Sabah Berpotensi Perkukuh Penyelidikan Perubatan Integratif Berasaskan Biodiversiti

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan perubatan integratif dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti serta pengetahuan tradisional masyarakat tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, khazanah biodiversiti dan pengetahuan masyarakat tempatan perlu didokumentasikan serta dikaji secara bertanggungjawab bagi meneroka potensinya dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, usaha itu perlu dilaksanakan dengan persetujuan dan penglibatan komuniti, selain memastikan sumbangan mereka diiktiraf serta manfaat penyelidikan dikongsi secara adil.

“Saya berharap para penyelidik tempatan dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengkaji dan memperkenalkan produk herba serta amalan tradisional Sabah ke peringkat antarabangsa secara bertanggungjawab.

“Dalam mengembangkan pendekatan kesihatan, keselamatan pesakit dan bukti saintifik mesti sentiasa diutamakan.

“Penghormatan terhadap tradisi perlu disertai penilaian teliti terhadap keberkesanan, mutu dan kesesuaian amalan,” katanya pada perasmian Persidangan Antarabangsa Perubatan Integratif dan Komplementari Ke-2 (ICIM 2026) di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, kerjasama antara universiti, pihak kesihatan, pengamal dan komuniti amat penting untuk memperkukuh penyelidikan serta menyediakan maklumat yang jelas supaya masyarakat dapat membuat pilihan kesihatan yang lebih bermaklumat.

Beliau berharap Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus memainkan peranan menghubungkan ilmu akademik, perkhidmatan kesihatan dan pengetahuan tempatan melalui kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, rakan profesional dan komuniti.

Katanya, dunia kini berdepan cabaran kesihatan yang semakin kompleks, justeru pendekatan penjagaan kesihatan perlu diperluas dan tidak hanya bergantung kepada satu kaedah.

“Perubatan integratif menggalakkan pendekatan kesihatan yang menyeluruh, termasuk pencegahan, pemakanan, gaya hidup, kesejahteraan mental dan sokongan keluarga.

“Pembangunan Sabah perlu disertai usaha membina masyarakat yang sihat dan berdaya tahan, daripada kanak-kanak hingga warga emas,” katanya.

Hajiji berkata, kepelbagaian etnik, bahasa, kepercayaan dan adat resam di Sabah turut memberikan kelebihan kepada negeri ini dalam menyumbang kepada perkembangan perubatan integratif.

Menurutnya, perkhidmatan kesihatan yang berkesan perlu mengambil kira konteks kehidupan pesakit, termasuk pemakanan, hubungan kekeluargaan, sosial, kerohanian dan persekitaran.

Beliau berkata, sikap menghormati bahasa, kepercayaan dan nilai pesakit mampu menggalakkan komunikasi terbuka serta mengukuhkan kepercayaan terhadap pasukan kesihatan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, penganjuran ICIM 2026 selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta hab pelancongan perubatan.

Katanya, persidangan itu juga membuka peluang untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi tempatan dan pakar antarabangsa dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan rakyat.

“Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan mutu kesihatan rakyat. Marilah kita manfaatkan platform ini untuk menghasilkan idea dan kerjasama yang menjadikan penjagaan kesihatan lebih inklusif, mampu milik dan berkesan,” katanya.

Beliau turut berharap persidangan dua hari yang menghimpunkan ahli perubatan, penyelidik, pengamal dan pendidik itu dapat menghasilkan kerjasama berterusan melalui penyelidikan bersama, latihan profesional dan program komuniti.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Perubatan Malaysia, khususnya Jawatankuasa Perubatan Integratif, dan UMS atas kerjasama menganjurkan persidangan berkenaan.

Tamat

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑