Hayati Al-Quran Sebagai Asas Pembinaan Umat Progresif, Sejahtera



KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini perlu sentiasa menghayati dan memartabatkan al-Quran sebagai asas pembinaan umat yang progresif, makmur dan sejahtera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran adalah antara pendekatan strategik kerajaan negeri dalam usaha mengajak seluruh umat Islam untuk sentiasa menghayati dan memartabatkan al-Quran.

Pada masa sama katanya, penganjuran berterusan majlis keagamaan ini adalah iltizam kerajaan untuk melihat pembangunan spiritual dan fizikal berjalan seiringan bagi memastikan keseimbangan antara urusan duniawi dan ukhrawi bagi seluruh umat Islam.

“Acara tahunan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri versi kali ini, adalah mukaddimah kepada langkah seterusnya program bercorak mendaulatkan Islam di awal fasa penggal kedua pemerintahan Kerajaan Negeri pada hari ini.

“Justeru, kelangsungan penganjuran majlis ini, bukanlah sekadar menjayakan tradisi keagamaan tahunan, tetapi ia merupakan komitmen dan kesungguhan di pihak Kerajaan dalam menjulang syiar Islam, agama rasmi negara kita yang tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1447H/2026M di Dewan Saadah di Wisma MUIS, di sini pada Jumaat.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah.

Yang turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

Ketua Menteri berkata, majlis ini juga menjadi platform untuk melahirkan golongan Qari, Qariah, Hafiz dan Hafizah yang bukan sahaja cemerlang dari sudut bacaan dan hafazan, tetapi menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

“Justeru, kerajaan komited memudahcara pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan agama Islam, institusi tahfiz dan program penghayatan Islam sebagai langkah berterusan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan progresif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menekankan aspek Kelestarian Hijau ke dalam Tiga Teras Pelan Pembangunan SMJ 2.0, iaitu di bawah Teras J, yang merangkumi Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, demi keselamatan dan kesejahteraan negeri dan rakyat yang berkekalan.

“Dalam kitab suci al-Quran sendiri menerusi ayat 77 Surah al-Qasas, turut menekankan mengenai larangan berbuat kerosakan di muka bumi. Justeru, kita mengambil iktibar daripadanya dengan menekankan aspek Kelestarian Hijau ke dalam Tiga Teras Pelan Pembangunan SMJ 2.0.

“Dalam aspek Kelestarian Hijau ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM672.05 juta bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan tindak balas perubahan iklim, dengan komitmen mencapai 30 peratus kawasan perlindungan sepenuhnya (Total Protected Areas) menjelang tahun 2030,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from JALINLUIN.COM

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading