Kelonggaran SOP Di Sabah Telah Diputuskan Dalam Mesyuarat Kabinet

KOTA KINABALU: Keputusan melonggarkan operasi beberapa aktiviti ekonomi serta sosial sudah dibincangkan dalam ‘Mesyuarat Kabinet’ sekali gus mendapat sokongan sepenuhnya kalangan semua menteri Kabinet.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, tindakan ini perlu terus dikekalkan bagi membolehkan pengusaha makanan dapat menjalankan perniagaan mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kebenaran yang dibuat ini juga mempunyai asasnya seperti aktiviti ‘dine-in’ lebih mudah untuk dikawal serta mematuhi SOP memandangkan bilangan pelanggan untuk satu meja boleh disusun atur.

“Kerajaan negeri tahu apa yang perlu dibuat untuk terus kekal dengan keputusan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jeffrey berkata, SOP yang perlu dilaksanakan di Sabah hendaklah mengikut apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri memandangkan pengurusan COVID-19 di negeri ini terbukti antara yang terbaik setakat ini.

“Kerajaan Persekutuan perlu ikut apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri dalam mengendalikan SOP di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, aktiviti rentas zon juga perlu dibenarkan di antara kawasan zon hijau dan aktiviti secara normal dibenarkan di dalam zon hijau.

“Orang luar terutama yang datang dari kawasan bukan zon hijau juga dilarang memasuki kawasan zon hijau bagi mengelak berlakunya jangkitan COVID-19.

“Selain itu, mereka yang tidak lagi mempunyai pekerjaan sepatutnya dihantar balik memandangkan tidak ada gunanya mereka terus tinggal di kawasan mereka pernah bekerja jika tidak lagi bekerja dan ia langkah bijak untuk dilaksanakan,” katanya.

Sabah News Today

PBS Sokong Keputusan Kerajaan Sabah Longgarkan SOP

Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong keputusan Kerajaan Sabah melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19  seperti diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, mengambil kira situasi kes COVID-19 di negeri ini  yang berada pada tahap terkawal dan antara terendah di negara.

PBS yakin Kerajaan Persekutuan memahami apa yang baik dan perlu untuk Sabah kerana keputusan yang dibuat sudah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang turut dianggotai agensi Kerajaan Persekutuan seperti Polis, Jabatan Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

PBS percaya sebelum keputusan itu dibuat, Kerajaan Negeri sudah membuat penelitian terutama sekali dalam aspek keperluan keseimbangan diantara menjaga keselamatan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi dan yakin Kerajaan Persekutuan memahami kehendak kerajaan dan rakyat Sabah.

Keyakinan ini berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan kepimpinan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa memahami keperluan dan kehendak rakyat Sabah.

Ini diperkukuhkan lagi dengan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa bekerjasama dan sepakat melandaikan lekuk COVID-19 yang masih mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi di negara ini.

Dalam satu kenyataan Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah membenarkan beberapa aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi semula seperti ‘dine-in’ dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula Selasa lalu.

Turut diberi kebenaran ialah pembukaan kedai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan, serta kedai gunting rambut dan aktiviti sukan tidak bersentuhan seperti golf, memancing dan berbasikal. 

PBS berharap agar penguatkuasaan berkesan dijalankan untuk menastikan pematuhan masyarakat dan premis perniagaan terhadap SOP yang ditetapkan.

PBS juga berharap program vaksinasi Covid-19 diperhebatkan sebagai langkah berkesan mengekang penularan virus itu.

Tamat.

_Dikeluarkan oleh,_

*Datuk Joniston Bangkuai,*
*Setiausaha Agung PBS.*

RM300 Ribu Setiap Ahli Parlimen, Termasuk Pembangkang – Bakul Makanan

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi menyalurkan peruntukan RM300 ribu pada semua ahli Parlimen untuk membekalkan bakul makanan di kawasan mereka.

Nampak tak bukan begini sikap kerajaan yang gagal seperti mana fitnah pembangkang. Kerajaan gagal pastinya jahat, tidak kasih apa lagi terhadap musuh. Tapi apa yang kita nampak adalah sebaliknya kan!

Di Sabah sebelum ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 ribu pada Adun Adun Pembangkang bagi mengurus kawasan mereka. Hal itu agak disambut baik oleh Christina Liew selaku pemimpin PKR Sabah. Tidak seperti wakil wakil rakyat Warisan, malah berdusta kononnya tidak pernah menerima peruntukan dari kerajaan. Apa punya spesis lah!

Kerajaan Negeri Salur 100K Pada Dun Pembangkang


RM300 Ribu Setiap Ahli Parlimen, Termasuk Pembangkang – Bakul Makanan

Setiap ahli parlimen akan menerima peruntukan RM300,000 setiap kawasan, sebagai tambahan untuk program Bantuan Bakul Makanan sedia ada bagi membantu menyediakan keperluan asas penting buat golongan memerlukan.

Bantuan itu akan diberikan kepada semua ahli parlimen, tidak mengira ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang, bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan dapat disalurkan kepada golongan terjejas di semua kawasan.

Sebanyak RM10 juta juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Perkara dimaklumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion tadi, termasuk suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion.

“Baik ahli parlimen kerajaan atau pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan,” katanya.

20 Ribu Bakul Makanan Telah Diagihkan Di DUN Apas

TAWAU: Seramai 1,456 ketua isi rumah kategori B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas menerima bakul makanan daripada kerajaan negeri Sabah, hari

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata bantuan itu melibatkan 21 kampung di kawasan DUN Apas.

“Saya turun sendiri ke akar umbi berjumpa masyarakat di tujuh pusat mengundi di sini untuk menyampaikan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini.

“Bantuan ini kita sasarkan kepada golongan B40 yang terjejas susulan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan kerajaan,” katanya

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan bakul makanan tersebut di pusat mengundi Batu 4 Jalan Apas, di sini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, sebelum ini juga pihaknya telah mengagihkan bakul makanan serupa kepada golongan kategori e-Kasih.

“Sejak bulan Januari lalu, kami telah mengagihkan hampir 20,000 bakul makanan kepada penduduk di kawasan DUN Apas terutamanya mereka yang dikenal pasti terjejas pendapatan.

“Selain kerajaan persekutuan, negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan orang perseorangan, bantuan tersebut juga adalah atas inisiatif saya sendiri sebagai wakil rakyat,” katanya.

Menurut Nizam, pihaknya akan turun sekali lagi dalam dua minggu akan datang ke kawasan DUN Apas untuk mengagihkan bakul makanan kepada penduduk yang belum menerima bantuan tersebut.

“Bantuan itu nanti merupakan inisiatif saya sendiri selaku wakil rakyat Apas dan pihak perseorangan yang memberikan bantuan tersebut.

“Kita akan fokuskan bantuan tersebut kepada penduduk Apas yang tidak tersenarai dalam penerima Bantuan Sabah Prihatin 3.0 kali ini,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya bantuan daripada kerajaan itu dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PKP.

“Kami mengharapkan semua masyarakat terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan supaya tiada lagi penularan wabak COVID-19 di daerah ini,” katanya.

Utusan Borneo Online

4000 Bakul Makanan Untuk Asnaf Terjejas PKP 3.0

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan mengagihkan 4000 bakul makanan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd Arif berkata, bantuan bakul makanan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.00.

Katanya, bantuan bakul makanan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Bantuan Khas PKP 3.0 Bahagian Zakat dan Fitra MUIS, yang akan diagihkan kepada asnaf di setiap daerah seluruh Sabah.

” Agihan bakul makanan itu melibatkan kerjasama dengan Pegawai Tadbir Agama (PTA) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) di setiap daerah.

“Dianggarkan lebih 4,000 ketua isi rumah (KIR) yang akan disantuni khususnya asnaf yang amat terjejas berikutan PKP”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan Bantuan Khas PKP 3.0 Bahagian Zakat dan Fitra MUIS di perkarangan Masjid Negeri, hari ini.

Setiausaha MUIS, Encik Ramlan Awang Ali telah menyerahkan replika cek RM300,000 untuk bantuan bakul makanan kepada Pengarah JHEAINS, Datuk Haji Saifulzaman Bin Sangul, manakala Bantuan Khas Waris Pesakit COVID-19 sebanyak RM100,000 diserahkan kepada Setiausaha Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Tugas-Tugaw Khas, Encik Sapdin Ibrahim.

Arifin berkata, inisiatif lain termasuklah Bantuan Khas “one off” RM1000.00 kepada Waris Pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dan disahkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Hospital.

“Sebanyak RM100,000.00 disediakan untuk bantuan khas itu dan waris pesakit yang meninggal dunia boleh memohon melalui Pegawai Tadbir Agama di daerah masing-masing atau merujuk kepada bahagian zakat dan fitrah MUIS,” katanya.

-End.

Gambar:

  1. Mohd.Arifin (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan replika cek RM300 ribu daripada Ramlan Awang Ali (kiri) kepada Datuk Haji Saifulzaman Bin Sangul.
  2. Mohd.Arifin (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan replika cek RM100 ribu daripada Ramlan Awang Ali (kiri) kepada Sapdin Ibrahim (kanan).

Semua Pihak Harus Waspada Pada Pembangkang

Setuju pada pendapat Raja Petra ini. Semua pihak harus berwaspada pada tindak tanduk pembangkang. Sebab puak ni memang tidak boleh di puaskan. Ada saja yang tidak betul sehinggalah perkara itu tampak menyenangkan mereka. Waktu itu mereka akan memuji dan sebaliknya mengeji walaupun keatas Yang Di-pertuan Agong.

Ibarat kalau gelas itu berisi separuh maka mereka akan katakan gelas itu kosong, begitu pula sebaliknya. Ada saja yang tidak kena pada pandangan mereka.

Itu yang admin sering katakan. Pembangkang di Malaysia jenis yang suka mengada ngada. Macam lah tidak pernah memerintah dan ternyata gagal memikul tanggungjawab sebagai kerajaan. Apa kerajaan itu dari Pakatan Harapan mahupun dari parti Warisan yang hanya bertahan dua tahun tengah. Itu pun sarat dengan skandal hingga ada dikalanganan kroni dan kerabat Ketua Menteri Shafie diheret ke muka pengadilan.

Menteri, Pembantu Menteri dan Adun GRS Potong Gaji 30-50% – Dana Covid Sabah

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri Sabah mengambil keputusan pemotongan gaji 50 peratus semua menteri dan pembantu menteri, selama dua bulan berkuatkuasa bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Menteri Kewangan Negeri mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri Sabah, semalam.

Katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga turut melepaskan 30 peratus daripada gaji mereka, selama sebulan.

“Semua simpanan itu akan digunakan sebagai dana untuk membiayai pengurusan pandemik COVID 19.

“Kami dalam Kerajaan GRS bersatu untuk terus bersama rakyat dalam menghadapi masa sukar ini,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, Kabinet negeri turut mengumumkan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID 19 berjumlah RM120,469,481 juta dan tambahan RM34.4 juta untuk bantuan bakul makanan kepada semua sektor yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

KGKS Menyambut Baik Agihan 10 Ribu Unit Komputer Riba Kerajaan Sabah

  1. Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik agihan sebanyak 10,000 unit komputer riba (Laptop) di bawah Program Bantuan Ehsan Komputer (BAIK) Kerajaan Negeri Sabah yang diumumkan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor baru-baru ini.
  2. KGKS berpendapat keputusan dan langkah ini adalah tepat pada masanya serta bersesuaian dengan situasi pandemik semasa negara dan negeri khususnya. Agihan kepada pelajar-pelajar Miskin Tegar yang akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga boleh mengurangkan bebanan dan kekangan dalam menjalani pembelajaran digital yang dilaksanakan diseluruh negara ketika ini.
  3. Walaupun agihan ini tidak menyeluruh dan masih kurang dari segi bilangan namun langkah ini suatu tindakan yang sangat diharapkan dan ke hadapan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam memperkasakan pendidikan di Negeri Sabah.
  4. Bantuan ini amat diperlukan oleh murid-murid berkenaan kerana kekurangan kemampuan memiliki komputer oleh murid-murid ini sememangnya difahami dan dimaklumi. Pemberian ini merupakan anugerah yang didambakan serta kurniaan yang amat besar nilainya. Ini kerana halangan terbesar dalam arus pendidikan digital semasa pandemik ini adalah ketiadaan peranti yang bersesuaian serta kemudahan internet yang bermasalah dari segi capaian.
  5. Pemberian ini dilihat boleh mengurangkan bebanan tugas guru dan mengubat kekecewaan para guru khususnya penyertaan menyeluruh murid dalam pembelajaran atas talian PDPR (Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah). Keprihatinan warga guru terhadap kualiti pembelajaran murid menjadi keutamaan agar tidak berlaku keciciran dan tidak ada murid yang tertinggal di belakang. Sesungguhnya proses pembelajaran tetap dilaksanakan dan perlu diteruskan dalam situasi pandemik semasa agar keciciran ilmu tidak berlaku dan hak belajar murid-murid tidak dinafikan. Justeru dengan adanya pemberian ini akan membantu dalam memudahkan proses PDPR dan pembelajaran berlaku seperti yang dirancang.
  6. KGKS merakam ucapan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah serta tindakan yang diambil khususnya dalam usaha memperkasakan pendidikan di negeri ini khususnya inisiatif serta intensif bantuan yang lain seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one off (BUDI) sebanyak RM2000 kepada pelajar tahun pertama ijazah IPT, Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu bantuan tunai RM200 kepada pelajar yang mengambil SPM, STPM dan STAM tahun 2021 dan Bantuan Ehsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAK) bayaran one off RM300 kepada semua pelajar Sabah yang terperangkap di kampus di seluruh IPT dan Institusi seluruh negara.
  7. KGKS berpendirian positif dalam hal ini kerana ke utamaan adalah memperkasakan pendidikan di negeri ini. Disamping dengan adanya kemudahan ini akan mempertingkatkan komitmen, dedikasi serta iltizam warga guru untuk melaksanakan amanah sebagai pendidik kerana sokongan dan dorongan kerajaan negeri yang mantap.

SABAH MAJU JAYA

FADZIL BIN HJ. MOHD. JAMIL Setiausaha Agung KGKS

PIBG Maktab Sabah Mengalu-Alukan Pemberian Komputer Riba daripada Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri untuk memberikan 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang memerlukan.

Yang Di-Pertuanya, Datuk Fatimah Sarah Ahmad Noor berkata, langkah tersebut, seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pasti akan menyuntik semangat untuk belajar dikalangan para penerimanya, terutama mereka daripada golongan B40.

Selain itu, katanya, sumbangan bantuan tersebut juga dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh para ibu bapa dalam menyediakan peralatan tersebut untuk pembelajaran secara dalam talian atau PdPR.

Beliau juga berharap bakal para penerima akan menghargai sumbangan bantuan tersebut dengan menggunakan komputer riba sepenuhnya dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di atas keprihatinan terhadap para pelajar terutamanya mereka daripada golongan B40 di negeri ini.

“Saya berharap pihak Kerajaan Negeri akan dapat meneruskan pemberian bantuan komputer riba ini, agar ianya dapat menaikkan mutu pendidikan terutamanya di kalangan pelajar daripada keluarga B40 di Sabah.

“Saya percaya pemberian bantuan daripada Kerajaan Negeri ini juga akan dapat menjadi pelengkap (complement) kepada usaha Kerajaan Persekutuan yang juga telah berjanji untuk memberikan sumbangan bantuan seumpama itu,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Pada Ahad (6 Jun) lalu, Hajiji mengumumkan Kerajaan Negeri Sabah akan mengagihkan sebanyak 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar Tngkatan 5 dan 6, bermula 19 Julai hingga 18 Oktober ini.

Katanya, pemberian komputer riba itu membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pada penghujung tahun ini.

Pemberian komputer riba itu yang dipersetujui oleh Kabinet, membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta, kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan.

“Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini. Kerajaan Negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar yang tidak berkemampuan.

“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu agar pelajar yang tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

Pengagihan komputer riba menerusi BAIK untuk Fasa 1 ini membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Menerusi Mesyuarat Kabinet sebelum ini, jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dibentuk untuk mencari kaedah membantu pelajar yang tidak berkemampuan, agar tidak tercicir dalam PdPR.

Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah, manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenalpasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak.

Hajiji berkata mesyuarat memutuskan untuk Fasa 1, sebanyak 10,000 komputer riba diagihkan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6, yang akan mengambil peperiksaan tahun ini.

Pemberian komputer riba untuk Fasa 1 itu, membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.

“Komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

Pada awal tahun ini, Hajiji memaklumkan kerajaan akan berusaha menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan berikutan pelaksanaan PdPD ketika PKP.

  • Tamat

Kapsyen:

Datuk Fatimah Sarah

Menyambut Baik Bantuan Komputer Riba Kerajaan Sabah Kepada Pelajar – PIBG SMK Arshad

Saya selaku YDP PIBG SMK ARSHAD, Kota Belud menyambut baik dengan pengumuman oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkaitan bantuan komputer riba kepada para pelajar SPM, STPM, dan juga STAM, yang akan menduduki peperiksaan pada penghujung tahun ini yang mana sudah pasti pelajar dari sekolah ini yang layak akan turut mendapat manfaatnya.

Bantuan sebanyak 10,000 ribu unit komputer ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar yang memang tidak ada kemudahan komputer di rumah masing-masing disebabkan kekangan kewangan daripada ibubapa untuk menyediakannya kepada anak-anak mereka sehingga menyebabkan mereka ketinggalan pembelajaran dari rumah atau PDPR.

Sudah pasti, dalam keadaan pandemik COVID19 ini yang telah memaksa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengambil keputusan agar sesi persekolahan dilakukan hanya dari rumah sahaja dan secara maya, menyukarkan para pelajar yang tidak ada kemudahan telefon pintar apatah lagi komputer riba akan menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menghadiri sesi pembelajaran bersama guru dan rakan-rakan sekelas yang lain secara maya. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang baik untuk prestasi mereka nanti ketika menghadapi peperiksaan besar.

Pemberian ini adalah satu langkah yang wajar dan tepat oleh YAB Ketua Menteri Sabah bagi membantu meringankan beban para ibubapa yang kurang kemampuan menyediakan gajet untuk keperluan anak-anak mereka yang bersekolah. Walaupun kerajaan persekutuan telah mengumumkan pemberian komputer sebanyak 150,000 unit, namun itu adalah melibatkan pelajar bagi setiap negeri yang ada di negara ini. Penambahan dari kerajaan negeri sebanyak 10,000 unit ini diharap akan dapat membantu pelajar yang tercicir daripada bantuan yang diumumkan oleh kerajaan pusat dan terus kepada golongan sasar.

Sekian.

PUAN HASRINA WATI DATUK GOLKAN
YDP PIBG SMK ARSHAD