesaian. Kami khuatir pandemik COVID-19 akan terus melebarkan jurang besar sedia ada. Kami berterima kasih atas bantuan Kerajaan Persekutuan sejak COVID-19 bermula yang telah memanfaatkan jutaan rakyat di Sabah dengan peruntukan dianggarkan mencecah hampir RM3 bilion, khususnya melalui inisiatif PRIHATIN dan PENJANA.

27. Sesungguhnya, Sabah memerlukan bantuan yang lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan. Kami perlu menambah dan mencipta hasil baharu untuk negeri, yang juga memerlukan kerjasama pusat untuk menyempurnakan hak dan kepentingan negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

28. BERSATU Sabah memohon komitmen Persekutuan membantu kami menunaikan Aku Janji PRN dan sekali gus menggerakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan dibentangkan oleh Kerajaan GRS dalam masa terdekat. Insya Allah, kami yakin rakyat di Sabah akan menghargai jasa dan budi Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional. Insya Allah, muafakat akan membawa berkat dan manfaat buat rakyat dan tanah air tercinta. Dengan izin Allah, Pertanggungjawaban Bersama akan membawa Kemakmuran Bersama yang bisa dinikmati oleh setiap rakyat, setiap wilayah, dengan adil dan saksama.

29. Akhir kata, marilah kita bulatkan tekad, marilah kita tingkatkan iltizam, marilah kita bersatu membina parti, memperkukuh perikatan, mempertahan kuasa, demi memperkasa bangsa, menjunjung agama, menjulang negara. Marilah kita hayati mesej dan amanat yang terkandung dalam ucapan yang telah disampaikan oleh YAB. Tan Sri Presiden. Ayuh kita bangkit dengan penuh semangat untuk menggalas dan menunaikan amanat pucuk pimpinan.

30. Dato’ Pengerusi Tetap, dengan ini, Sabah MENCADANGKAN USUL MENYOKONG UCAPAN DASAR PRESIDEN.

Sekian. Wabillahi Taufik Wal Hidayah.
Assalamualaikum Wrt Wbt.