18hb Disember 2020 Sabah Bentang Bajet 2021

Kerajaan negeri Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Hajiji Noor akan membentangkan belanjawan Sabah untuk tahun 2021 pada 18 Disember tahun ini.

Ucapan pembentangan akan bermula pada jam 3 petang dan selepas itu disusuli mesyuarat kedua penggal pertama Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-16 yang bermula pada 21 hingga 23 Disember 2020.

Seperti yang telah diputuskan melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh setiausaha DUN Sabah pada 30 Oktober yang lalu. Bawa liputan hanya akan dibuat oleh media rasmi kerajaan dalam jumlah yang dibenarkan bagi mengekang penularan wabak Covid 19.

Pun begitu media alternatif boleh mengikuti pembentangan Bajet kelak di laman YouTube yang dikendalikan oleh Jabatan Komputer Negeri Sabah.

Ucapan Mencadang Usul Menyokong Ucapan Dasar Presiden – Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU (YAB. Datuk Seri Hajiji Noor)


Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Wrt. Wbt, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj. Muhyiddin Mohd Yassin, Presiden BERSATU, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Presiden BERSATU,
Yang Berhormat Naib-Naib Presiden, Ketua Srikandi dan Armada BERSATU, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Agung,
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, seluruh barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua-Ketua Badan Pimpinan Negeri, Seterusnya Para Perwakilan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana telah memberi penghormatan kepada BERSATU Sabah, untuk memulakan sesi perbahasan dalam Perhimpunan Agung Tahunan ini, dan sekali gus Mencadang Usul Menyokong Ucapan Dasar Presiden.

2. BERSATU Sabah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Presiden atas ucapan dasar, yang sarat dengan hala tuju dan mesej perjuangan. Amanat ini amat penting, sebagai panduan untuk kita melangkah ke hadapan, mengemudi dan menggerakkan perjuangan parti di seluruh peringkat.

3. Ucapan ini menjadi lebih bernilai dan bermakna kerana ianya lahir daripada seorang pemimpin yang teruji dengan keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan. Pemilihan sosok tubuh yang menjadi pemimpin utama parti dan negara pada hari ini bukanlah ketentuan dan perancangan peribadi. Hadirnya di tengah-tengah kemelut atas ketentuan dan takdir yang maha berkuasa. Manusia merancang, sesiapa juga boleh merancang, namun sebaik-baik perancang adalah Allah SWT.

4. Dalam masa yang terhad ini, pastinya tidak sempat untuk saya mengupas dengan terperinci senario yang berlaku dalam parti dan negara. Namun saya fikir setiap daripada kita dapat melihat, merasai dan memahami apa yang berlaku. Kita telah melalui dan terus berhadapan dengan cabaran yang luar biasa. Amat berat dan getir cabaran dan dugaan yang dilalui. Namun berat mata memandang, pastinya jauh lebih berat bahu yang memikul. Pasti lebih berat beban yang tersandar di bahu dan jemala pemimpin yang kita kasihi, YAB Tan Sri Presiden. Isu politik, ekonomi, kelangsungan hidup dan keselamatan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19; merupakan antara cabaran yang perlu ditangani dengan hikmah dan bijaksana.

5. Sebagai pemimpin dan ahli parti, kita perlu terus bersatu dan menyokong penuh kepimpinan YAB Presiden. Insya Allah, kita mampu keluar dari kemelut serta ujian ini, dan parti serta negara berupaya menjadi lebih perkasa, makmur dan sejahtera. Pra-syaratnya adalah kita mesti bekerja keras dan meletakkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada YAB Tan Sri Presiden untuk memimpin parti dan negara, mendepani cabaran dan sekali gus membawa Malaysia melangkah ke hadapan.

6. Memetik madah bijak pandai;

Yang dikatakan pemimpin itu,
Elok lahir sempurna batin,
Eloknya boleh dilihat,
Sempurnanya boleh dirasa,
Elok tingkah dengan lakunya,
Elok budi dengan bahasanya,
Elok tutur dengan katanya.

Yang dikatakan pemimpin,
Berkata lurus bercakap benar,
Dijadikan pemimpin besar manfaat,
Orang suka jauh dan dekat,
Rahmatnya ada dunia akhirat.

Sebagai pemimpin lurus dan jujur,
Beroleh rahmat ia bersyukur,
Hidup merakyat rukun dan akur,
Negeri sentosa rakyat pun Makmur,
Pemerintahan adil serba teratur,
Amanah dan janji tiada luntur.

7. Inilah keperibadian dan kepimpinan nakhoda kita hari ini. BERSATU Sabah dengan ini menzahirkan sokongan, dokongan dan kesetiaan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Presiden dan Perdana Menteri Malaysia. YAB Tan Sri, teruskanlah memimpin negara. Insya Allah, ikhtiar yang bersandarkan kesabaran, keikhlasan dan kejujuran akan mendapat keberkatan dan dipermudahkan Allah SWT.

8. Izinkan saya mengambil sedikit masa mengimbau sejarah penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia di negeri Sabah. Sesungguhnya, Perhimpunan Agung tahun ini merupakan satu lagi peristiwa, yang akan terpahat dalam sejarah perkembangan BERSATU di Sabah. Dalam Perhimpunan Agung bulan Disember 2018, wakil kami hadir dengan status sebagai pemerhati. Alhamdulillah tahun ini, kami turut serta sebagai perwakilan yang sah. Tanggal 6 April 2019 pula merupakan tarikh keramat terbentuknya secara rasmi BERSATU di Sabah melalui Majlis Pelancaran BERSATU Sabah yang telah

9. disempurnakan oleh negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta ramai pimpinan di peringkat nasional dan negeri-negeri lain.

10. Himpunan yang telah dihadiri oleh puluhan ribu masyarakat Sabah itu telah menjadi titik pemula kepada kedudukan BERSATU di Sabah pada hari ini. Setiap perjuangan akan melalui perit getir, suka dan duka. Kami pernah diperangi persepsi pengkhianat dan tidak setia lantaran muafakat untuk berhijrah secara berjemaah. Usaha membawa BERSATU ke Sabah pula cuba dihalang pihak tertentu. Kami juga pernah dinafikan platform untuk berkhidmat kepada rakyat melalui jentera kerajaan negeri. Akhirnya, walau apa yang berlaku, kami bertekad meneruskan perjuangan, kerana kami yakin dan percaya, bahawa yang keramat itu bukanlah individu, bukan juga wadahnya, tetapi inti pati perjuangannya. Kami memilih untuk tidak menoleh ke belakang, tetapi bekerja keras dalam satu pasukan untuk membina kekuatan dan keyakinan rakyat.

11. Alhamdulillah, hari ini BERSATU berkembang mekar di Sabah, dan yang paling penting BERSATU diterima dan mendapat tempat di hati rakyat, buktinya telah dizahirkan dalam Pilihan Raya Negeri September lalu. BERSATU dan Perikatan Nasional telah berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan turut disertai wakil-wakil BEBAS. Kita juga mendapat sokongan rakan-rakan GRS untuk memilih wakil BERSATU sebagai Ketua Menteri Sabah. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan buat rakan-rakan GRS kerana memberikan mandat dan kepercayaan kepada pemimpin BERSATU.

12. Pada kesempatan ini, bagi pihak BERSATU Sabah, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan dan keluarga BERSATU di peringkat nasional dan negeri-negeri, atas bantuan dan sokongan kepada BERSATU Sabah sepanjang PRN yang lalu. Sumbangan sahabat-sahabat sekalian tidak dapat kami gambarkan dengan kata-kata, melainkan komitmen untuk memastikan kerajaan yang dibina di Sabah akan dipimpin dengan sehabis baik demi kepentingan rakyat. Buat keluarga BERSATU sekalian, sudikanlah menerima dua rangkap pantun yang ditujukan istimewa untuk semua:

Terbang tinggi burung kenari,
Melebar sayap di langit tenang,
Bantuan diberi kami hargai,
Jasa dan budi tatap dikenang.

Walau dipisah Laut Cina Selatan,
Silaturrahim terpahat utuh,
BERSATU mari kita perkasakan,
Perikatan Nasional terus diperkukuh!


13. BERSATU dan PN perlu kita perkasa dan perkukuhkan. Sebarang kemelut dan cabaran yang kita hadapi, tidak seharusnya memesongkan fokus kita daripada usaha menambah kekuatan parti. Kesibukan dalam mengurus tanggungjawab dalam kerajaan tidak seharusnya menjadikan kita lupa untuk terus berusaha memperkasa parti dan memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang pilihan raya.

14. Sehubungan itu, BERSATU Sabah ingin mengusulkan beberapa agenda teras yang perlu dilaksanakan segera untuk melonjakkan kekuatan parti.

15. PERTAMA, parti perlu digerakkan secara hikmah dan bijaksana berteraskan agenda perjuangan golongan peribumi, tanpa menafikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Sejak dari awal penubuhan BERSATU, nama peribumi dan takrifannya dalam Perlembagaan Parti menyatakan secara jelas bahawa peribumi itu, antaranya, meliputi orang asal dan anak negeri Sabah. Takrifan bersifat inklusif ini telah menjadi faktor penarik kepada keyakinan rakyat di Sabah untuk menyertai BERSATU. Begitu juga, kita di Sabah amat menghargai peruntukan perlembagaan yang menggariskan, antara matlamat parti adalah untuk mempertahankan kedudukan istimewa anak negeri Sabah, sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Inti pati perlembagaan parti ini menjadikan BERSATU sebagai wadah yang inklusif, sebuah parti yang merangkumkan aspirasi dan jati diri nasional dan lokal.

16. Sehubungan itu, bukan sahaja BERSATU Sabah meminta agar peruntukan perlembagaan ini dikekalkan, malah strategi dan pendekatan parti di semua peringkat, perlu digerakkan bersandarkan citra inklusif ini. Biar perlembagaan kita, gerakan kita, bicara kita dan tindakan kita, setiap masa menggambarkan keterbukaan dan keterangkuman untuk membawa seluruh golongan peribumi bersama kita di dalam parti BERSATU. Pada masa yang sama, kaum-kaum lain turut selesa untuk bekerjasama melalui wadah Perikatan Nasional.

17. Mengapa Sabah memilih untuk membangkitkan perkara ini? kerana pengalaman PRN mengajar kita betapa kerjasama dan permuafakatan peribumi, serta rakyat berbilang kaum itu jauh lebih penting berbanding retorika politik perkauman sempit. (Sebagaimana yang diutarakan oleh YAB Presiden Parti sebentar tadi, kerjasama dan permuafakatan adalah kunci kestabilan politik. Di peringkat nasional, kita perlu memperkukuh hubungan kerjasama di semua peringkat dengan semua parti yang mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. Insya Allah, ini juga tekad dan iltizam kami di Sabah melalui permuafakatan GRS).

18. KEDUA, gerakan penambahan ahli, pendaftaran pemilih dan penubuhan cawangan perlu dilaksanakan secara agresif dengan serta merta. Kekuatan parti bergantung kepada jumlah ahli dan cawangan. Sejak dari awal penubuhan BERSATU di Sabah, kita telah memohon kebenaran untuk membuka cawangan lebih banyak, tanpa tertakluk kepada jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM). Sehubungan itu, Sabah menyokong sepenuhnya cadangan pindaan perlembagaan, yang membuka ruang kepada penubuhan lebih banyak cawangan mengikut kampung atau lokaliti. Selain membuka ruang kepada pertambahan jumlah ahli, penubuhan lebih banyak cawangan akan membolehkan parti berfungsi dengan lebih berkesan dalam memberikan khidmat kepada rakyat. Sabah juga berharap agar Sistem Keahlian Parti dapat dibuka semula pada kadar segera untuk mempermudahkan urusan pendaftaran ahli yang telah lama tertangguh.

19. Sebagai Cadangan KETIGA, Sabah mengusulkan agar parti mempertimbangkan pembentukan sayap ketiga sebagai platform khas yang digerakkan sendiri oleh wanita muda. Berdasarkan data terkini, jumlah keahlian wanita muda di bawah umur 30 tahun di seluruh negara hanyalah pada kadar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Srikandi BERSATU.

20. Dengan pelaksanaan Undi-18 yang telah diluluskan di Parlimen, dijangka hampir 1.5 juta pemilih baharu berusia 18 hingga 21 tahun akan layak mengundi pada PRU15 akan datang. Jumlah ini sekali gus menganjakkan jumlah pengundi muda keseluruhan kepada 7.8 juta orang. Daripada jumlah ini, 25 peratus adalah pengundi wanita muda di bawah umur 30 tahun. Melihat kepada angka-angka ini, Sabah berpandangan, parti perlu melakukan langkah pembaharuan bagi menggalakkan partisipasi orang muda khususnya wanita muda di dalam parti.
.

21. Pada kesempatan ini juga, tidak lengkap jika saya tidak menyampaikan amanah daripada saf kepimpinan BERSATU Sabah yang juga merupakan aspirasi rakyat di Sabah. Saya ingin menzahirkan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat di Sabah kerana telah memberikan kepercayaan kepada GRS untuk memimpin Kerajaan Negeri.

22. Kami cukup sedar bahawa sokongan yang diberikan hadir bersama harapan tinggi rakyat, yang menginginkan perubahan nasib dan masa depan. Kami cukup insaf bahawasanya pertanggungjawaban yang disandarkan kepada kerajaan baharu ini perlu dilaksanakan sehabis baik, dan mandat rakyat jangan disia-siakan.

23. Sehubungan itu, BERSATU Sabah bersama GRS komited untuk merealisasikan aspirasi dan harapan rakyat. Kami bertekad untuk memastikan Aku Janji GRS diusahakan sehingga berjaya.

24. BERSATU Sabah berharap pucuk pimpinan parti dan rakan-rakan sekalian memahami hakikat perjuangan yang dekat dengan hati rakyat di Sabah. Suara memperjuangankan hak dan kepentingan negeri bukanlah suara yang bersifat kenegerian sempit, tetapi perjuangan ini adalah bersandarkan kecintaan kepada tanah air, Malaysia. Kita mahu membina dan melestarikan Persekutuan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera, dengan setiap wilayah dan rakyat yang dinaunginya berupaya menikmati kemajuan dan kemakmuran. Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity) hanya mampu dibentuk dengan wujudnya Tanggungjawab Bersama (Shared Responsibility).

25. Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama mengiktiraf kontrak sosial ‘antara kaum’ yang wujud dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Sekiranya kontrak sosial itu diperakui dan telah menjadi sebahagian daripada teras dasar dan polisi kerajaan, maka pengiktirafan yang setara perlu diberikan kepada kontrak sosial ‘antara wilayah’ yang terbina melalui pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

26. Ramai barisan kepimpinan kerajaan dan parti yang telah turun padang, berkampung di seluruh pelosok negeri Sabah sepanjang PRN lalu. Saya yakin rakan-rakan sekalian dapat melihat realiti yang wujud. PRN Sabah membolehkan barisan pimpinan bukan hanya mendengar, tetapi dapat melihat dan merasai harapan dan keperluan rakyat di Sabah. Jurang pembangunan, jurang pendapatan, peluang pekerjaan, hambatan kemiskinan dan keperluan infrastruktur adalah antara isu legasi sejak merdeka yang memerlukan perhatian dan indakan penyelesaian. Kami khuatir pandemik COVID-19 akan terus melebarkan jurang besar sedia ada. Kami berterima kasih atas bantuan Kerajaan Persekutuan sejak COVID-19 bermula yang telah memanfaatkan jutaan rakyat di Sabah dengan peruntukan dianggarkan mencecah hampir RM3 bilion, khususnya melalui inisiatif PRIHATIN dan PENJANA.

27. Sesungguhnya, Sabah memerlukan bantuan yang lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan. Kami perlu menambah dan mencipta hasil baharu untuk negeri, yang juga memerlukan kerjasama pusat untuk menyempurnakan hak dan kepentingan negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

28. BERSATU Sabah memohon komitmen Persekutuan membantu kami menunaikan Aku Janji PRN dan sekali gus menggerakkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang akan dibentangkan oleh Kerajaan GRS dalam masa terdekat. Insya Allah, kami yakin rakyat di Sabah akan menghargai jasa dan budi Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional. Insya Allah, muafakat akan membawa berkat dan manfaat buat rakyat dan tanah air tercinta. Dengan izin Allah, Pertanggungjawaban Bersama akan membawa Kemakmuran Bersama yang bisa dinikmati oleh setiap rakyat, setiap wilayah, dengan adil dan saksama.

29. Akhir kata, marilah kita bulatkan tekad, marilah kita tingkatkan iltizam, marilah kita bersatu membina parti, memperkukuh perikatan, mempertahan kuasa, demi memperkasa bangsa, menjunjung agama, menjulang negara. Marilah kita hayati mesej dan amanat yang terkandung dalam ucapan yang telah disampaikan oleh YAB. Tan Sri Presiden. Ayuh kita bangkit dengan penuh semangat untuk menggalas dan menunaikan amanat pucuk pimpinan.

30. Dato’ Pengerusi Tetap, dengan ini, Sabah MENCADANGKAN USUL MENYOKONG UCAPAN DASAR PRESIDEN.

Sekian. Wabillahi Taufik Wal Hidayah.
Assalamualaikum Wrt Wbt.

Sabah Ucap Tahniah Bajet 2021 Lulus

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam Belanjawan 2021 itu antara lain yang diluluskan ialah sejumlah RM50 juta tambahan diperuntukkan kepada Sabah pada bulan Disember ini untuk memerangi pandemik Covid-19.

Sabah turut mendapat peruntukan daripada peruntukan kerajaan Persekutuan bernilai RM3 bilion dalam memerangi Covid-19 sejak wabak itu melanda awal tahun ini melalui pelbagai saluran termasuk bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan NADMA.

“Oleh itu, bagi pihak Kerajaan Sabah, saya ingin merakamkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional atas kelulusan belanjawan sulungnya ini,” katanya.

Ketua Menteri mengulas kelulusan Belanjawan 2021 yang mendapat sokongan majoroti selepas ucapan penggulungan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Belanjawan ini mewakili 20.6 peratus daripada keseluruhan kadar domestik negara kasar(KDNK),melebihi peruntukan tahun lepas sebanyak RM297 billion seterusnya merupakan peruntukan bajet terbesar negara setakat ini

Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan rakan sejawat di Persekutuan dalam memastikan semua program pembangunan yang dinyatakan dalam Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Perlantikan PPM Dan Amaran Jika Gagal Memikul Tanggungjawab

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kerajaan Negeri diingatkan untuk melaksanakan tugas mereka dengan komitmen dan integriti untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Sekiranya terdapat PPM yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka, maka saya sebagai Ketua Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” kata Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Bercakap selepas menyaksikan upacara mengangkat sumpah dan menyampaikan surat pelantikan kepada 44 PPM di Pusat Pentadbiran Negeri, Isnin, beliau berkata tugas mereka adalah untuk membantu wakil rakyat kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. “Ini untuk memastikan aspirasi rakyat yang memilih pemerintah akan terpenuhi,” kata Hajiji.

PPM yang mengangkat sumpah di bawah fasa satu ialah Suraya Asek @ Eyan Abd Rashik (Ibu Pejabat UPPM), Murnih Lamsari (Sulaman), Abu Bakar Gapar (Lamag), Jewin @ Patrick Paunil (Tambunan), Dounis Sany (Kundasang), Rosdi Abd Ghani (Karanaan), Madin Anak (Tamparuli), Saruji Abdul Rahman (Membakut), Samry @ Sami Sher Mohammad (Sukau),

Mohd Sufian @ Eddie Matin (Tanjung Keramat), Matlan Tman (Karambunai), Tony Talasoy (Sook), Mohd Hisyamuddin Harun (Paginatan), Kamarul Anuar Ahmad @ Augustine (Bandau), M. Aziriansyah Ali (Apas), Jepinus Kimun (Kuala Penyu), Junior Fred Vincent (Bingkor), Jalil Atang (Sugut), Majawab Masantun (Tandek), Mohd Rosli Ibrahim @ Dulaim (Pantai Manis), Matjun @ Yunus Mathon (Klias).

Berahim Nasib (Sungai Sibuga), Rafael Rindan @ Rafael Lindan (Labuk), Mohamad Lahab Enul (Bengkoka), Golubi Guntarek (Kiulu), Marius Masain (Matunggong), Casmir Silip (Tulid), Ramlah Nasir (Pitas), Saharuddin Salleh (Tanjung Batu), Jamlan Saparan (Pintasan), Sigam Angor (Tempasuk), Amran Disah (Usukan), Rosli Ibrahim (Kawang); Dioslin Alin @ Augustine (Lumadan), Sani Miasin (Sindumin), Frederick Philip @ Fred Toyong (Liawan), Sabili Ahunang (Kemabong), Deckson Anthony @ Andi.pai (Nabawan), Marcellus Jaffery .(Telupid), Isgau Abdullah (Sungai Manila), Tokyo Abdul Hasim B Saulid Kandan (Kuamut), Amran Karim (Balung), Mizma Appehdullah (Segama) dan Hussin Mohd Rais (Kunak).

Jawapan Ketua Menteri Hajiji Sidang DUN Sabah (1) Bantuan Covid 19

JAWAPAN LISAN
OLEH YAB. DATUK SERI PANGLIMA KETUA MENTERI
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA
DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KE-16
ISNIN, 16 NOVEMBER 2020

SOALAN 1

YB. Tuan Calvin Chong Ket Kiun [Elopura] bertanya kepada KETUA MENTERI, berapakah jumlah peruntukan dana yang telah disediakan oleh pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada penduduk negeri Sabah akibat penularan wabak COVID-19.

JAWAPAN

Tuan Speaker,

Izinkan saya menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan nombor 16, 17, 18, 19, 20, 21, 22 dan 23 memandangkan soalan-soalan yang dibangkitkan adalah berkaitan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari kawasan Elopura, ADUN Dilantik, Kadamaian, Api-Api dan Likas serta Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri sememangnya menyedari akan bebanan yang dihadapi oleh rakyat Sabah akibat penularan pandemik COVID-19. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM160 juta, manakala Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM50 juta kepada Kerajaan Negeri melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, peruntukan RM160 juta tersebut yang melibatkan seramai 1,066,798 penerima adalah berdasarkan agihan bantuan yang berikut:

Klik links dibawah untuk mendapatkan jawapan keatas beberapa lagi soalan dalam bentuk PDF atau Words.

Jawapan penuh Ketua Menteri Sabah keatas beberapa soalan lisan

Fitnah Terhadap Ketua Menteri Hajiji Pasal Bantuan Makanan

KOTA KINABALU: Satu catatan di media sosial yang mendakwa penyerahan bantuan bakul makanan Covid-19 ditangguhkan kerana kecekapan penjawat awam adalah berita palsu.

Pejabat Ketua Menteri menyatakan bahawa catatan itu disiarkan di semua platform media sosial dan disertakan dengan gambar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor adalah cubaan jahat untuk melemahkan dan memburukkan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru dibentuk dan pemimpin.

Ketua Menteri tidak pernah membuat pernyataan seperti itu, sebaliknya beliau sangat menghargai kerja keras yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dalam memerangi pandemi Covid-19 serta mereka yang telah memberikan bantuan kepada orang-orang yang terkena perintah kawalan pergerakan.

Laporan akan diserahkan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk membuat dan menyebarkan berita palsu ini.

Tamat

Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri
Lucy Irene Yong
15 Nov 2020

Zillion Ventures Sumbang Beras Pelitup Muka & Hand Sanitizer – BERSATU Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyaksikan penyerahan sumbangan 10,000 kampit beras (5kg per kampit), 1000 kotak pelitup muka (face mask), 1000 botol hand sanitizer (500 ml) sumbangan Zillion Ventures Sdn.Bhd kepada Bersatu Sabah di pejabat parti itu di Alamesra.


Sumbangan itu telah diserahkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan (GMD) Zillion Ventures, Datuk Yeo Hock Ching kepada Ketua-Ketua Bahagian Bersatu.


Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengucapkan terima kasih kepada Yeo dan Zillion Ventures diatas sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.


Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Zillion, Encik Redzuan Ismail, Ketua Armada Bersatu Sabah, Encik Fairuz Renddan, Setiausaha Bersatu Sabah, Muhamed Razali Razi, Ketua Penerangan, Encik Khairul Firdaus Akbar dan Setiausaha Kerja Bersatu Sabah, Encik Abdul Kassim Razali.


1. Hajiji (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yeo (kiri) kepada Ketua Bersatu Bahagian Sepanggar, Encik Muhamed Razali Razi.


2. Ketua Bersatu Bahagian Batu Sapi, Encik Khairul Firdaus (kanan) menerima sumbangan daripada Yeo sambil diperhatikan oleh Hajiji (dua dari kanan).


3. Hajiji (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yeo (dua dari kiri) kepada Ketua Bersatu Bahagian Papar, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar di majlis itu.

Kerajaan Negeri Hargai Kakitangan Kementerian Kesihatan Tangani Covid 19


Kerajaan Negeri menghargai dedikasi, kerja keras dan pengorbanan anggota Kementerian Kesihatan di semua peringkat, terutama barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19 di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Hj Noor berkata pihak berkuasa kesihatan persekutuan di bawah kepimpinan Ketua Pengarah yang berkebolehan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah melakukan yang terbaik untuk memerangi wabak di Sabah dan negara ini.

“Saya gembira dapat mengetahui bahawa kes Covid-19 di Sabah mulai stabil berikutan penurunan kes seperti yang diumumkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham semalam dan banyak zon dan daerah di Sabah telah berubah menjadi hijau,” tambahnya.

Bercakap setelah menerima ventilator, mesin sinar-x bergerak, topeng muka dan sumbangan kewangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 untuk membantu memerangi wabak itu di Pusat Pentadbiran Negeri (PPNS) di sini pada hari Jumaat, dia berkata kerjasama dari semua diperlukan untuk mengalahkan Covid-19 dengan berkesan.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada penyumbang iaitu Kumpulan Hap Seng melalui Yayasan Lau Gek Poh, Petronas melalui Yayasan Petronas dan Cement Industries Sabah.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang sangat diperlukan dalam memerangi Covid-19 di Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, Pengarah Kumpulan Hap Seng, Datuk Simon Shim menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM2 juta melalui Yayasan Lau Gek Poh untuk pembelian tiga mesin x-ray mudah alih berteknologi tinggi dan 11 unit ventilator bergerak untuk digunakan di seluruh Sabah.

Petronas yang diwakili Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman, pula menyerahkan satu juta topeng kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah Covid-19.

Pengerusi Cement Industries Sabah, Datuk Japlin Akim menyampaikan mok cek berjumlah RM100,000.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap jurucakap Covid-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Haji Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi. tamat.

Ucapan TYT Pembukaan Rasmi Mesyuarat dan Penggal 1 DUN Ke 16


UCAPAN DASAR KERAJAAN
OLEH TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH
TUN DATUK SERI PANGLIMA (DR) HAJI JUHAR BIN DATUK HAJI MAHIRUDDIN
BERSEMPENA DENGAN PEMBUKAAN RASMI
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS

PADA 12 NOVEMBER 2020



Bismilahir Rahmanir Rahim,

Assamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun dalam Dewan yang mulia ini sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas.

2. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Negeri Sabah dikurniakan dengan nikmat keamanan, kemajuan dan kemakmuran yang membolehkan Kerajaan Negeri dan rakyat dapat bersama-sama membangunkan dan memajukan lagi negeri ini dalam pelbagai sektor. Kerajaan Negeri dan rakyat perlu terus berkerjasama sebagai satu pasukan terutama bagi memacu ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19. Kerjasama yang padu dan mantap adalah amat penting bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan usaha-usaha Kerajaan bagi menangani impak pandemik COVID-19 ini. Dalam konteks ini, saya menyambut baik pelbagai langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan menyeru agar usaha-usaha ini terus diperhebatkan lagi terutama dalam menjaga kebajikan dan menjamin kesejahteraan rakyat di semua peringkat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sukacita saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu dibentuk di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Pada pilihanraya umum lalu, rakyat telah membuat keputusan dan memberikan mandat kepada GRS untuk menerajui kepimpinan dan pentadbiran negeri ini untuk tempoh lima tahun mendatang. Saya yakin dan percaya bahawa Kerajaan Negeri yang baharu ini berupaya membawa negeri Sabah kembali ke mercu kejayaan dan kecemerlangan, memandangkan ramai dari kalangan anggota pentadbiran adalah mereka yang berpengalaman. Dalam pada itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah dipilih. Saya menyeru agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang ada ini akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, komitmen yang tinggi dan berdedikasi, sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat seluruhnya.

Sepertimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac 2020, dan telah dilanjutkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020 adalah bagi membendung penularan pandemik COVID-19. Secara khususnya, bagi negeri Sabah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan, manakala di beberapa lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut dikuatkuasakan. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat.

Sesungguhnya pandemik yang melanda dunia ini, merupakan cabaran baharu kepada manusia sejagat, sehingga kita terpaksa mematuhi “the new normal” dalam kehidupan seharian. Dalam konteks kita di Sabah, pandemik ini bukan sahaja telah merubah cara kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri, malah dari segi pergaulan dan cara kita bekerja dengan jadual-jadual baharu di bawah PKP, PKPB, PKPD dan sebagainya. Ini bermakna, walaupun kita dilanda pandemik namun urusan pentadbiran, perniagaan, perdagangan dan sebagainya, tetap berjalan bagi memastikan urusan pentadbiran dan ekonomi negeri kekal berfungsi.

6. Sehubungan itu, walaupun berhadapan dengan cabaran, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri dengan menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif, meliputi pelbagai sektor, di samping memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar. Kerajaan Negeri juga komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkatkan tahap keselamatan negeri.



Ahli-Ahli Yang Berhormat,

7. Dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha untuk memacu dan membangunkan negeri ini khususnya dalam pelaksanaan projek-projek yang berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor. Projek-projek yang berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo, Pembesaran Sepanggar Bay Container Port, Upper Padas Hydro Power, Jalan Kalabakan / Serudong-Semanggaris, dan lain-lain akan terus dilaksanakan.

8. Kerajaan Negeri akan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar. Ini termasuklah peningkatan liputan jalanraya, penyediaan bekalan air bersih dan terawat, penambahbaikkan sistem pengangkutan awam, penyediaan sistem pembentungan, penyediaan bekalan elektrik serta kemudahan pelabuhan and logistik yang efisien.

9. Pada masa sama, selaras dengan perkembangan sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada dasar jaminan bekalan makanan serta keselamatan makanan. Kerajaan Negeri akan memastikan bekalan makanan adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Sektor pertanian akan diperkukuhkan lagi dengan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti, serta meningkatkan jaminan dan kualiti bekalan makanan. Pembangunan dan penyelidikan (R&D) akan diteruskan dalam sektor ini seperti pembangunan program pendigitalan bagi mempercepatkan sistem penyampaian maklumat kepada kumpulan sasar, latihan, akreditasi dan program berkaitan Amalan Pertanian Terbaik.

10. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran hasil perikanan, pengurusan sumber perikanan dengan lebih cekap, berkesan dan mapan. Peningkatan pengeluaran makanan berasaskan ternakan yang berkualiti tinggi di samping meningkatkan tahap keselamatan makanan serta peningkatan pendapatan penternak juga diberi tumpuan. Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada sektor pertanian supaya dapat membangun seiring dan saling melengkapi dengan sektor-sektor pertumbuhan yang lain.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

11. Sektor perindustrian dikenalpasti sebagai sektor yang berkeupayaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi berdasarkan sumber-sumber asli yang terdapat di Negeri Sabah serta kedudukan Negeri Sabah yang strategik di rantau ini. Sektor perindustrian akan diberikan tumpuan, khususnya sektor pembuatan sebagai pemangkin untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. Penekanan Kerajaan Negeri kepada sektor perindustrian akan menumpu kepada “clean and environmental friendly industries”. Ini adalah selari dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk terus menekankan perlindungan kepada alam sekitar.

12. Free Economic Zone juga akan dibangunkan di Taman-taman Perindustrian yang strategik untuk menarik lebih banyak syarikat dari dalam dan luar negara melabur di Negeri Sabah. Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga akan diberi tumpuan oleh Kerajaan Negeri sebagai industri pendukung utama dan pemangkin kepada industri pembuatan. Program-program memperkasakan IKS meliputi penganjuran kursus-kursus berkaitan keusahawanan, meningkatkan kemahiran, menggunapakai teknologi baharu, serta menyalurkan bantuan IKS bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran.

13. Di samping itu, Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan usaha untuk memudahcara peralihan pengurusan PBT ke arah pertumbuhan hijau bagi pengurusan pembangunan sumber yang lebih baik, dinamik dan mapan. Kerajaan Negeri akan memperkukuhkan tadbir urus melalui pengukuhan rangka kerja dasar, perundangan dan institusi, peningkatan kapasiti dan keupayaan dalam penguatkuasaan dan pemantauan.

14. Pelan Struktur Sabah 2033 adalah dokumen perancangan jangka masa panjang yang mengandungi dasar-dasar strategik. Pelan ini dijadikan sebagai sumber rujukan utama Kerajaan Negeri dalam penyediaan hala tuju perancangan pembangunan yang berdaya maju, holistik dan mampan di seluruh Negeri Sabah. Penyediaan Pelan Daerah dan Pelan-Pelan Tempatan yang merangkumi pengezonan kawasan akan dilakukan mengikut kesesuaian cadangan gunatanah, pematuhan piawaian dan garis panduan pembangunan sedia ada. Pelaksanaan pelan-pelan tempatan akan dijadikan sebagai mekanisma kawalan pembangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Sabah. Perancangan pembangunan juga merujuk Sustainable Development Goals (SDG) dan Low Carbon City Framework (LCCF) Initiative dalam usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

15. Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan perumahan melalui Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Sabah kepada golongan sasar. Ini adalah seiring dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan pembangunan sektor perumahan terus berdaya huni, teratur dan dapat dinikmati oleh semua kumpulan sasaran yang ditetapkan.

16. Dalam isu kemiskinan pula, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk mengurangkan insiden kemiskinan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan dan mensejahterakan komuniti luar bandar. Program-program sedia ada seperti Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Keusahawanan Industri Desa serta Program Latihan dan Pembangunan Masyarakat akan terus ditingkatkan lagi. Beberapa program baharu dalam RMK-12 telah dirancang untuk dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar seperti Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS), Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA). Program-program tersebut akan didokong dengan pewujudan Pelan Strategik, Pelan Tindakan dan Sistem Aplikasi Profail Kampung Negeri Sabah (SPK) dalam usaha untuk mempercepatkan proses transformasi pembangunan di kawasan luar bandar dan mensejahterakan komuniti luar bandar.

17. Menyentuh mengenai Sektor pelancongan pula, pada tahun ini sektor berkenaan telah terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Penutupan pintu sempadan negara serta pembatalan penerbangan terus antarabangsa ke Negeri Sabah telah memberi kesan yang amat besar kepada sektor pelancongan. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mengembalikan momentum pembangunan sektor pelancongan dengan merangka pelan dan program pemulihan yang holistik, untuk diimplementasi sebaik bumi Sabah bebas dari pandemik COVID-19. Sesungguhnya Negeri Sabah ini adalah syurga bagi dunia pelancongan. Keindahan dan kekayaan flora dan fauna serta keajaiban alam semulajadi di negeri ini, seperti lautan dan kepulauannya serta gunung-ganang dan hutan simpannya adalah khazanah alam yang tidak terdapat di mana-mana negeri di Malaysia. Justeru, negeri Sabah menjadi tarikan dan tonggak utama sektor pelancongan di Malaysia. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri akan mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya sebagai persediaan untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini.

18. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dan mengambil inisiatif untuk melindungi, memelihara dan memulihara alam semulajadi. Usaha-usaha untuk memperluaskan Kawasan Perlindungan Marin kepada 13 peratus menjelang tahun 2023 akan diteruskan. Kerajaan Negeri akan membangunkan lebih banyak pusat-pusat pelancongan termasuk produk-produk dan destinasi-destinasi pelancongan yang unik di kawasan luar bandar untuk menarik lebih ramai pelancong pada masa hadapan.

Kerajaan Negeri juga komited untuk meneruskan dasar agar kawasan hutan yang mempunyai nilai biologi yang tinggi dijadikan Totally Protected Areas (TPA) yang tidak kurang daripada 30 peratus keseluruhan keluasan negeri menjelang tahun 2025. Setakat ini, keluasan hutan yang telah diisytiharkan sebagai TPA telah mencapai 1.9 juta hektar atau 26 peratus. Pencapaian ini menjadikan Negeri Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan TPA yang terbesar di Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

20. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Sabah sebagai Kerajaan Digital yang maju, kompetetif, progresif, inovatif dan berdaya tahan menjelang tahun 2025, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Kementerian baharu iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) bagi menggantikan Kementerian Pelajaran dan Inovasi. Kerajaan Negeri akan mengarusperdanakan penerapan Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memastikan Negeri Sabah mampu mencapai status negeri maju bertunjangkan kemajuan sains dan teknologi, membudayakan kreativiti dan inovasi, mendepani pembangunan ekonomi digital, mendokong pemerkasaan elemen Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta menyediakan modal insan berkemahiran tinggi. Saya menyokong usaha-usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasa pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya tahan dan berintegriti supaya mampu memartabatkan Negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi. Pembangunan modal insan adalah merupakan pemangkin kepada pertumbuhan mapan ekonomi negeri ini.

21. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan menaik taraf jalinan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih meluas di Negeri Sabah melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA). Menjelang tahun 2022, sebanyak 417 menara telekomunikasi baharu akan disiapkan di Negeri Sabah. Sebanyak 1,972 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G dan liputan tetap gentian optik akan diperluaskan dengan melibatkan 251,166 premis di seluruh Negeri Sabah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

22. Berhubung dengan pembangunan belia dan sukan, Kerajaan Negeri akan terus komited dalam mengukuhkan dan memajukan bidang sukan dan golongan belia selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Negeri Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Negeri Sabah. Usaha-usaha Kerajaan dalam membangunkan belia dan memajukan sukan di negeri ini akan diteruskan dalam melahirkan atlet yang berkaliber dan berdaya saing. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk memasyarakatkan infrastruktur sukan, merangsang pembudayaan sukan dan gaya hidup sihat serta mewujudkan persekitaran kondusif sukan sejajar dengan matlamat sukan Negeri Sabah.

Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha untuk memperkasakan wanita dengan melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita dan program kesejahteraan keluarga untuk mewujudkan dan memantapkan keharmonian masyarakat. Penglibatan wanita di pelbagai sektor terutama dalam pembuatan dasar dan keputusan akan diberi keutamaan, termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dan agensi-agensi kerajaan. Selain itu, Kerajaan Negeri akan terus memastikan warga emas dan golongan kurang upaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara serta memastikan kepentingan dan kebajikan mereka terpelihara dengan memberi perhatian kepada kelengkapan keperluan mereka yang bersifat mesra-pengguna.

Mengenai isu keselamatan dan ketenteraman awam, Kerajaan Negeri mengambil berat isu pencerobohan kawasan sempadan negeri ini dengan negara jiran, serta kemasukan pendatang asing tanpa izin yang masih berlarutan. Oleh hal yang demikian, Kerajaan Negeri bertekad untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan negeri ini khususnya dalam kawasan ESSZONE. Untuk itu, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan, akan memperkukuhkan lagi peranan dan bidang kuasa ESSCOM dalam menjaga dan mengawal perairan dan sempadan Sabah dengan negara-negara jiran. Pencerobohan dan penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin ke negeri ini melalui jalan-jalan tikus yang terdapat di kawasan sempadan haruslah dihentikan sama sekali. Pihak ESSCOM harus mengadakan pemantauan dan rondaan yang lebih kerap supaya perkara seumpamanya tidak terus berlaku dan berpanjangan. ESSCOM bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di kawasan pantai timur Sabah. Arahan perintah berkurung di bawah seliaan ESSCOM akan diteruskan selagi ancaman ketenteraman masih wujud dan menggugat keselamatan atau sekuriti di dalam negeri ini. Manakala Operasi Benteng perlu diteruskan sebagai antara tindakan membanteras pendatang asing tanpa izin.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran-geran tanah kepada rakyat Negeri Sabah khasnya golongan anak negeri di kawasan luar bandar. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri menyasarkan pengeluaran sebanyak 7,500 geran tanah anak negeri (Native Title) dengan jumlah keluasan tanah 15,000 hektar melalui Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri (PANTAS).
26. Kerajaan Negeri juga terus memperkasakan dan mempercepatkan proses pengambilan tanah melalui proses kerja berdigital bagi menyokong pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Negeri dan Persekutuan khasnya projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek-projek pembangunan infrastruktur luar bandar.

27. Penangguhan pembayaran premium tukar syarat gunatanah akan diteruskan sehingga 31 Disember 2021 bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pembangunan hartanah. Proses-proses kerja berkaitan pembangunan tanah juga akan dilaksanakan secara berdigital bermula pada tahun 2021 bagi mempercepatkan pembangunan sektor hartanah di Negeri Sabah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

28. Untuk memastikan matlamat dan strategi Bajet Negeri 2021 tercapai, tumpuan akan diberikan kepada usaha-usaha meningkatkan lagi kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa dan merasionalisasikan pengurusan sumber. Kerajaan Negeri telah mengenakan Cukai Jualan Negeri ke atas produk-produk petroleum sebagai sumber kutipan hasil negeri yang baharu. Kerajaan Negeri akan memantau kutipan hasil baharu ini dan memastikan syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negeri ini termasuk Petronas membuat pembayaran cukai dengan teratur. Kerajaan Negeri akan menekankan dasar perbelanjaan berhemat dan berintegriti melalui penguatkuasaan ke atas pemantauan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan ke arah menangani ketirisan, pembaziran dan pemborosan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

29. Hubungan akrab dan kerjasama yang padu di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara dan dipertingkatkan demi kebaikan dan keberuntungan bersama. Saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas segala bantuan dan sokongan yang diberikan kepada negeri Sabah khususnya bantuan berkaitan pandemik COVID-19, bermula sejak bulan Mac sehingga kini, bagi menangani penularan dan serangan pandemik berkenaan. Peranan yang dimainkan oleh Kementerian dan Jabatan-Jabatan berwajib amatlah dihargai dan disanjung tinggi.

30. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Gabungan Rakyat Sabah atau GRS, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri, atas kejayaan menubuhkan Kerajaan Negeri yang baharu dan seterusnya melaksanakan dasar-dasar yang saya yakin dan percaya bukan sahaja berdasarkan kepentingan negeri, bahkan juga berdasarkan kepentingan demi membela nasib rakyat seluruhnya. Selaras dengan itu, suka saya mengingatkan kepada semua Ahli Yang Berhormat supaya sentiasa menunaikan kewajipan atau khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing sesuai dengan peranan dan tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat selaku wakil rakyat.

31. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, ESSCOM, Kastam Diraja Malaysia, RELA, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi dan petugas di peringkat Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri, Pusat Operasi Pengurusan Bencana dan semua pihak yang terlibat dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

32. Akhir sekali, saya menyeru semua pihak, pemimpin dan seluruh rakyat, agar terus berganding bahu dan bekerjasama, ke arah memajukan dan memakmurkan negeri Sabah demi kejayaan dan kesejahteraan masa depan kita semua. Saya juga ingin mengingatkan kepada semua supaya sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dalam menghadapi dan menangani pandemik yang sangat mencabar ini. Kita perlu berusaha bersma-sama dan berganding tenaga agar penularan pandemik COVID-19 dapat kita atasi dan dibasmi sepenuhnya. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua dan sentiasa melindungi kita daripada bala bencana serta perkara-perkara buruk yang memudaratkan. Moga Negeri Sabah yang tercinta ini akan terus maju, aman dan makmur, harmoni dan sejahtera.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

15 SU Politik Terima Watikah Perlantikan Dari KM Hajiji Noor

Hari ini saja seramai 15 Setiausaha Politik yang ditugaskan di beberapa Kementerian Kerajaan Negeri telah menerima watikah pelantikan dari Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu ketua menteri mengingatkan, supaya sentiasa memikul tanggungjawab dengan baik didalam melayani persoalan yang dihadapi rakyat.

Ini kerana rakyat Sabah telah memberikan mandat melalui Pilihan Raya Negeri Sabah untuk membentuk kerajaan negeri baharu. Oleh itu menjadi kewajipan untuk melakukan yang terbaik lebih-lebih lagi dalam keadaan pendemik Covid-19 yang telah menimbulkan banyak cabaran dan kesulitan disemua sektor.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor menggesa supaya setiausaha setiausaha berkenaan sentiasa mendengar tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang sekaligus menyangkalnya dengan menyatakan hal yang sebenar-benarnya.

Ini adalah masanya untuk berkerja, lakukan yang terbaik untuk kementerian atau menteri yang mereka wakili dan membentuk pasukan yang terbaik.

Sekali lagi Ketua Menteri mengulangi bahawa kerajaan negeri akan sentiasa membantu mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19. Sebab itulah sehingga hari ini kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM160 juta untuk pelbagai persediaan dan melalui peruntukan yang sama kerajaan negeri telah berjaya mengedarkan bakul makanan 144,000 ke semua daerah di negeri Sabah.