Kerajaan Negeri Tetap Komited Tuntut Hak Sabah, Termasuk Isu 40%

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang tidak pernah berganjak dalam usaha menuntut hak Sabah, termasuk pengembalian 40 peratus hasil Sabah yang dikutip kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Beliau menegaskan dakwaan pembangkang yang menuduhkan kerajaan pimpinannya tidak bersuara atau berdiam diri dalam isu itu adalah tidak betul, selain bertujuan memperkecilkan Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, beliau berkata tuntutan hak Sabah sentiasa diperjuang dan ditegaskan oleh Kerajaan Negeri, sama ada dalam Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kalau kita dengar cerita di luar, macam-macam cerita untuk memperkecilkan peranan kerajaan menuntut hak kita. Sebenarnya mereka tidak tahu dalam Mesyuarat MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, saya pun duduk di sana”.

“Saya nyatakan dengan tegas apa yang kita tuntut, termasuk 40 peratus hasil cukai yang mesti dikembalikan kepada Sabah. Itu jelas, jadi jangan cakap mungkin kerajaan negeri tidak bersuara”.

“Kita bersuara dalam mesyuarat dan ia direkod serta diminitkan, bukan saja semasa Perdana Menteri Ke-10 (PMX), malah juga sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri”.

“Inilah yang saya bawa (tuntutan hak Sabah), boleh semak dalam minit Mesyuarat MA63,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.8 Pintasan di Padang Belia Kampung Pantai Emas pada Ahad.

Hajiji berkata, usaha menuntut hak Sabah memerlukan kata sepakat daripada semua pihak bagi memudahkan usaha itu dicapai, berbanding ketika ini ada pihak tidak menyokong usaha diambil kerajaan.

“Dalam menuntut hak ini, kita kena bersatu dan saya berharap sangat kita bersatu supaya senang, bukan saja untuk menuntut hak kita, tapi memastikan suara kita dihormati oleh Kerajaan Persekutuan”.

“Kalau kita bergaduh kerana mahu berebut kuasa macam mana? Tentu usaha ini menjadi lambat untuk berjaya. Jadi, untuk berjaya dan maju saya harap sangat supaya dalam politik kita bersatu hati,” katanya.

Leave a Reply

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Discover more from jalinluin.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading