BNS Dapat Dokumen Sebutharga Dari DCNS Sebelum Surat Lantikan (LOA) Kerajaan Malaysia

Sebahagian besar dari masalah-masalah yang menyebabkan penyelewengan dan kelewatan projek kapal perang LCS berpunca dari dua keputusan utama:

1. Penukaran reka bentuk kapal dari kelas Sigma yang dipilih oleh TLDM kepada kelas Gowind (yang ditolak TLDM tetapi diluluskan Menteri Pertahanan)

2. Pelantikan kontraktor dan perincian kontrak berat sebelah yang merugikan negara dan TLDM

Isu penukaran reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind menjadi tumpuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang) pada mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka bentuk Sigma.

Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk Gowind.

Apa pentingnya pertukaran reka bentuk dari jenis Sigma kepada Gowind ini?

TLDM memilih Sigma demi keperluan dan kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan lebih moden berbanding kelas Gowind. Apabila Zahid Hamidi menukar reka bentuk kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati kehendak dan perancangan TLDM.

Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih, melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind yang melibatkan kepakaran dari Perancis.

Dari sinilah kita dapat menyelami punca sebenar berlakunya skandal ini.

Ada pihak berkepentingan yang mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.

Sub-kontraktor dari Perancis ini bukan asing lagi dalam skandal pembinaan kapal di Malaysia. Akhirnya, sub-kontraktor yang dilantik adalah DCNS, iaitu kontraktor yang sama terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam Scorpene.

Lebih teruk lagi, dokumen-dokumen dalaman BNS yang dibocorkan kepada saya turut mengandungi dokumen berikut:

1. Sebutharga dari DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010
2. Sebutharga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011
3. Surat Niat (“Letter of Intent”) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011

Tarikh-tarikh sebutharga dari DCNS (sebagai sub-kontraktor) kepada BNS (sebagai kontraktor utama Kerajaan Malaysia) adalah sangat penting apabila kita membandingkan garis masa skandal ini.

Surat Lantikan (“Letter of Award”) dari Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011. Ini bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum pun BNS dilantik menjadi kontraktor utama.

Satu siasatan dalaman BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS, telah membuat kesimpulan berikut:

“.. It is unusual to have a DCNS quotation dated 23 December 2010 even before the LOA was signed by BNS with the (Government of Malaysia) GOM/MINDEF. This indicated that the deal was pre-determined between the vendor and certain vested persons at BHIC/BNS who were at the helm of the decision-making process. The history of DCNS and its unethical practices to bribe Malaysians during the deal is well documented which were filed in the Court by the investigative agencies at France after conducting searches at DCNS & Thales office.”

“.. Adalah luar biasa apabila (BNS) sudah pun ada sebut harga dari DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum pun Surat Lantikan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia/KEMENTAH kepada BNS. Ini menunjukkan kontrak ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak berkepentingan di BHIC/BNS yang berkuasa membuat keputusan. Sejarah DCNS dan amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales.”

Saya yakin rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa pegawai-pegawai di BHIC/BNS adalah “ikan bilis” yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan strategik pertahanan negara dengan menukar reka bentuk kapal perang dari yang diputuskan oleh TLDM kepada yang ditolak TLDM.

Melihatkan kepada keputusan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Zahid Hamidi) yang menukar keputusannya dari memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS) juga membayangkan ada campur tangan pihak yang lebih atas dari Menteri Pertahanan sendiri.

Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak.

Pertama, beliau lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.

Kedua, beliau mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara. Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak ada pengalaman membina LRT). Saya telah mendedahkan skandal ini dalam tahun 2012 dan boleh dibaca di sini: https://rafiziramli.com/category/skandal-lrt-george-kent/

Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini.

Pada masa yang sama, saya akan terus mendedahkan pelbagai penyelewengan yang telah berlaku sehingga menyebabkan tidak ada satu kapal pun yang disiapkan setakat ini.

RAFIZI RAMLI

Jawapan, Soalan Najib Berhubung LCS – PAC

Wong Kah Woh adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menjawab soalan Najib Razak berhubung skandal Kapal Perang LCS. Seperti dibawah.

Baca, Jangan Tak Baca ya PM6.

Laporan PAC di bentang ke Parlimen pada 04.08.22. PM6 kata tidak terlibat, tapi keluar 4 FB posting pada 06.08.2022. Ini suatu rekod. Saya hargai.

PM6 pegang jawatan PM dari 2009 sampai 2018. Isu Projek LCS mula tahun 2011.

PM6 mula dengan kata Pengerusi PAC itu dari DAP. Senang saja untuk kaitkan dengan DAP. Balik-balik DAP. Senang.

Cuma saya nak bagi tahu PM6, saya bukan lagi Ketua Pemuda DAP. Sudah 4 tahun saya lepas jawatan. Boleh Google. Simple facts macam ini tak patut salah tau, sebab nanti PM6 nak bincang LCS itu yang lagi teknikal, lagi cenderung salah.

Saya nak bagi tahu PM6, Laporan PAC bukan Laporan mana-mana Parti. 14 orang ahli, 3 UMNO 3 PPBM 2 DAP 2 PAS 1 GPS 1 PKR 1 Amanah 1 Warisan.

Kejap, saya bagi LINK website PAC, senang untuk PM6 confirm, nanti kata tak percayai Pengerusi PAC pulak.

https://www.parlimen.gov.my/pac/ahli-jawatankuasa-pac.html?

14 Ahli Parlimen dari Parti berlainan, kami satu hati. Satu hati untuk pastikan Wang Rakyat adalah terjaga. Segala keputusan adalah secara konsensus.

Kami independent, bukan macam dulu Kerajaan di bawah PM6, ada isu Laporan 1MDB disunting Pengerusi PAC lantikan PM6 masa itu.

PM6 kata kenyataan Pengerusi PAC salah. Saya hendak bagi tau kenyataan Pengerusi PAC itu adalah berdasarkan Pendapat, Rumusan dan Syor persetujuan secara konsensus PAC selepas hampir 2 tahun siasatan isu ini. Bukan pandangan Pengerusi PAC sendiri.

PM6 kata, ada salah faham Bajet Projek LCS adalah RM6b dan angka RM9b itu adalah sebab kos bertambah RM3b.

Saya tidak faham apa salah faham PM6. Mungkin PM6 salah faham apa yang PM6 salah faham. Mungkin PM6 tidak membaca Laporan penuh PAC.

Takpe, saya bagi LINK Laporan Penuh PAC, baca mukasurat 6 saja, ambil sedikit latar belakang. PAC kata nilai kontrak RM9.128b, bila kata Bajet hanya RM6b?

https://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-257-312.pdf

Cuba tekan butang Ctrl-F RM9.128b, senang nak cari.

Nak baca hardcopy pun ada, ada atas meja Pekan. 3 Jilid jumlahnya. Baca, jangan tak baca PM6.

PM6 tanya kenapa kemajuan kerja hanya 44.10%. Ini pengesahan MINDEF ya, bukan PAC tulis suka sendiri. Boleh baca mukasurat 97. Baca, jangan tak baca PM6.

PM6 kata tidak campur tangan Projek LCS. Itu terpulang kepada PM6. Tapi mungkin boleh jawab kenapa surat bantahan PTL kepada PM6 berkenaan dengan penggunaan GOWIND tidak dijawab?

Kata PM6 lagi, Pengerusi PAC tidak tepat. PM6 kata kapal pertama perlu diserahkan tahun 2019 dan bukan tahun 2017.

PM6 tepat, memang 2019, tepat. Pengerusi PAC pun cakap tahun 2019, tepat. Mana PM6 dapat Pengerusi PAC cakap 2017? Dari Google?

Janganlah PM6, professional sedikit, anda PM6. Jangan baca Google saja, baca Laporan penuh. Baca, jangan tak baca PM6.

Malas nak baca, Pengerusi PAC bantu. Cuma baca info grafik Laporan PAC, mukasurat pertama selepas isi kandungan. PAC nyatakan Serahan LCS1 patut pada April 2019.

PM6 kata jangan menuding jari. PAC tidak. PAC cuma laksanakan tanggungjawab PAC kepada Parlimen, kepada Rakyat dan kepada Negara.

Reaksi PM6 terhadap Laporan PAC besar. Lepas pembentangan Laporan PAC ini, saya ada sikit masa. Saya baru menonton sebuah kartun lama, boleh kongsi sikit dengan PM6, “Jangan Monyet! Jangan!”

Mungkin PM6 perlu mengambil iktibar sedikit daripada respon MINDEF, BNS dan TLDM terhadap Laporan PAC ini. Saya bagi LINK sekiranya PM6 tak sempat nak baca.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/984334/mindef-teliti-laporan-pac-ambil-kira-semua-syor-teruskan-projek-lcs

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/05/bns-sokong-tindakan-tegas-terhadap-pihak-terbabit-salah-laku-projek-kapal-perang/

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/06/tldm-sokong-siasatan-ketirisan-projek-lcs-pihak-terbabit-perlu-dibawa-ke-muka-pengadilan/

Relaks, PM6.