
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri supaya memantau dengan rapi situasi banjir di Tawau yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan banjir yang melanda banyak kawasan di daerah itu sejak Jumaat (24 Julai).
“Semua agensi berkaitan telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas. Saya mahu mereka bersiap siaga untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Ketua Menteri turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila diperlukan.
Beliau berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dengan semua agensi berkaitan telah berada di lapangan bagi memberikan bantuan kepada mangsa.
Jawatankuasa Bencana Alam Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana pada jam 8.30 pagi hari ini selepas beberapa kawasan perumahan di Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Jawatankuasa itu juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai jumlah mangsa yang terjejas bagi tujuan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS), jika perlu.
Sehingga jam 11 pagi hari ini, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang menempatkan 96 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 335 mangsa.
Tamat






















Leave a Reply