
𝐃𝐀𝐊𝐖𝐀𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐖𝐀 𝐓𝐔𝐀𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐑𝐔𝐓𝐀𝐌𝐀 𝐓𝐔𝐍 𝐌𝐔𝐒𝐀 𝐊𝐄 𝐃𝐔𝐁𝐀𝐈 𝐀𝐓𝐀𝐒 𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐈𝐁𝐀𝐃𝐈 𝐀𝐃𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐁𝐄𝐍𝐀𝐑; 𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄 𝐌𝐄𝐒𝐈𝐑 𝐌𝐄𝐑𝐔𝐏𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐌𝐈𝐒𝐈 𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈 𝐃𝐄𝐌𝐈 𝐊𝐄𝐁𝐀𝐉𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐈𝐃𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇
KOTA KINABALU, 21 Julai 2026 – Dakwaan yang tular di media sosial kononnya Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, berkunjung ke Dubai atas urusan peribadi adalah tidak berasas dan mengelirukan.
Lawatan Tun Musa ke Mesir pada awal tahun ini merupakan satu misi rasmi bagi memenuhi beberapa siri program yang memberi manfaat kepada Negeri Sabah, khususnya dalam memperkukuh kebajikan serta pembangunan pendidikan pelajar-pelajar Sabah yang sedang menuntut di negara berkenaan.
Persinggahan di Dubai hanyalah untuk tujuan mengisi minyak pesawat sebelum meneruskan penerbangan ke Kaherah dan bukannya destinasi utama lawatan tersebut. Sepanjang program rasmi di Mesir, Tun Musa menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Dar Al-Ifta Al-Misriyyah, mengadakan perbincangan dengan pihak Universiti Al-Azhar, merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb serta menghadiri Majlis Mahabbah bersama kira-kira 350 pelajar Sabah.
Keprihatinan Tun Musa terhadap kebajikan pelajar Sabah bukanlah perkara baharu. Ketika memegang jawatan Ketua Menteri Sabah, beliau mengambil inisiatif menyediakan sebuah bangunan asrama pelajar di Mesir bernilai jutaan ringgit bagi memastikan pelajar Sabah mempunyai kemudahan penginapan sendiri, pada ketika beberapa negeri lain di Malaysia telah lebih awal menyediakan kemudahan serupa untuk pelajar masing-masing.
Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan beliau terhadap kebajikan, keselesaan dan masa depan anak-anak Sabah.
Sehubungan itu, segala dakwaan bahawa lawatan luar negara Tun Musa dilakukan atas tujuan peribadi adalah sama sekali tidak benar. Semua lawatan rasmi beliau, sama ada di dalam mahupun di luar negara, dilaksanakan bagi memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan fungsi rasmi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, untuk menjaga kepentingan Negeri Sabah dan rakyatnya, memperkukuh hubungan antarabangsa, meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam serta memastikan kebajikan rakyat Sabah di luar negara terus terpelihara.
Berhubung penggunaan pesawat rasmi bagi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah selepas selesai lawatan rasmi tersebut, perlu dijelaskan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah sememangnya diberikan kemudahan menggunakan pesawat rasmi atas budi bicara kerajaan negeri.
Keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu adalah sama seperti yang turut dinikmati oleh Yang di-Pertua Negeri terdahulu sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Justeru, amat dikesali apabila terdapat pihak tertentu terus memutarbelitkan urusan perjalanan rasmi Tun Musa seolah-olah berlaku penyalahgunaan wang awam. Tuduhan sedemikian tidak berasas dan dilihat bertujuan mencemarkan reputasi beliau serta mengheret Institusi Yang di-Pertua Negeri ke dalam polemik politik kepartian demi kepentingan politik yang sempit.
Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan, sebaliknya mengamalkan budaya wacana awam yang bertanggungjawab, berlandaskan fakta serta menghormati institusi negeri.






















Leave a Reply