Siling Pembangunan RM12.02 Bilion Diluluskan Untuk Sabah Di Bawah RMK13

KOTA KINABALU: Sebanyak RM12.02 bilion siling pembangunan telah diluluskan untuk  Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membiayai 1,173 program dan  projek – peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bagaimanapun mengingatkan  bahawa ia bukan sekadar soal perbelanjaan, tetapi mengenai pelaksanaan, impak serta  memastikan pembangunan sampai kepada komuniti di seluruh Sabah. 

“Industri pembinaan akan memainkan peranan utama dalam transformasi ini. Di seluruh  Sabah, kita sedang menyaksikan momentum kukuh dalam pembangunan infrastruktur,  daripada jalan raya dan kemudahan kesihatan kepada utiliti serta jaringan digital,”  katanya. 

“Lebuh Raya Pan Borneo khususnya menggambarkan momentum ini. Ia bukan sekadar  mewujudkan hubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di  seluruh negeri. 

“Pusat bandar kita – Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau sedang berkembang menjadi  hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina,”  katanya pada majlis perasmian International Construction Week (ICW) Borneo dan  BuildXpo di Hotel Sheraton Kota Kinabalu di sini hari ini. 

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan, Datuk  Seri Panglima Masidi Manjun. 

Berdasarkan cabaran pelaksanaan sebelum ini, Ketua Menteri berkata keutamaan pada  masa hadapan adalah mempercepatkan penyampaian, memperkukuh koordinasi dan  memastikan projek dilaksanakan dengan nilai yang berkekalan. 

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada  strategi memperkukuh jaringan perhubungan menerusi rangkaian pengangkutan,  sistem logistik dan pembangunan pelabuhan bagi memacu perdagangan serta  pertumbuhan ekonomi, selain memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya  tahan supaya kemajuan hari ini tidak menjejaskan peluang masa hadapan. 

Strategi lain termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik – menterjemahkan pembangunan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan  rakyat Sabah serta meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus yang lebih baik,  keupayaan lebih kukuh dan akauntabiliti yang lebih tinggi, katanya. 

Dalam hal ini, Hajiji berkata ICW Borneo merupakan platform penting yang  menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama yang diterjemahkan kepada hasil  sebenar. 

“Ia membolehkan Sabah berhubung secara langsung dengan pemimpin industri,  pelabur dan profesional yang boleh menjadi rakan dalam perjalanan pertumbuhan kita. 

“Kepada semua yang hadir hari ini, Sabah mengalu-alukan kerjasama anda. Kita  mencari rakan yang membina dengan tujuan, melaksanakan dengan integriti dan  komited terhadap kualiti. Peluang yang ada amat besar, meliputi infrastruktur,  pembangunan bandar dan pertumbuhan mampan,” katanya. 

Hajiji turut menegaskan bahawa Sabah dibuka untuk perniagaan, bersedia menerima  pelaburan dan komited terhadap kemajuan. 

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading