Ucapan KM Hajiji Sempena Sambutan Hari Malaysia 2021


TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR KETUA MENTERI SABAH SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2021, 16 SEPTEMBER 2021 SICC, KOTA KINABALU

Bismillahirahmanirahim  

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Keluarga Malaysia dan 

Salam Sabah Maju Jaya

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni.

Pada malam yang bersejarah ini, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya dengan penuh takzimnya merakamkan junjungan kasih semerbak budi atas perkenan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berangkat hadir ke Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021. 

Sesungguhnya, keberangkatan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan ke majlis ini adalah manifestasi komitmen dan keprihatinan tinggi terhadap usaha-usaha berterusan dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan wilayah.  

Tuan Yang Terutama Tun,

Saya mohon izin untuk menyampaikan ucapan kepada para hadirin dalam majlis ini.

  1. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan kudrat dan iradat-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah iaitu Sambutan Hari Malaysia. Sungguhpun majlis pada tahun ini dianjurkan dalam skala sederhana tatkala kita masih berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, namun sambutan secara hibrid ini tetap mempunyai nilai dan makna tersendiri. 
  1. Pastinya sambutan pada malam ini amat istimewa dengan kehadiran pemimpin utama Kerajaan Persekutuan, Y.A.B. Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakob bersama-sama dengan barisan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, wakil Kerajaan Sarawak, barisan kepimpinan negeri Sabah, dan para pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
  1. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat di Sabah, saya dengan penuh sukacita mengalu-alukan kehadiran dan merakamkan ucapan selamat datang kepada para tetamu kehormat khususnya kepada Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakob. Begitu juga, kita ingin meraikan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mengikuti sambutan ini secara dalam talian di seluruh negara.
  1. Kita bersyukur kerana kedudukan Hari Malaysia menjadi bertambah signifikan di hati rakyat Malaysia. Pada tarikh keramat 16 September 1963, di bumi bawah bayu inilah berlangsungnya detik bersejarah perisytiharan pembentukan Persekutuan Malaysia. 
  1. Dalam tempoh beberapa dekad awal penubuhan Malaysia, ada yang melihat seolah-olah fokus hanya diberikan kepada tarikh 31 Ogos, sebagai Hari Kemerdekaan Negara. Tarikh 16 September setiap tahun kebiasaannya hanya disambut sebagai penutup Bulan Kemerdekaan.
  1. Melihat situasi tersebut, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak telah mengutarakan pandangan bahawasanya tarikh 16 September wajar diletakkan pada tempat dan kedudukan yang sewajarnya. Kerana hakikatnya, inilah tarikh sebenar pembentukan sebuah Negara Malaysia yang berdaulat.
  1. Sebenarnya, pandangan dan keprihatinan ini lahir daripada rasa cinta kepada Malaysia sebagai tanah air yang dibina bersama. Malah ia menzahirkan bahawa warga Malaysia di Sabah, dan saya yakin Sarawak juga, berasa amat bersyukur dan sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemajuan yang dikecapi selama ini, di bawah naungan Persekutuan Malaysia.
  1. Alhamdulillah, kita bersama mencipta perubahan yang amat bermakna. Bermula tahun 2009, Kerajaan telah mengisytiharkan 16 September sebagai Hari Malaysia dan cuti umum bagi seluruh negara. Kita yakin, ia bukan sekadar perubahan kosmetik dari aspek sambutan semata-mata, tetapi nilai dan maknanya cukup besar dalam kita melangkah ke hadapan, membina masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat dan negara Malaysia tercinta.
  1. Sesungguhnya, pembentukan Malaysia telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat di seluruh Negara. Kita amat menghargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat jelata di Sabah. Keamanan, kemakmuran dan kemajuan bukanlah frasa yang kita hanya ‘DENGAR’, tetapi kita dapat ‘LIHAT’ dan ‘RASAI’ saban hari.
  1. Perjuangan ini tidak akan terhenti selagi mana kita mempunyai kesatuan sesama pemimpin dan rakyat. Perjalanan membina negara ini masih panjang dan berliku. Dan pastinya kita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun ingatlah, pra syarat untuk kita berjaya mengharungi segala bentuk tribulasi adalah kesatuan, kebersamaan dan perpaduan atas kepentingan tanah air.  
  1. Atas kesedaran dan keinsafan inilah, kami di Sabah amat mengalu-alukan dan mendokong pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang dibawakan oleh Perdana Menteri, YAB. Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakob. Konsep yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan agama ini amat bertepatan dan wajar dijadikan prinsip serta pegangan dalam kita menggerakkan agenda pembinaan negara dan pembangunan masyarakat.
  1. Pada hemat saya, ‘Keluarga Malaysia’ merupakan satu konsep kenegaraan yang begitu utuh dan berupaya menyimpulkan ikatan akrab sekalian rakyat jelata yang berbilang kaum, agama dan budaya.
  2. Hakikatnya, pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ amat relevan dengan kami di bumi bawah bayu ini. Sabah sudah sekian lama tersohor sebagai negeri teladan dalam citra keharmonian masyarakat. Sejak dahulu, norma kehidupan rakyat Sabah adalah berasaskan rasa saling hormat dan mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan.
  1. Bagi kami di Sabah, institusi keluarga tidak pernah dibatasi perbezaan suku, agama dan budaya kerana realitinya begitu banyak keluarga di Sabah yang dibina atas kepelbagaian itu. Saya sendiri lahir atas kerencaman itu dengan darah suku Bajau Sama, Dusun dan Iranun. Malah semua suku kaum di Sabah sudah sebati dengan nilai kekeluargaan yang majmuk dan harmoni, serta sifat keterbukaan dan kebersamaan.
  1. Sebagai contoh, dalam komuniti Bajau Sama, adanya falsafah “mangan nia’ mangan asal jo kurung-kurung”. Dalam rumpun Kadazan-Dusun pula, ada konsep “mitatabang om misompuru”, manakala semangat suku Iranun sebati dengan nilai “dapai kapatai asal magisa-isa”. Semua warisan tradisi ini membawa kepada nilai dan makna kekeluargaan yang menekankan prinsip kesatuan, kerjasama dan kesepakatan yang intim dan erat.
  1. Semangat dan budaya kekeluargaan dan persaudaraan yang terolah secara fitrah dalam rumpun komuniti Sabah telah berakar umbi dan diwarisi sejak dahulu. Justeru, kita di Sabah amat berbesar hati untuk menyambut gagasan ‘Keluarga Malaysia’, dan kita akan bersama dengan YAB Perdana Menteri untuk memastikan hasrat murni ini menjadi pegangan semua pihak.
  1. Nilai murni kekeluargaan dalam konteks nasional sebenarnya boleh jauh merentasi kepercayaan, ideologi, sosio-budaya dan wilayah. Semangat ‘Keluarga Malaysia’ berupaya mewujudkan kesatuan dan kebersamaan seluruh rakyat jelata dalam menangani pandemik COVID-19. Cabaran luar biasa ini menuntut kerjasama dan komitmen semua pihak. Bukan sikap menuding jari mencari salah, tetapi keikhlasan dalam mencari solusi. Realitinya, komitmen dan disiplin diri setiap daripada kita adalah sebahagian daripada jalan penyelesaian.
  1. Kita amat menghargai penat lelah dan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang bekerja keras, siang dan malam demi menjamin kesihatan, keselamatan dan kebajikan sekalian rakyat. Sebagai ahli kepada ‘Keluarga Malaysia’, tidak kira status dan kedudukan, kita perlu memainkan peranan masing-masing untuk membendung pandemik ini.
  1. Atas sebab itu, Sabah menyokong dan menghargai sepenuhnya inisiatif murni dan kesepakatan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai baru-baru ini. Inilah antara komitmen dan peranan di pihak komuniti politik yang telah lama dinanti-nantikan di kala negara berhadapan dengan musibah COVID-19. 
  1. Di peringkat negeri, sejak dari awal para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bersepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan. Komitmen kita adalah untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dilancarkan pada 29 Mac 2021. Mandat rakyat perlu ditunaikan sehabis baik, apatah lagi di kala menghadapi kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
  1. Kerajaan Negeri pimpinan GRS amat menghargai komitmen meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat persekutuan. Atas semangat yang sama, Sabah berharap YAB Datuk Seri Panglima Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri dapat meneruskan dan menyambung semula pada kadar segera siri rundingan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui platform Majlis Khas MA63 yang telah dirintis di bawah pimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
  1. Banyak kemajuan awal telah mula dicapai. Kita berkeyakinan tinggi, di bawah kebijaksanaan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna yang lebih besar. Berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah, Insya Allah, kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah Perjanjian Malaysia 1963. 
  1.     Suka saya mengulangi komitmen bahawa selaku Ketua Kerajaan kepada 

rakyat dan negeri Sabah, saya ingin mengemukakan jaminan bahawa, yakin dan percayalah, suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, sebenarnya bukan hanya berkisar tentang kepentingan negeri semata-mata. Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama. Dan setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa. 

  1. Saya ingin mengajak seluruh rakyat di Sabah untuk terus bersatu atas semangat ‘Keluarga Malaysia’. Saya penuh yakin bahawa di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri, Sabah akan menikmati lebih banyak pembangunan untuk rakyat di semua peringkat. 
  1. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan

terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri, para pemimpin dan seluruh rakyat yang bersama dalam sambutan ini. Saya juga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pengerusi Induk dan Pengerusi Bersama serta Ahli-ahli Jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat menjayakan Sambutan Hari Malaysia 2021. 

  1. Demikianlah ucapan saya kepada para hadirin dalam majlis ini. Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi merakamkan semerbak budi seikhlas hati atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berangkat hadir ke Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021. 

Selamat Hari Malaysia,

Sabah Maju Jaya,

Salam Keluarga Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: