Pengeluaran KWSP Kali Kedua Akan Susahkan Generasi Muda dan Negara

Pendapat yang bernas dari Menteri Kewangan, Tengku Zafrul berhubung pengeluaran simpanan KWSP yang belum matang.

Pendapat Menteri Kewangan ini berbeza dengan Najib Razak dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang mendesak atau mempolitikkan pengeluaran KWSP, walau pun mereka tahu langkah itu hanya akan menyusahkan penyimpan sekaligus akan menjejaskan ekonomi Malaysia.

Sebelum ini Najib Razak dan Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi adalah dalang dan lantang mempolitikkan pengeluaran KWSP yang belum matang. Yang kita tahu hanyalah bertujuan untuk memburukkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional atau Tan Sri Muhyiddin Yasin pada waktu itu.

Pengeluaran kali pertama yang dikenali sebagai i Citra yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah di manipulasi kononnya ia hasil desakan mereka iaitu UMNO.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Malaysia berjanji akan membenarkan pengeluaran i Citra minima RM10,000 secara one off. Tapi bila Perdana Menteri daripada UMNO janji itu tidak ditunaikan. Begitu juga dengan janji tidak perlu lagi mengeluarkan KWSP sekiranya kerajaan menyediakan peruntukan dalam bajet 2022, ini juga tidak kesampaian.

Pokoknya desakan berterusan Najib dan Ketua Pemuda itu hanyalah bertujuan politik semata mata dan bagi menjaga air muka akibat terlalu menjanjikan bulan dan bintang tanpa memikirkan implikasi dan kemampuan kewangan semasa negara. Mereka ini jugalah yang di anggap penghasut oleh Tengku Zafrul.

Mula mula i Lestari lepas itu i Sinar seterusnya i Citra last lasi i Kecewa. He!


KWSP ditubuhkan pada 1951 sebagai simpanan hari tua pekerja negara.

Namun, buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Malaysia telah pada tahun 2020 mengadakan program pengeluaran khas i-Lestari bagi membantu ahli KWSP mengatasi kesan Covid-19 ke atas ekonomi.

Ini disusuli dengan i-Sinar dan i-Citra.

Keizinan luar biasa ini diberi memandangkan adanya situasi luarbiasa yang berlaku, iaitu pandemik global yang juga melanda Malaysia.

Tetapi setelah beberapa kali pengeluaran diizinkan, dan setelah lebih RM101 bilion disalurkan keluar dari KWSP, cukuplah dibenarkan setakat itu sahaja.

Hari ini, ada beberapa pihak yang lantang melobi untuk dibenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP.

Perlu saya ulangi, idea ini pertama sekali dibuahkan oleh Kerajaan setelah membuat pertimbangan dan perkiraan rapi terlebih dahulu.

Suara-suara yang hari ini sibuk menghasut rakyat tidak terlibat sama sekali dalam perhitungan dan keputusan tersebut.

Mereka mengambil kesempatan mengeksploitasikan perkara ini sebagai modal untuk menyelar pihak KWSP dan Kerajaan.

Caruman wajib pencarum dan majikan adalah asas sistem KWSP yang merupakan satu amanah yang wajib dijaga oleh pihak KWSP dan Kerajaan.

Selama ini, pencarum memang dibenarkan membuat pengeluaran untuk keperluan tertentu seperti pembelian rumah kediaman dan kos perubatan melalui Akaun 2 KWSP.

Tujuan KWSP itu adalah “untuk persediaan hari tua”, bila mana kudrat sudah tiada untuk bekerja. Untuk itu, pengeluaran, terutamanya dari Akaun 1, tidak boleh dibenarkan sewenang-wenangnya.

Dan suatu hari nanti, apabila Malaysia mencapai status negara tua pada tahun 2030 (8 tahun lagi), tanggungjawab kewangan negara yang akan melonjak bukan hanya akan dipikul oleh Kerajaan, tetapi juga pembayar-pembayar cukai di masa hadapan.

Sememangnya adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan masa panjang rakyatsambil memberi penyelesaian kepada cabaran semasa.

Sebab itu juga pentadbiran-pentadbiran sebelum ini begitu tegas menjaga amanah mereka berkenaan KWSP.

Pada tahun 2014 misalnya, beberapa negeri terutama Kelantan dan Pahang teruk dilanda banjir dengan jumlah isi rumah yang terkesan mencecah 300,000, dan ramai yang kehilangan harta termasuk rumah dan kenderaan.

Namun, kerajaan pada tahun 2014 tidak membenarkan pengeluaran KWSP walau satu sen pun kepada mangsa-mangsa banjir yang hilang segala-galanya, sebaliknya menggunakan kaedah-kaedah lain bagi membantu mangsa bencana.

Kini, pendekatan yang sama diambil Kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi bencana banjir.

Secara keseluruhan, banyak bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan bagi menolong rakyat termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP); Bantuan Wang Ihsan (BWI – bagi mangsa-mangsa bencana); bantuan kebajikan bulanan; pembiayaan dengan kadar 0 peratus serta moratorium serta-merta selama 6 bulan, dan banyak lagi.

Sehubungan itu, ada beberapa fakta yang perlu kita akui:

a. Isu wang persaraan yang tidak mencukupi wujud sebelum zaman Covid lagi. Hakikatnya, hari ini hampir 50 peratus atau lebih 6 juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000. Pendek kata, pencarum seramai 6 juta ini tidak akan mendapat faedah pun jika dibenarkan pengeluaran tambahan i-Citra.

b. Menurut KWSP, pesara sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 semasa bersara. Jika mereka dijangka bersara selama 20 tahun, mereka hanya ada RM1,000 sebulan untuk sara hidup dan jika sakit, ubat-ubatan.

Cuba bayangkan jika mereka ada kurang daripada RM10,000 sekarang. Dijangka hampir 7 juta ahli akan mempunyai simpanan di bawah RM10,000 jika pengeluaran tambahan i-Citra dibenarkan.

Jika mereka dapat gandakan 10 kali pun sehingga RM100,000 semasa bersara (satu gandaan yang amat sukar untuk dicapai), mereka hanya ada RM500 untuk berbelanja. Lebih tragis lagi bagi hampir 4 juta pencarum yang mempunyai simpanan di bawah RM1,000.

c. Kerajaan sudah benarkan banyak pengeluaran. Dengan i- Lestari, i-Sinar dan i-Citra, rata-rata ahli telah mengeluarkan sebanyak RM21,000 sehingga RM71,000 sejak tahun lepas. Secara keseluruhan, lebih 7 juta pencarum telah mengeluarkan lebih RM101 bilion.

d. Lebih kurang 74 peratus pencarum yang mempunyai kurang dari RM10,000 dalam akaun mereka adalah Bumiputra.

Lebih membimbangkan lagi, 79 peratus dari golongan ini mempunyai simpanan kurang dari RM1,000.

Kalau betul beberapa pihak ingin memperjuangkan nasib Bumiputra, terutamanya orang Melayu, walaupun dah tahu ramai yang sudah tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat dan tujuan sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?

e. Wakil-wakil kesatuan pekerja pun tidak bersetuju.

Lihat sahaja kenyataaan persatuan-persatuan yang mewakili pekerja seperti NUBE, CUEPACS, NUDIW, UNI-MLC dan MTUC.

Mereka tidak bersetuju kerana mereka faham impak buruknya pengeluaran tambahan kepada kebajikan hari tua pencarum.

Ada juga sebab-sebab lain yang melibatkan pasaran ekuiti, kewangan dan keyakinan pelabur asing dan domestik. Ini rumusannya:a. KWSP memainkan peranan penting di pasaran saham dan bon tempatan untuk menjana pulangan dividen kepada ahli, dan menyediakan kecairan bagi kedua-dua pasaran tersebut.

Nilai pelaburan KWSP dalam pasaran saham tempatan adalah 16 peratus daripada nilai keseluruhan yang berjumlah lebih RM1.7 trilion.

Nilai pelaburan KWSP dalam bon-bon Kerajaan pula adalah 26 peratus (atau RM247 bilion) dari nilai keseluruhan RM950 bilion.

Manakala bagi bon-bon korporat, KWSP memegang 21 peratus (atau RM166 bilion) daripada nilai keseluruhan RM791 bilion.

b. Sekiranya pengeluaran ini dibenarkan lagi, KWSP akan terpaksa menjual pegangan saham dan bon mereka di luar dan dalam negara secara besar-besaran dalam keadaan pasaran yang tidak menentu; memberhentikan pelaburan di dalam negara untuk tempoh 3 hingga 6 bulan; dan mengurangkan penyertaan dalam pasaran domestik buat sementara waktu.

c. Langkah ini akan memberi impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan, kerana peranan KWSP sebagai penyedia kecairan juga akan terjejas, selain mengekang keupayaan KWSP untuk menjana pulangan dividen.

Apabila kecairan berkurangan, ini berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur lain yang akan turut serta menjual pegangan mereka, lantas mengurangkan lagi kecairan di pasaran.

Ini akan mengakibatkan peningkatan kos pinjaman bagi seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu, syarikat, mahupun Kerajaan.

d. Systemic repercussions atau kesan-kesan sistemik ini bukan sahaja akan menjejaskan pulangan kesemua ahli KSWP, malah, para penyimpan lain yang bergantung kepada pulangan daripada pegangan saham dan bon tempatan seperti ahli Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), serta pelabur skim-skim Amanah Saham yang diurus oleh PNB seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), juga ahli-ahli Lembaga Tabung Haji (LTH), dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga akan turut terkesan.

Secara keseluruhan, ini akan memberikan impak negatif antaranya, dari segi peningkatan kos pembiayaan bagi Kerajaan, dan juga syarikat-syarikat swasta, dan juga berpotensi menyebabkan ketidakstabilan pasaran kewangan negara.

e. Tambahan lagi, situasi ini secara tidak langsung telahpun menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli-ahli yang ingin terus mengekalkan simpanan mereka di dalam KWSP.

Buat masa ini, terdapat sejumlah lebih RM270 bilion simpanan di KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang berumur lebih 55 tahun dan tidak lagi tertakluk kepada syarat-syarat pengeluaran.

Seperti yang saya sebutkan berulang kali, dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih, kerajaan tetap akan membantu rakyat melalui strategi yang pelbagai dan berbeza, seperti BPR, BKC, BKP, Bantuan Khairat Kematian, BWI, bantuan kebajikan bulanan dan banyak lagi.

Kerajaan sentiasa memantau keadaan, dan akan menambahbaik segala bentuk bantuan jika perlu.

Namun dalam hal KWSP ini, kita tidak boleh terus populis dengan sekali lagi mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan lebih-lebih lagi bila kerajaan sudah menyediakan satu pakej bantuan banjir yang paling tinggi dalam sejarah.

Fikirkanlah kesan jangka panjang terutamanya kepada anak-anak dan cucu-cucu kita yang bakal mewarisi beban menampung kehidupan warga tua negara yang tidak mampu menampung persaraan mereka sendiri.

* Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan

1 komen

  1. Sememangnya akan menyusahkan apabila tiba di hari tua tiada simpanan,tapi jika hanya ini saja cara untuk meneruskan kelangsungan hidup sedangkan bantuan dari kerajaan belum tentu hala tuju ,kerenah birokasi dan realiti sebenar hanya gah pada nama tanpa yg benar sampai ke tangan rakyat hanya secubit dari segunung yg di umumkan…..Asyik² Masyuk ke KELUARGAMU AJE…mana Keluarga Malaysianya

    Liked by 1 person

Tinggalkan Jawapan kepada Jzemnz Batal balasan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: